Search

Remaja maut, dua wanita cedera dalam kemalangan di Tawau

October 16, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Rastamas, Batu 3, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia itu turut menyebabkan dua wanita berusia 31 dan 40 tahun cedera ringan, termasuk seorang penumpang yang tersepit di tempat duduk hadapan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengah hari sebelum lima anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang penumpang wanita tersepit di tempat duduk hadapan kereta, manakala pemandunya berjaya keluar sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 1.01 tengah hari sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi yang turut dibantu polis dan KKM tamat sepenuhnya pada jam 1.14 tengah hari selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan,” katanya. – Info X