July 25, 2026
Info X Reporters
Hajiji cadang Muzium Mini Penjawat Awam Sabah
KOTA KINABALU: Sebuah Galeri atau Muzium Mini Penjawat Awam dicadang diwujudkan bagi mengenang jasa dan mempamerkan pencapaian Perkhidmatan Awam Negeri di bawah setiap Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN). Mencadangkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata galeri itu boleh mempamerkan segala dokumen, teks ucapan dan memorabilia berkaitan mantan SKN, termasuk rekod pencapaian dan kejayaan dari satu era ke satu era, sesuai dengan kepimpinan setiap SKN. “Sudah pasti galeria ini boleh menjadi pusat rujukan untuk pembangunan sektor perkhidmatan awam, sekali gus sebagai pusat sumber bagi golongan pelajar dari peringkat menengah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi bekas SKN, Datuk Seri Safar Untong di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi. Ketua Menteri berkata jawatan SKN ini adalah jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri. “Sejak kita merdeka 63 tahun lalu, Sabah baru mempunyai 11 orang SKN, iaitu Robert Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Datu Khalil Jamalul, Datuk KY Mustafa, Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan terkini, Datuk Zainudin Aman. “Setiap bekas SKN ini, mereka mempunyai kelebihan, kejayaan dan legasi mereka yang tersendiri. Maka pada malam ini kita meraikan legasi yang ditinggalkan oleh SKN ke-10 (Safar), setelah enam tahun tujuh bulan 24 hari beliau menggalas jawatan itu dengan warna-warni perjuangan bersama pimpinan negeri dan warga penjawat awam,” katanya. Hajiji turut memberi pujian kepada Safar yang menurut beliau bukan saja berjaya menambah tahap kecekapan dalam perkhidmatan awam negeri, malah berupaya melakukan perubahan yang positif, selaras dengan perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat selama memegang jawatan SKN. “Beliau mengusahakan inisiatif pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan dengan memperkenalkan Smart Digital Government atau Kerajaan Pintar Digital di dalam sistem penyampaian kerajaan. “Satu usaha yang bukan sahaja wajar diteruskan, bahkan dinaik taraf dari semasa ke semasa sesuai dengan kehendak dan keperluan,” katanya. Hajiji berkata memandangkan Safar berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan, di samping kebolehannya dalam soal pembangunan tanah, maka beliau diberi peranan baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED). “Saya percaya syarikat kerajaan itu akan mendapat faedah yang besar daripada kepimpinan Datuk Seri Panglima Safar,” katanya. Dalam pada itu, Hajiji bagi pihak pimpinan Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas jasa bakti dan sumbangan kepada Perkhidmatan Awam Negeri sebagai SKN. – Info X
July 25, 2026
Info X Reporters
Cawangan Siasatan & Pendakwaan juara keseluruhan kejohanan badminton BSPT IPD Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Cawangan Siasatan dan Pendakwaan muncul juara keseluruhan Kejohanan Badminton Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu 2026 selepas mengungguli dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung di Dewan IPD Kota Kinabalu, di sini, semalam. Kejohanan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu dianjurkan oleh Cawangan Pengurusan Saman BSPT IPD Kota Kinabalu dengan penyertaan pegawai kanan polis, anggota, kakitangan awam serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) BSPT. Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan warga BSPT, malah bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori VIP dan Veteran, Kategori Lelaki Terbuka serta Kategori Perempuan yang masing-masing mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta. Kategori VIP dan Veteran melibatkan pegawai kanan polis serta anggota berusia 45 tahun ke atas, manakala Kategori Lelaki Terbuka disertai pegawai, anggota dan kakitangan awam lelaki. Kategori Perempuan pula menghimpunkan anggota wanita, kakitangan awam serta ahli PERKEP BSPT. Bagi memastikan pertandingan berlangsung lebih kompetitif, perlawanan Kategori VIP dan Veteran serta Lelaki Terbuka dijalankan menggunakan sistem Winner and Loser, manakala Kategori Perempuan menggunakan format liga berkumpulan. Dalam Kategori VIP dan Veteran, pasangan beregu DSP Khazrul Shah Annuar Ahmad bergandingan dengan Inspektor Mohamad Kemil muncul juara selepas menewaskan pasangan beregu ASP Jupri bersama Inspektor Brymenedran pada perlawanan akhir. Tempat ketiga pula menjadi milik pasangan beregu Inspektor Irian dan Sarjan Jeff. Sementara itu, Kategori Lelaki Terbuka menyaksikan pasangan beregu Koperal Hafiz dan Koperal Awang muncul juara, manakala Sarjan Mejar Suhayimi bersama Fadrian bergelar naib juara. Tempat ketiga dimenangi pasangan beregu Koperal Silwanus dan Lans Koperal Robin Wong. Bagi Kategori Perempuan pula, pasangan beregu Koperal Linda dan Lans Koperal Aliza membuktikan keunggulan apabila muncul juara. Naib juara dimenangi pasangan beregu Koperal Melissa dan Lans Koperal Seetha, manakala tempat ketiga menjadi milik pasangan beregu Koperal Camelia dan Puan Jastina. Kejayaan mengungguli dua kategori membolehkan Cawangan Siasatan dan Pendakwaan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan, sekali gus mencerminkan komitmen serta semangat kesukanan tinggi yang dipamerkan anggotanya sepanjang pertandingan berlangsung. Sepanjang kejohanan, semua perlawanan berlangsung dalam suasana harmoni, penuh semangat kesukanan dan muhibah tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Penganjuran kejohanan itu diharapkan dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga BSPT IPD Kota Kinabalu, di samping menyemai budaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM. – Info X
July 25, 2026
Info X Reporters
Tawau diisytihar kawasan bencana banjir
TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau hari ini mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi yang meningkatkan risiko limpahan air di beberapa kawasan. Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said berkata, pengisytiharan bencana itu berkuat kuasa pada jam 8.30 pagi bagi membolehkan semua agensi berkaitan menggerakkan tindakan pengurusan bencana secara bersepadu. Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan cuaca, hujan berterusan serta fenomena air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi. Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau memaklumkan pasukan pemantau telah digerakkan seawal jam 3.55 pagi bagi memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau, lokasi yang dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya. “Hasil pemantauan mendapati paras air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing berada pada 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan bacaan 0.4 meter dan semuanya masih dalam keadaan terkawal,” menurut kenyataan itu. Katanya, pada jam 8 pagi, bacaan paras air direkodkan pada 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan, manakala keadaan cuaca ketika pemantauan adalah gerimis. “Setakat ini, tiada jalan yang dinaiki air atau terputus, tiada kampung terputus hubungan, selain tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal,” katanya Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, APM Tawau menggerakkan seorang pegawai, sembilan anggota serta aset sebuah Medium Rescue Vehicle (MRV) dan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) untuk operasi pemantauan dan kesiapsiagaan. JPBD Tawau memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan paras air dari semasa ke semasa serta menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
July 25, 2026
Info X Reporters
48 mangsa banjir kilat dipindahkan ke PPS di Tawau
TAWAU: Seramai 48 penduduk yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanjung Batu Keramat di sini berjaya dipindahkan ke sebuah masjid berhampiran yang dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 3.10 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi enam minit kemudian. Katanya, banjir kilat yang berpunca daripada hujan lebat berterusan turut menjejaskan beberapa kawasan lain iaitu Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Perumahan Taman Sunshu dan Taman Sri Balung. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemantauan di semua lokasi terjejas serta memindahkan mangsa yang terperangkap di Kampung Tanjung Batu Keramat ke PPS. “Keadaan paras air dilaporkan semakin surut dan terkawal sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, sepanjang operasi berlangsung, Bilik Kawalan BBP Tawau turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan terjejas. “Selepas memastikan tiada lagi ancaman di lokasi dan keadaan adalah selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi,” katanya. Daripada keseluruhan mangsa yang dipindahkan, dua adalah warga emas, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, selain sembilan lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
July 25, 2026
Info X Reporters
Dua ahli korporat syarikat beroperasi di Sabah raih anugerah berprestij Golden Bull Awards 2026
KOTA KINABALU: Dua ahli korporat sebuah syarikat tempatan bertaraf antarabangsa, di sini, menempa kejayaan dalam dunia korporat di peringkat kebangsaan apabila meraih anugerah berprestij Golden Bull Awards 2026 pada majlis penganugerahan yang berlangsung di ibu negara, malam tadi. Anugerah itu menjadikan kedua-dua mereka, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck dan Subha Sathiamoorthy Maraiah yang kini menerajui sebuah syarikat tempatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif satu kebanggaan bukan saja kepada syarikat, malah dunia korporat di Sabah. Syarikat bertaraf antarabangsa yang diterajui mereka terbabit dalam operasi yang merangkumi sektor pembinaan, tenaga, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, infrastruktur serta perlombongan di Kelantan dan Sabah. Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan serta sumbangan mereka kepada industri, Datuk Seri Mossco menerima Super Golden Bull Award 2026, manakala Subha dinobatkan sebagai penerima Golden Bull Inspirational Entrepreneur Award 2026 pada majlis Golden Bull Awards 2026. Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim. Berkongsi rahsia kejayaannya, Mossco berkata kepercayaan sepenuhnya terhadap rakan kongsi, komitmen tinggi serta dedikasi dalam setiap tugasan menjadi asas kepada pencapaian syarikat. “Matlamat kami pada masa depan adalah untuk menjadi sebuah lagi syarikat Malaysia yang tersenarai dalam World Fortune 500 companies,” katanya. Sementara itu, Subha berkata kejayaan syarikat didorong oleh budaya kerja yang berteraskan perancangan strategik, selain sentiasa mengutamakan inovasi dan penerapan teknologi baharu. “Mantra kami mudah, plan your work and work your plan. Kami sentiasa dahagakan inovasi, teknologi baharu dan mahu terus bergerak ke hadapan,” katanya kepada pemberita. Mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, mereka berkata fokus utama adalah untuk menerajui pembangunan teknologi telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, di samping memperluaskan pelaksanaan projek tenaga hijau serta rangkaian gentian optik menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah. Pada masa sama, syarikat itu turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam pembangunan sebuah makmal ujian perlombongan khas bagi unsur nadir bumi (REE) dan emas. Menurut mereka, makmal tersebut dijangka menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang dilengkapi Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi ujian unsur nadir bumi (REE). “Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai SOP khas bagi ujian REE. Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya. Kejayaan yang dikecapi oleh Mossco dan Subha membuktikan bahawa latar belakang bukanlah penentu masa depan seseorang. Sebaliknya, usaha gigih, kepimpinan berwawasan dan semangat berpasukan mampu membuka jalan ke arah kejayaan. Dengan latar belakang berasal dari keluarga sederhana, mereka membuktikan mampu berjaya dalam dunia korporat sehingga mendapat pengiktirafan berprestij hasil kegigihan usaha dan komitmen terhadap pembangunan syarikat dalam industri yang diceburi. Mereka juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk berani menceburi bidang keusahawanan dan korporat, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negara. – Info X
July 24, 2026
Info X Reporters
500 pelajar sekolah menengah menjadi “Duta Keselamatan” di Labuan
LABUAN: Seramai 500 pelajar Tingkatan Tiga daripada 11 sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Kempen Kesedaran Keselamatan “Let’s Be Safe” bagi memupuk budaya keselamatan dalam kalangan generasi muda. Program tajaan penuh syarikat minyak dan gas Hibiscus Petroleum itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan di Desa Tunas Hijau. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan keselamatan diri ketika mereka semakin berdikari dalam kehidupan seharian. Sepanjang program, para pelajar mengikuti demonstrasi dan ceramah yang memberi penekanan kepada keselamatan diri, pencegahan kemalangan serta kesedaran terhadap pelbagai risiko di alam fizikal dan dalam talian. Antara pengisian utama ialah demonstrasi kebakaran dan penunggangan motosikal secara selamat, ceramah mengenai keselamatan media sosial yang menyentuh isu buli siber, buli fizikal dan penipuan dalam talian, serta perkongsian mengenai keselamatan kebakaran dan kesiapsiagaan menghadapi banjir. Kempen ini membawa mesej bahawa keselamatan merupakan amalan sepanjang hayat dan setiap individu perlu sentiasa peka terhadap risiko di rumah, sekolah, tempat awam mahupun alam maya, di samping mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekeliling mereka. Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Yahya bin Ahmad Puteh berkata kejayaan penganjuran kempen itu membuktikan bahawa kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan WP Labuan, agensi kerajaan dan sektor korporat amat penting dalam memperkasa pembangunan murid secara menyeluruh. Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang menggalakkan sinergi bersama semua pihak berkepentingan. “Pendidikan bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek akademik dan kognitif, malah murid juga perlu didedahkan kepada kemahiran serta nilai yang dekat dengan kehidupan seharian mereka, termasuk aspek keselamatan. “Soal keselamatan tidak boleh dikompromi kerana setiap daripada kita sentiasa berdepan pelbagai risiko dalam kehidupan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum, PDRM dan JBPM Labuan atas komitmen menjayakan program ini. Pengurus Loji Terminal Minyak Mentah Labuan Hibiscus Petroleum, Sylvester Untin berkata kempen itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda melalui perkongsian ilmu dan panduan keselamatan, yang menjadi keutamaan dalam operasi harian Hibiscus Petroleum. “Kempen ini bertujuan memperkasakan pelajar dengan ilmu dan kesedaran untuk membuat keputusan yang selamat serta bertanggungjawab dalam kehidupan seharian, khususnya berkaitan keselamatan media sosial, penunggangan motosikal, kebakaran dan banjir. “Tahniah kepada semua peserta. Mulai hari ini, anda ialah duta keselamatan. Amalkan segala tip dan panduan yang dipelajari hari ini serta kongsikan ilmu tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya. Program itu melibatkan penyertaan pelajar daripada SMK Lajau, SMK Pantai, SMK Labuan, SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK Rancha-Rancha, SM St. Anne, SM St. Anthony, SM Sains Labuan, SMK Mutiara, SMA MAIWP Labuan dan Kolej Vokasional Labuan. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Mohamad Pindut dan Eksekutif Kanan Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Durie Rainer Fong.- Info X
July 24, 2026
Info X Reporters
Stor barang kawalan di pulau diserbu, gula, minyak masak dan tepung disita
KUDAT: Sebuah lokasi penyimpanan barang kawalan di Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, di sini, diserbu selepas disyaki dijadikan tempat menyimpan bekalan dalam kuantiti besar berhampiran sempadan negara. Serbuan menerusi operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat itu dijalankan hasil risikan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi. Katanya, pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan menemukan sejumlah besar barang kawalan yang disyaki disimpan tanpa dokumen atau kebenaran berkaitan. “Hasil pemeriksaan menemukan 432 kilogram (kg) gula kasar, 408kg minyak masak paket satu kilogram dan 210kg tepung gandum. “Seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semua barang kawalan terbabit disita KPDN untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa. Beliau berkata, satu tindakan kes dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Katanya, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk cubaan menyalahgunakan subsidi kerajaan. “Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutama di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya. Nazatul Shima turut merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama strategik dalam menjayakan operasi berkenaan termasuk dari aspek keselamatan anggota, sokongan logistik dan bantuan operasi di lapangan. Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada KPDN menerusi saluran rasmi disediakan. – Info X
July 24, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan ugut ahli keluarga guna objek berbahaya
BEAUFORT: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengugut ahli keluarganya menggunakan beberapa objek berbahaya dalam kejadian di Kampung Kilugus, Menumbok, di sini. Suspek dipercayai melakukan ugutan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan bimbang terhadap keselamatan diri serta ahli keluarga lain. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas laporan diterima, anggota dari Balai Polis Menumbok menjalankan tindakan sebelum berjaya menahan suspek pada 23 Julai lalu. Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. “Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Champin berkata, penyalahgunaan dadah khususnya syabu boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang sehingga bertindak agresif, hilang pertimbangan serta berpotensi mengugut atau mencederakan orang lain termasuk ahli keluarga sendiri. Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui individu terbabit dengan dadah atau menunjukkan tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan. Katanya, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X