Search

Isu 40 peratus: Teruskan rundingan, keputusan Mahkamah Rayuan bukan halangan – Mustapha

April 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal berkaitan pelaksanaan semakan semula 40 peratus hasil Sabah yang sudah dimulakan perlu diteruskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini, ia tidak seharusnya memperlahankan atau menghentikan usaha yang sudah dibuat.

“Sehubungan itu, saya menggesa supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah untuk meneruskan proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal yang telah pun dimulakan sebelum ini.

“Hakikatnya, proses ini melibatkan penilaian yang kompleks merangkumi tempoh yang panjang, dan memerlukan penelitian data kewangan serta rekod sejarah yang menyeluruh,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelaksanaan perintah mahkamah itu membabitkan proses penilaian yang kompleks merangkumi tempoh yang panjang dan memerlukan penelitian data kewangan serta rekod sejarah yang menyeluruh.

Jelasnya, dengan adanya tempoh tambahan susulan penangguhan itu, kedua-dua pihak mempunyai ruang masa yang mencukupi untuk memastikan setiap aspek dapat diperincikan dengan teliti, telus dan berintegriti.

“Justeru, saya berpandangan bahawa momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan. Sebaliknya, ia perlu diperkukuhkan agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

“Ini selari dengan saranan YAB Perdana Menteri bahawa isu 40 peratus ini perlu diselesaikan secara tuntas dan berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan serta keadilan kepada negeri Sabah.

“Komitmen kita adalah jelas iaitu memastikan hak Sabah dilaksanakan dengan pendekatan yang bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata semua pihak perlu mengambil kira keadaan kewangan negara dalam menangani krisis ekonomi disebabkan peperangan di Asia Barat.

“Keutamaan sekarang ialah memastikan kesan krisis dapat diminimakan dan kebajikan rakyat terus mendapat perhatian,” katanya. – Info X