Search

Kenderaan terbabit insiden dengan kereta api, pemandu terselamat

April 6, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaikinya terbabit dalam insiden dengan sebuah kereta api di Batu 58, Jalan Loji Air, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 10.45 pagi itu membabitkan kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Tenom menuju ke Beaufort dan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit memasuki laluan landasan yang tidak dibenarkan.

Superintenden Wong Leong Meng.

“Akibat kejadian itu, kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Kereta api pula mengalami kerosakan di bahagian tepi kiri hadapan termasuk tangki minyak dan bateri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terbabit kemalangan di Batu 58, Jalan Loji Air, Beaufort.

Menurutnya, pemandu kenderaan lelaki berusia 27 tahun dihantar ke Hospital Beaufort untuk pemeriksaan lanjut, manakala pemandu kereta api tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kereta api berkenaan membawa seramai 11 penumpang dan semua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan juga mendapati laluan itu tidak berpagar serta bukan laluan yang dibenarkan untuk kegunaan kenderaan awam melintas,” katanya.

Kereta api yang terbabit kemalangan di Batu 58, Jalan Loji Air, Beaufort.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melintas di landasan kereta api yang tidak dibenarkan.

“Gunakan hanya laluan yang disediakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – Info X