Search

‘Kereta kabel ke Gunung Kinabalu’

April 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mungkinkah satu hari nanti Gunung Kinabalu boleh dikunjungi dengan menaiki kereta kabel, berbanding hanya mendaki yang mengambil masa panjang ketika ini.

Kemungkinan itu berdasarkan minat pihak tertentu untuk membangunkan kemudahan itu dan membentangkannya kepada kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkongsi kunjungan hormat sebuah syarikat yang menyatakan minat berkenaan.

Syarikat terbabit, Jesselton International Sdn Bhd, katanya membentangkan cadangan projek Kinabalu Cable Car dan laporan kajian kebolehlaksanaannya bagi di Gunung Kinabalu, Kundasang.

Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang cadangan pembangunan di Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada aspek kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.

Katanya, sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO, Gunung Kinabalu mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi tinggi yang mana sebarang pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.

“Kementerian menyokong pembangunan yang membawa manfaat ekonomi dan meningkatkan pengalaman pelancongan, namun ia mesti dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.

Namun, katanya di peringkat global, terdapat contoh pembangunan kereta kabel di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan dengan kawalan ketat dan pendekatan berasaskan pemuliharaan.

“Antaranya Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia; Teleférico del Teide di Teide National Park, Sepanyol dan Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China (Wulingyuan Scenic Area) yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.

“Selain itu, kemudahan berkenaan juga ada di Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil, menunjukkan bagaimana pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap, dengan penekanan kepada pengurusan pelawat secara terkawal serta impak minimum terhadap alam sekitar,” katanya.

Jelasnya, pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti itu boleh membantu mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, di samping meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan, namun pelaksanaannya mesti berlandaskan sains, kawalan ketat dan prinsip pemuliharaan.

Beliau menekankan bahawa pendekatan ‘conservation first’ perlu menjadi asas dalam menilai cadangan projek itu, di samping memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.

Selain itu, cadangan projek itu juga katanya perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau, termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta perlindungan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.

Jafry turut menegaskan kepentingan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.

“Sebarang keputusan berkaitan cadangan ini akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya kekal komited memastikan keseimbangan di antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari. – Info X