Search

Konvensyen GRS di Kudat Ahad ini – Armizan

October 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gagasan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan konvensyen tahunan di Dewan Tun Mustapha, Kudat pada Ahad ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata konvensyen yang julung kali diadakan itu dijangka dihadiri 3,000 orang dari 26 bahagian termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“Konvensyen tahunan yang buat julung kali dianjurkan ini akan diadakan bertempat di Dewan Tun Mustapha Kudat sejajar dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS supaya konvensyen tidak diadakan berpusat di Kota Kinabalu sahaja, tetapi secara bergilir ke daerah-daerah lain, tertakluk kepada kesesuaian logistik.

“Konvensyen kali ini dijangka akan melibatkan hampir 3,000 orang peserta dan pemerhati yang mewakili kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah termasuk WP Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, selain pengisian Ucaptama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan utama setiap enam parti komponen GRS turut menyampaikan ucapan.

“Konvensyen ini adalah wadah menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian-bahagian dalam satu platform dengan objektif utama diskusi dan perkongsian meliputi pendekatan serampang dua mata.

“Pertama, fokus dan strategi politik memperkasa kesiapsiagaan parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Kedua, penilaian status kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri dengan memaknai Manifesto GRS khususnya menggerakkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Armizan berkata, kepimpinan parti di akar umbi yang tidak dapat menghadiri konvensyen itu secara fizikal juga berpeluang untuk mengemukakan suara dan maklum balas secara dalam talian melalui platform yang disediakan Sekretariat Ibu Pejabat GRS. – Info X