Search

Perjalanan hantar anak ke sekolah berakhir tragedi, ibu maut

October 16, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Perjalanan seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux berhampiran simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Marak-Parak, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.19 pagi itu, anak mangsa yang baru berusia tujuh tahun terselamat, namun mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

Ibunya, Liza Jius, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Kampung Laguhang menuju ke sekolah berkenaan.

Katanya, sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun pula bergerak dari arah Kudat menuju ke Beluran.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba memotong motosikal mangsa yang berada di hadapannya.

“Bagaimanapun, motosikal itu membelok ke simpang masuk sekolah sebelum berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Simun berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada jam 6.39 pagi, manakala anaknya dibawa ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X