Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 11, 2026

Info X Reporters

Banjir di Kota Marudu, Pitas pulih, situasi di Paitan kekal

KOTA KINABALU: Banjir di Kota Marudu dan Pitas dilapor beransur pulih pada Rabu dengan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibenarkan pulang petang ini. Hanya di Paitan keadaan banjir dilapor belum pulih dengan jumlah mangsa dipindahkan ke PPS menunjukkan sedikit peningkatan kepada 270 orang setakat jam 4 petang ini, berbanding 266 orang tengah hari tadi. Mangsa yang ditempatkan di empat PPS sekitar daerah itu membabitkan penduduk di 26 kampung yang terjejas akibat banjir kali ini. Sementara itu, laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Paitan menyatakan banjir kali kedua dalam tempoh kurang sebulan di daerah itu disebabkan hujan lebat berterusan sejak Isnin dan masih berterusan hingga Rabu. Bencana banjir diisytihar jam 11 pagi pada 10 Mac di Paitan selepas ramai penduduk daerah itu terputus hubungan dan rumah mereka terjejas banjir, sekali gus memerlukan pemindahan ke PPS demi keselamatan. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Tiga blok bangunan termasuk hotel ditutup, MPS isytihar kawasan bencana

SANDAKAN: Kawasan tanah runtuh yang mengakibatkan seorang pekerja hotel maut selepas tertimbus tanah di sini, hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan ditutup sementara kerana dibimbangi masih berlaku pergerakan tanah. Ia merangkumi tiga blok bangunan termasuk sebuah hotel tiga tingkat dengan jumlah keseluruhan yang terjejas iaitu 32 unit kedai dan rumah, selepas berlaku runtuhan tanah dengan sebatang pokok dianggarkan berusia 30 tahun menghempap bangunan terbabit. Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson, berkata keputusan itu diambil selepas pemerhatian awal mendapati keadaan cerun di belakang bangunan masih tidak stabil dan berpotensi menyebabkan runtuhan susulan. Katanya, penutupan kawasan itu juga bagi membolehkan kajian terperinci mengenai keadaan bentuk muka bumi dan kestabilan cerun dilakukan. “Buat masa ini, kawasan itu kita tutup dan isytiharkan sebagai kawasan bencana kerana masih berlaku pergerakan tanah di belakang blok bangunan. “Kebanyakan bangunan lama di pusat bandar Sandakan dibina sekitar tahun 1950-an dan 1970-an dan terletak di lereng bukit. “Insiden seperti ini jarang berlaku, namun sejak kebelakangan ini beberapa kes pergerakan tanah dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaaan di Lebuh 4, pusat bandar di sini, hari ini. Walter berkata, beliau juga sudah mengarahkan Ketua Jurutera MPS untuk bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mendapatkan khidmat jurutera perunding yang pakar dalam kajian cerun bagi mengkaji tahap keselamatan kawasan cerun. Katanya, seramai 25 keluarga turut terjejas dalam insiden itu dan kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Sandakan yang dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). “Pemantauan berterusan dilakukan kerana hujan masih berterusan dan boleh meningkatkan risiko pergerakan tanah. Setakat ini, sekurang-kurangnya empat kawasan di sekitar bandar dikenal pasti berisiko berlaku pergerakan tanah. “Langkah segera akan diambil untuk menutup kawasan cerun yang terdedah sekali gus mengelak berlaku malapetaka seperti ini,” katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi, seorang pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set jana kuasa di belakang hotel berkenaan selepas bekalan elektrik terputus. Selain itu, 20 kubur di Tanah Perkuburan Sim-Sim turut dilaporkan rosak akibat tanah runtuh susulan hujan berterusan sejak semalam. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Bantuan tunai RM10,000 kepada waris mangsa tanah runtuh Sandakan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10,000 kepada keluarga seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan pada awal pagi Rabu. Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shahminan Sahari, berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson sudah diarahkan untuk mengesan waris mangsa dan menyalurkan bantuan itu secepat mungkin. Mangsa dikenali sebagai Agustine J Lingam, 76, dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel apabila tanah dari kawasan sekitar runtuh lalu menimbusnya. Kejadian itu disahkan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung. Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah setakat jam 12 tengah hari ini merekodkan seramai 1,306 orang terjejas akibat banjir di Kota Marudu, Paitan dan Pitas, membabitkan 40 kampung. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

1,306 mangsa banjir dipindah di utara Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 1,306 mangsa banjir membabitkan 699 keluarga di Kota Marudu, Pitas dan Paitan dipindahkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas tiga daerah itu diisytihar dilanda bencana banjir sejak Selasa. Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat tengah hari ini, Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 998 mangsa, diikuti Paitan (266 mangsa) dan Pitas seramai 42 mangsa. Mangsa terdiri daripada penduduk dari 40 kampung yang terjejas akibat banjir di ketiga-tiga daerah setakat ini dengan Paitan paling banyak terjejas iaitu 26 kampung, diikuti Kota Marudu sebanyak lapan kampung, manakala enam kampung di Pitas. Banjir yang bermula pada Selasa itu adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pertengahan Februari lalu yang ketika itu menyaksikan lebih 5,000 mangsa dipindahkan di tiga daerah utara Sabah itu. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Cubaan seleweng 9,000 liter diesel subsidi terbongkar

LAHAD DATU: Cubaan menyeleweng minyak diesel subsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki bersama sebuah lori tangki dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal sebuah lori jenis Nissan berwarna hitam putih dengan jalur kuning. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti penyelewengan minyak diesel subsidi di kawasan berkenaan. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos yang dipercayai digunakan bagi tujuan memindahkan minyak diesel dari tangki asal ke dalam tangki muatan lori. “Modus operandi ini dipercayai digunakan bagi menyeleweng minyak diesel subsidi sebelum dijual atau dipindahkan ke lokasi lain. “Hasil pemeriksaan turut mendapati jumlah minyak diesel yang diisi ke dalam tangki asal lori berkenaan mencecah 9,000 liter, melebihi had yang dibenarkan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan manakala lori, minyak diesel dan peralatan yang digunakan turut dirampas untuk tindakan lanjut. Katanya, semua rampasan terbabit akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tujuan siasatan lanjut. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM519,500 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962,” katanya. Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini. Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan penyelewengan minyak subsidi. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

Warga emas maut tertimbus tanah runtuh

SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set janakuasa di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar, di sini, dalam kejadian awal pagi tadi. Mangsa, Agustine Frederick J. Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika cuaca hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus. Mangsa yang juga pekerja di hotel terbabit dipercayai cuba menghidupkan janakuasa yang terletak di bahagian belakang bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik, bagaimanapun berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, bomba menerima panggilan pada jam 6.39 pagi dan menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi kejadian, katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah. “Kerja menyelamat dilakukan dengan menggunakan peralatan penyodok bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sebelum mangsa dapat dikeluarkan pada jam 7.14 pagi. “Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. Jimmy berkata, mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas memastikan keadaan kawasan selamat serta tiada lagi risiko bahaya. – Info X

March 11, 2026

Info X Reporters

20 kubur terjejas tanah runtuh

SANDAKAN: Kira-kira 20 petak kubur di Tanah Perkuburan Jalan Sim Sim, di sini dilaporkan terjejas susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan, pagi ini. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 pagi dengan runtuhan dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang berterusan sejak semalam. Menurutnya, hasil pemantauan awal mendapati runtuhan membabitkan kawasan cerun di tanah perkuburan berkenaan. “Kawasan jalan raya tidak terjejas kerana jarak runtuhan dianggarkan kira-kira 12 meter dari laluan utama. “Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar sentiasa terjamin,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sulaiman berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan berada berhampiran kawasan itu terutama ketika hujan berterusan berikutan risiko runtuhan susulan. Dalam perkembangan sama, katanya anggota APM turut melakukan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir susulan hujan berterusan. Antara kawasan terbabit ialah Batu 16, Ladang Sandakan di Batu 10 serta Batu Sapi. “Setakat pemantauan bermula jam 2 pagi tadi, kebanyakan kawasan masih dalam keadaan terkawal dan tiada penempatan dilaporkan terjejas. “Bagaimanapun, terdapat limpahan air di Jalan Lintas Batu Sapi yang menyebabkan gangguan lalu lintas, namun laluan berkenaan masih boleh digunakan,” katanya. – Info X

March 10, 2026

Info X Reporters

1,530 peket minyak masak cuba diseludup ke negara jiran dirampas

SEMPORNA: Cubaan menyeludup 1,530 peket minyak masak ke negara jiran digagalkan dalam operasi bersepadu di perairan Singamata dan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam. Dalam operasi itu, anggota Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya menahan sebuah bot kayu yang mencurigakan ketika melakukan rondaan laut menerusi Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 3. Batalion 22 PGA Kunak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook malam ini memaklumkan bot berwarna kelabu itu ditahan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan. Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot yang dikendalikan dua lelaki warga tempatan itu menemui sejumlah besar minyak masak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. “Hasil pemeriksaan menemukan 1,530 peket minyak masak bersubsidi jenama Sun Flower seberat satu kilogram setiap satu yang disimpan dalam 90 bungkusan plastik hitam. “Turut dirampas dua gelen petrol, sebuah enjin bot Yamaha 200 kuasa kuda serta peralatan berkaitan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan,” katanya. Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM67,442. Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurutnya, Batalion 22 PGA Kunak akan terus mempergiatkan operasi risikan dan rondaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di kawasan ESSZONE, khususnya di perairan Kunak dan Semporna. – Info X