Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 4, 2026

Info X Reporters

KM serah bantuan YKS RM30,600 kepada 102 KIR mangsa banjir Tawau

KOTA KINABALU: Seramai 102 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di Tawau menerima sumbangan RM300 dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), membabitkan jumlah keseluruhan RM30,600. Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said, pada Ahad. Hajiji berkata sumbangan itu bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan. Sementara itu, Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian itu, minggu lalu. Petugas bencana terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta agensi lain yang turut terbabit. “Komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana berkenaan,” katanya. Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 KIR, membabitkan 362 mangsa yang terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi. Mereka dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Kementerian, agensi berkaitan diarah selesai segera isu MA63

KOTA KINABALU: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarah memberi keutamaan terhadap penyelesaian baki isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai langkah mempercepatkan pelaksanaannya. Arahan itu dikeluarkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, di Putrajaya, pada Isnin. Mustapha diberi mandat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 bagi mempengerusikan mesyuarat berkenaan memandangkan Fadillah ketika ini sedang menjalani rawatan kesihatan. Menerusi satu kenyataan, Mustapha berkata mesyuarat berkenaan meneliti status terkini pelaksanaan dan kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menjelang Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September depan. Katanya, selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara yang sudah dipersetujui di bawah MA63, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas melalui platform MTPMA63, termasuk hal berkaitan inisiatif ‘borneonisasi’ perkhidmatan awam dan usaha menutup kesenjangan perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak. “Pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan jawatankuasa teknikal membuktikan banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. “Dalam mesyuarat hari ini, semua kementerian dan agensi berkaitan turut diarahkan supaya memberikan keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya. Mustapha berkata, antara perkembangan penting yang direkodkan termasuk peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026, selain kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai 2026. Katanya, kedua-dua pencapaian itu membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Rosdi galas amanah baharu di Tawau

TAWAU: Bekas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah, Rosdi Mat Jusoh, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau yang baharu, sekali gus menerima kenaikan pangkat sebagai Asisten Komisioner Polis (ACP). Pelantikan itu menyaksikan beliau kini mengambil alih kepimpinan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi menerajui pentadbiran serta operasi kepolisan di daerah berkenaan. Rosdi bukanlah nama asing dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya di Sabah, apabila sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah. Sepanjang memegang jawatan itu, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan keselamatan jalan raya di negeri ini. Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang kepolisan, beliau kini diberi kepercayaan untuk menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu. Beliau dijangka meneruskan usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta membanteras jenayah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Tawau terus terpelihara. Pelantikan itu juga mencerminkan keyakinan pucuk pimpinan PDRM terhadap pengalaman, kepimpinan dan kredibiliti beliau dalam menerajui salah sebuah daerah yang strategik di Sabah. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Ekspedisi Tribute to Trans Borneo perkukuh Sabah sebagai destinasi pelancongan pengembaraan

KOTA KINABALU: Ekspedisi 30 Years Tribute to Trans Borneo 2026 dijangka memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan di rantau ini, sekali gus menyokong usaha promosi sempena Tahun Melawat Sabah 2027. Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata ekspedisi merentasi daratan seperti Trans Borneo menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih autentik kepada pelancong melalui interaksi bersama komuniti tempatan, kepelbagaian budaya serta keindahan alam semula jadi Borneo. “Pelancong pada hari ini bukan sekadar mahu melawat sesuatu destinasi, sebaliknya mereka mencari pengalaman yang lebih bermakna. “Mereka mahu mengenali masyarakat setempat, memahami budaya yang berbeza serta mencipta kenangan yang kekal sepanjang perjalanan. Di sinilah pelancongan pengembaraan dan ekspedisi darat memainkan peranan penting,” katanya ketika melancarkan ekspedisi itu, pada Isnin. Ekspedisi 30 Years Tribute to Trans Borneo 2026 merupakan perjalanan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) selama 17 hari merentasi Indonesia, Malaysia dan Brunei, sekali gus mengimbau semula laluan bersejarah yang dilalui pada 1996 bagi mempromosikan pelancongan pengembaraan serantau serta pertukaran budaya. Joniston, yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, berkata pengalaman, gambar dan perkongsian peserta sepanjang ekspedisi itu akan memperkenalkan Sabah kepada masyarakat antarabangsa daripada perspektif yang berbeza. “Ketika kita sedang membina momentum ke arah Tahun Melawat Sabah 2027, pengalaman perjalanan autentik seperti ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran serta menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai Sabah,” katanya. Beliau berkata, pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan turut dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan antara Sabah dan Indonesia, sekali gus merancakkan sektor pelancongan. Katanya, projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong serta jalan akses baharu yang dibangunkan di bawah Koridor Pembangunan Sabah akan menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala apabila siap kelak. “Apabila siap, ia akan menjadi laluan sempadan darat antarabangsa kekal pertama Sabah dengan Indonesia, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya. Joniston berkata, Sabah juga berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, di Kalimantan Timur yang dijangka merancakkan lagi potensi Borneo sebagai destinasi pelancongan rentas sempadan. Beliau berkata, peningkatan aksesibiliti itu bukan sahaja menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka Borneo melalui laluan darat, malah menyokong inisiatif kesalinghubungan serantau di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta ASEAN.- Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Hormati kepimpinan, hentikan polemik demi kukuhkan BN Sabah – Supol Arthur

KOTA KINABALU: Semua pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah perlu menghormati kepimpinan parti dan menghentikan polemik terbuka yang boleh menjejaskan usaha mengukuhkan gabungan itu serta mengembalikan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Willy Leong, berkata kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing, terhadap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, disifatkan tidak tepat ketika parti sedang berusaha memperkukuhkan organisasi dan memperkemaskan jentera. “Setiap pemimpin berhak memberikan pandangan, namun kenyataan seperti itu tidak wajar pada saat BN Sabah sedang berusaha mengukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat. “Perbezaan pendapat bukan satu kesalahan, tetapi ia seharusnya dibincangkan menerusi saluran parti dengan semangat muafakat, bukannya diangkat ke ruang awam sehingga membuka ruang kepada pihak luar dan lawan politik mengambil kesempatan memecah-belahkan kesatuan BN,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin. Willy, yang juga Naib Ketua Pemuda BN Malaysia dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), berkata BN Sabah ketika ini memerlukan kestabilan, perpaduan dan kepimpinan yang mampu menyatukan semua parti komponen. Beliau berkata, kepimpinan yang telah diputuskan oleh parti perlu dihormati dan diberikan ruang untuk melaksanakan amanah tanpa diganggu polemik yang hanya merugikan gabungan itu. “Kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan organisasi, bukannya mencetuskan pertikaian yang boleh melemahkan parti sendiri. “Pemimpin juga tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kehadiran ketika musim pilihan raya kerana sumbangan mereka melangkaui tempoh berkempen,” katanya. Beliau berkata, Arthur bukan pemimpin bermusim, sebaliknya sentiasa turun padang dan berkhidmat kepada rakyat sama ada ketika pilihan raya mahupun di luar musim politik. “Itulah budaya perjuangan BN yang sebenar, iaitu bekerja secara konsisten dan bukannya bermusim. Komitmen seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan keseluruhan khidmatnya kepada rakyat dan parti,” katanya. Mengulas landskap politik semasa, Willy berkata semua pemimpin BN perlu mengetepikan ego serta kepentingan peribadi demi memastikan gabungan itu kekal kukuh dan diyakini rakyat. “Rakyat tidak mahu melihat pemimpin BN saling berbalah secara terbuka. Sebaliknya, mereka mahu melihat sebuah gabungan yang bersatu, matang dan sentiasa fokus membela kepentingan rakyat. “Marilah kita memperkukuhkan perpaduan, menghormati kepimpinan yang telah diputuskan oleh parti dan bersama-sama mengembalikan kekuatan BN Sabah. Kekuatan kita bukan terletak pada siapa yang paling lantang bersuara, tetapi pada kemampuan kita untuk bersatu, bekerja dan memberikan hasil kepada rakyat,” katanya.- Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Sabah catat jumlah dagangan lebih RM100 bilion empat tahun berturut-turut

PUTRAJAYA: Prestasi perdagangan Sabah kekal mencatat angka melebihi RM100 bilion dalam tempoh empat tahun berturut-turut, meskipun mencatat penguncupan 2.1 peratus pada tahun lalu. Jabatan Perangkaan (DOSM), dalam kenyataannya pada Isnin, berkata Sabah kekal merekodkan nilai perdagangan lebih RM100 bilion apabila mencatat jumlah dagangan sebanyak RM105.5 bilion pada 2025. Katanya, nilai dagangan Sabah berjumlah lebih RM100 bilion sejak 2022 dengan prestasi tertinggi sebanyak RM118 bilion, diikuti RM105 bilion pada 2023, RM107.8 bilion pada 2024 dan RM105.5 bilion pada 2025. Pencapaian itu dilaporkan DOSM menerusi penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah 2026 yang memaparkan statistik komprehensif meliputi nilai dan volume perdagangan luar negeri Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut rakan dagangan serta klasifikasi komoditi yang terperinci. Dalam kenyataan sama, DOSM memaklumkan jumlah eksport Sabah pada 2025 berjumlah RM57.7 bilion, menurun 5.9 peratus berbanding RM61.3 bilion pada 2024. Nilai import pula, katanya meningkat 2.8 peratus kepada RM47.8 bilion berbanding RM46.4 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Katanya, imbangan dagangan Sabah kekal mencatat lebihan sebanyak RM9.9 bilion, namun jatuh sebanyak 33.3 peratus berbanding RM14.9 bilion pada 2024. “Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta penyederhanaan permintaan terhadap beberapa komoditi utama, prestasi perdagangan Sabah terus menunjukkan daya tahan yang memberangsangkan. “Dari segi komoditi, petroleum mentah terus mendominasi eksport Sabah dengan nilai RM17.1 bilion, menyumbang 29.7 peratus kepada keseluruhan eksport Sabah, diikuti minyak kelapa sawit sebanyak RM16.8 bilion (29.2%) dan gas asli cecair sebanyak RM4.6 bilion (8.1%). “Walaubagaimanapun, eksport petroleum mentah dan minyak kelapa sawit masing-masing merekodkan penyusutan sebanyak 19.6 peratus dan 2.9 peratus, manakala eksport gas asli cecair meningkat 2.0 peratus,” katanya. Bagi import pula, katanya produk petroleum bertapis (RM4.8 bilion) dan baja yang dikilangkan (RM1.1 bilion) menjadi komoditi import utama Sabah pada tahun lalu. Katanya, statistik perdagangan luar Sabah turut merangkumi transaksi perdagangan antara wilayah, iaitu dengan Semenanjung dan Sarawak, berdasarkan pergerakan fizikal barangan di pintu masuk dan keluar negeri Sabah. Dari perspektif rakan dagangan utama, katanya Semenanjung terus menjadi rakan dagangan terbesar Sabah dengan jumlah perdagangan bernilai RM49.6 bilion, mewakili 47.1 peratus daripada keseluruhan perdagangan negeri Sabah. “China kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar dengan nilai RM10.4 bilion, diikuti Thailand (RM4.4 bilion), Republik Korea (RM4.2 bilion) dan Jepun (RM4.0 bilion). “Sementara itu, eksport Sabah ke negara-negara ASEAN berjumlah RM11.2 bilion, menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya. Menurut DOSM, dalam kalangan negara ASEAN, Filipina menjadi destinasi eksport utama Sabah dengan nilai RM3.9 bilion, mewakili 34.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Sabah ke rantau tersebut. Thailand pula katanya berada di kedudukan kedua dengan nilai eksport RM3.0 bilion (26.4%), diikuti Vietnam sebanyak RM2.1 bilion (18.6%). Sementara itu, berdasarkan sektor ekonomi, sektor perlombongan katanya kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport Sabah dengan nilai RM23.2 bilion, mewakili 40.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negeri ini. “Sektor ini diikuti oleh sektor pertanian dengan nilai RM22.1 bilion (38.3%) dan sektor pembuatan sebanyak RM12.3 bilion (21.3%),” katanya. Dari sudut penggunaan akhir, katanya barangan perantaraan kekal sebagai kategori import terbesar dengan nilai RM17.5 bilion, menyumbang 36.7 peratus daripada jumlah keseluruhan import Sabah. “Kategori ini diikuti oleh barangan penggunaan sebanyak RM15.6 bilion (32.6%) dan barangan modal sebanyak RM7.3 bilion (15.3%). Import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing meningkat 13.2 peratus dan 9.1 peratus, manakala import barangan perantaraan menurun 5.9 peratus,” katanya. – Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Gabriel pertahan Arthur, gesa pemimpin BN hentikan polemik dalaman

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tampil mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sambil menggesa semua pemimpin dalam gabungan itu menghentikan polemik dalaman yang disifatkan hanya akan melemahkan parti serta menguntungkan pihak lawan. Ketua Bahagian PBRS N42 Melalap, Gabriel George Tulas, berkata tuduhan yang dilemparkan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing, terhadap Arthur adalah tidak wajar dan tidak menggambarkan komitmen sebenar beliau dalam memperkukuhkan BN Sabah. “Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh integriti, bukan sahaja di peringkat Persekutuan demi kebajikan rakyat Sabah, malah dalam memastikan struktur dan jentera BN Sabah kekal kukuh serta bersedia menghadapi sebarang cabaran politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, ketiadaan seseorang pemimpin di sesuatu lokasi kempen tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap sumbangan atau peranan yang dimainkan kerana strategi politik melibatkan pelbagai pendekatan dan gerak kerja. “Strategi politik serta sokongan kepada jentera parti merangkumi pelbagai dimensi. Kepimpinan BN Sabah sentiasa bergerak selari dengan mandat dan ketetapan yang diputuskan oleh Kepimpinan Tertinggi BN. “Justeru, tidak adil untuk menilai komitmen seseorang pemimpin hanya berdasarkan kehadiran fizikal di sesuatu lokasi kerana banyak peranan penting dilaksanakan di belakang tabir bagi memastikan parti terus kukuh,” katanya. Gabriel berkata, pemimpin BN perlu mengetepikan perbezaan pendapat dan mengelakkan budaya saling menyalahkan secara terbuka, terutama ketika parti sedang berusaha mengembalikan keyakinan rakyat. “Ini bukan masanya untuk kita bergaduh sesama sendiri atau melemparkan tuduhan melalui media. Tindakan sedemikian hanya akan menguntungkan pihak lawan serta menjejaskan semangat dan kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi,” katanya. Beliau berkata, rakyat ketika ini mahu melihat BN sebagai sebuah gabungan yang matang, bersatu padu dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kestabilan politik, bukannya terus dibelenggu perbalahan dalaman. Katanya, kepimpinan BN Sabah di bawah Arthur yang juga Presiden PBRS kekal terbuka menerima pandangan dan teguran daripada semua pihak, namun setiap isu perlu dibincangkan menerusi saluran dalaman parti secara berhemah. “Kita perlu merapatkan saf, memperkukuhkan jentera dan menumpukan seluruh tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat. Hanya dengan perpaduan dan kesepakatan, BN akan terus relevan serta mampu memperoleh semula mandat rakyat,” katanya.- Info X

August 3, 2026

Info X Reporters

Warisan nafi kenyataan palsu kononnya tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan sekeras-kerasnya satu kenyataan media yang tular di media sosial kononnya parti itu membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan. Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua, berkata dokumen berkenaan adalah palsu dan disifatkan sebagai satu lagi fitnah yang sengaja direka bagi mengaitkan serta memburukkan imej parti. Beliau berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja menyebarkan maklumat tidak benar, malah berani memalsukan dokumen rasmi Warisan sehingga ia kelihatan seolah-olah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti. “Parti Warisan Sabah menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini merupakan satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburuk-burukkan Warisan. “Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia adalah kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin. Loretto berkata, penyebaran dokumen palsu itu dilihat sebagai cubaan mengelirukan orang ramai selain mewujudkan persepsi tidak tepat terhadap pendirian rasmi Warisan. Terdahulu, satu dokumen yang menggunakan kepala surat Warisan tersebar di media sosial dengan mendakwa parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan atas alasan perkembangan politik semasa. Dokumen berkenaan turut mengandungi pelbagai kenyataan berkaitan pendirian politik parti, namun Warisan menegaskan kandungan itu tidak pernah dikeluarkan atau diluluskan oleh kepimpinan parti. Sehubungan itu, Loretto mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dokumen palsu berkenaan, sebaliknya mendapatkan pengesahan melalui saluran komunikasi rasmi Warisan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.- Info X