June 13, 2026
Info X Reporters
Projek Sabah Southern Madani Link pastikan bekalan elektrik lebih stabil untuk pembangunan negeri – KM
SIPITANG: Bekalan elektrik di Sabah disasar lebih stabil dan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan Projek Sabah Southern MADANI Link, di sini. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek infrastruktur penghantaran elektrik itu adalah pelaburan strategik yang akan memberi kesan besar kepada kestabilan dan kemampanan tenaga negeri, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang. Beliau berkata, projek berkenaan juga akan memperkukuh jaringan penghantaran elektrik negeri, meningkatkan kestabilan sistem grid dan mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat. “Projek ini juga amat penting untuk membawa Sabah ke fasa pembangunan yang seterusnya apabila pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, industri minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden, pusat data digital serta industri berasaskan teknologi dapat menikmati bekalan tenaga yang stabil, mencukupi dan berkualiti. “Justeru, pembangunan sektor tenaga bukan lagi sekadar memenuhi keperluan semasa, sebaliknya menjadi asas kepada perancangan masa depan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Sabah Southern MADANI Link yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh, di sini pada Sabtu. Hajiji berkata, projek berkenaan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri dalam menyokong program pembangunan Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan asas rakyat melalui penyediaan infrastruktur tenaga yang lebih berdaya tahan. Jelasnya, pelaksanaan projek itu juga mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah memiliki sistem bekalan elektrik yang lebih stabil, kukuh dan berkualiti. Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju pembangunan sektor tenaga menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP) 2040 yang berpaksikan tiga teras utama, iaitu keselamatan tenaga, akses tenaga yang saksama dan kemampanan tenaga. Katanya, pelan itu menjadi panduan utama kerajaan bagi memastikan bekalan tenaga bukan saja mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa, malah mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang. Hajiji berkata, pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui juga akan terus dipergiatkan memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Borneo. “Dengan sumber hidro yang melimpah, kadar sinaran suria yang tinggi sepanjang tahun serta potensi biojisim yang luas, Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menerajui pembangunan tenaga bersih di rantau ini. “Potensi ini bukan saja mampu menarik pelaburan bernilai tinggi, malah mewujudkan peluang ekonomi baharu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya. Ketua Menteri berkata, infrastruktur tenaga yang kukuh amat penting bagi menyokong pembangunan kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu serta pelbagai kawasan perindustrian dan hab pertumbuhan ekonomi yang sedang dirancang di seluruh negeri. Katanya, semua kawasan berkenaan memerlukan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan mencukupi bagi menyokong aktiviti industri serta menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa. “Projek Sabah Southern MADANI Link bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik antara wilayah, malah menyediakan kapasiti yang diperlukan untuk mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid Sabah pada masa hadapan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan yang diberikan terhadap pelaksanaan projek berkenaan serta semua pihak yang menjayakan usaha itu. “Semoga projek ini menjadi asas kepada masa depan Sabah yang lebih gemilang dengan bekalan tenaga yang stabil, ekonomi yang terus berkembang pesat dan kemajuan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya. Projek Sabah Southern MADANI Link dilaksanakan dalam dua fasa utama, dimulai dengan Fasa 1A melibatkan pembinaan talian penghantaran 275kV dari PMU Mengalong ke PMU Upper Padas dengan kos sebanyak RM198 juta. Ia membabitkan pembinaan 162 menara penghantaran dan talian sepanjang 60 kilometer yang dijangka siap pada September 2028. Sementara itu, Fasa 1B melibatkan pembinaan talian penghantaran dari PMU Upper Padas ke PMU Tawau dengan anggaran kos sebanyak RM1.4 bilion yang membabitkan pembinaan 890 menara penghantaran sepanjang 330 kilometer. Projek itu bakal melengkapkan rangkaian penghantaran strategik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah. Apabila siap sepenuhnya, Sabah Southern MADANI Link akan menjadi tulang belakang kepada integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui berskala besar di Sabah, khususnya pembangunan Tenom Hydro Hub yang merangkumi Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, Telekosang, Upper Padas dan Oriole. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
ESSCOM rampas minyak masak, petrol bernilai lebih RM101,000
SANDAKAN: Sebanyak 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam serbuan Op Tiris 4.0 di kawasan jeti Sungai Jipon, Jalan Datuk Tay, di sini, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut menahan seorang lelaki yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala empat lagi suspek berjaya meloloskan diri. Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (MARTEK) Sandakan. Menurutnya, sepasukan anggota keselamatan yang menjalankan operasi di kawasan jeti Sungai Jipon mengesan timbunan plastik hitam mencurigakan di daratan serta sebuah bot yang sedang berlabuh berhampiran. “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua lelaki berada di daratan manakala tiga lagi berada di atas bot yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi. “Ketika pasukan keselamatan memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan, seorang lelaki berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri. “Tiga lagi suspek yang berada di atas bot bertindak terjun ke sungai sebelum meloloskan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap 140 plastik hitam yang ditemui di lokasi membawa kepada penemuan 2,380 paket minyak masak bersubsidi serta lima tong jerikin mengandungi 150 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. Katanya, suspek yang ditahan bersama barang rampasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/69 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM101,508,” katanya. Victor berkata, ESSCOM bersama PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperhebat operasi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan bersubsidi di kawasan pantai timur Sabah. Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak diseludup keluar sewenang – wenangnya ke negara jiran tanpa kelulusan atau permit sah daripada pihak berkuasa. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
Objek disyaki bom lama ditemui penyelam, TLDM laksana operasi pemusnahan
KOTA KINABALU: Objek disyaki bahan letupan lama atau Unexploded Ordnance (UXO) yang ditemui di dasar laut berhampiran Pulau Mamutik, di sini berjaya dimusnahkan menerusi operasi khas yang dilaksanakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), semalam. Markas Pemerintahan Armada Timur dalam kenyataan media, hari ini memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama antara Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT). Katanya, objek berkarat berukuran kira-kira 25 sentimeter berkenaan ditemui pada 9 Jun lalu oleh seorang pemandu aktiviti snorkeling di dasar laut sebelum penemuan terbabit dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman. “Penilaian awal mendapati objek itu berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam. “Berikutan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, tanggungjawab operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan ketetapan Operation Planning Committee (OPC),” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, pasukan EOD yang terdiri daripada anggota Cawangan Selam MPA Timur dan DPBLT menjalankan penilaian teknikal menyeluruh sebelum melaksanakan prosedur pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan. “Operasi khas berkenaan diketuai Leftenan Komander Ts Ahmad Firdaus Zikaria TLDM yang bertanggungjawab menyelaras keseluruhan operasi bagi memastikan setiap fasa dilaksanakan mengikut prosedur keselamatan serta piawaian EOD. “Operasi itu berjaya disempurnakan dengan selamat, teratur dan tanpa sebarang insiden,” katanya. Susulan kejayaan operasi itu, katanya kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat sekali gus menjamin keselamatan pengunjung serta komuniti maritim. Dalam masa sama, Markas Pemerintahan Armada Timur merakamkan penghargaan kepada PDRM Kota Kinabalu, pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman, komuniti maritim serta pengusaha resort dan aktiviti pelancongan yang membantu sepanjang operasi dijalankan. Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemui di laut, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
Perkhidmatan ‘Bas Pink’ dapat sambutan, 30,000 penumpang direkod sejak April
KOTA KINABALU: Lebih 30,000 penumpang direkod menggunakan perkhidmatan Transformasi Perkhidmatan Bas Perhentian (SBST) atau Bas Pink di bandar raya ini sejak pelancarannya pada April lalu. Bekas Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Vivian Wong Shir Yee, berkata ia adalah petunjuk positif mengenai penerimaan orang ramai terhadap pengangkutan awam itu. “Sejak pelancaran perkhidmatan pada April 2026, lebih daripada 30,000 perjalanan penumpang telah direkodkan. “Ini merupakan petunjuk positif bahawa rakyat Sabah mula menerima pengangkutan awam apabila perkhidmatan disediakan dengan lebih mudah diakses dan responsif terhadap keperluan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Ahli Parlimen Sandakan itu, berkata saiz bas yang sesuai dengan laluan perkhidmatan itu mampu menggalakkan peningkatan jumlah penumpang dan memperbaiki keterhubungan antara komuniti. Jelasnya, kejayaan SBST Sabah perlu diukur melalui peningkatan jumlah penumpang, peningkatan aksesibiliti, pengurangan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan penambahbaikan keseluruhan mobiliti rakyat Sabah. “Seiring dengan pertambahan permintaan dan corak perjalanan yang semakin jelas, kerajaan kekal terbuka dan bersedia untuk menyesuaikan saiz armada, termasuk penggunaan bas yang lebih besar sekiranya dibenarkan oleh permintaan penumpang dan keperluan operasi. “Saya yakin melalui penglibatan berterusan, maklum balas yang membina dan perancangan berasaskan bukti, program SBST akan terus berkembang menjadi sistem pengangkutan awam yang moden, cekap dan berpusatkan rakyat di Sabah,” katanya. Vivian menjelaskan SBST Sabah direka berasaskan kajian, keperluan tempatan dan kelestarian jangka panjang, bukan diwujudkan dalam sekelip mata. Jelasnya, ia adalah hasil perancangan, perundingan dan kajian bertahun-tahun yang bertujuan menangani cabaran unik pengangkutan awam di Sabah. “Kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati hanya sekitar 20 peratus rakyat Sabah menggunakan pengangkutan awam. “Kajian tersebut turut menekankan pergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan bandar. “Dapatan ini telah dikaji dengan teliti oleh LPKP Sabah sejak 2022 dan menjadi sebahagian daripada asas pembangunan rangka kerja SBST. Pelantikan pengendali SBST telah dilaksanakan melalui proses tender yang ketat dan kompetitif,” katanya. Beliau berkata, objektif perkhidmatan itu adalah memastikan Sabah menerima perkhidmatan bas awam yang boleh dipercayai, mampan dan diurus secara profesional. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
Setengah juta benih udang untuk pengusaha kolam udang Kampung Bintuka
BEAUFORT: Sebanyak 500,000 benih udang disediakan kepada enam pengusaha kolam udang seluas kira-kira 50 ekar, di Kampung Bintuka, di sini, sebagai permulaan untuk membantu usaha mereka. Bantuan itu diumumkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Jamawi Jaafar, ketika lawatan kerjanya ke beberapa aktiviti pertanian dan akuakultur di daerah ini dan Membakut pada Jumaat. Inisiatif itu, katanya sejajar komitmen kerajaan untuk membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan ternakan udang yang mempunyai potensi pulangan lumayan. Ketika ini, beliau berkata pengusaha kolam udang di kampung terbabit memasarkan udang segar untuk pasaran Kota Kinabalu dan Brunei. “Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian dikehendaki pasaran, termasuk restoran makanan laut di Kota Kinabalu. “Hari ini saya datang untuk melihat sendiri keperluan mereka dan sebagai permulaan kita membantu menyediakan sebanyak 500,000 benih udang bagi kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan ini,” katanya. Jamawi berkata, kementeriannya turut bersetuju membantu menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh digunakan bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan. Katanya, sebuah tapak yang sesuai sudah dikenal pasti bagi pembinaan kolam simpanan dan sistem penyimpanan sejuk yang lebih baik untuk memastikan hasil tuaian dapat dikendalikan dengan lebih teratur. “Ketika musim menuai, ada kalanya sebahagian hasil tidak dapat diambil segera oleh pembeli. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha boleh menyimpan hasil mereka dengan lebih baik sebelum dipasarkan. “Ia akan membantu menjamin kualiti udang sentiasa segar dan sistem penyimpanan yang dicadangkan mampu mengekalkan kualiti produk sehingga sebulan,” katanya. Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu menjana pendapatan yang tinggi jika diurus secara sistematik dan berdaya maju. “Satu kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kolam. “Sebab itu saya selalu tekankan bahawa pertanian, perikanan dan penternakan boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha, khususnya penduduk kampung, jika diuruskan dengan baik dan terancang,” katanya. Beliau berkata, Jabatan Perikanan (DOF) juga diarahkan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dibantu kerajaan. Antara keperluan yang dibangkitkan ialah penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan kualiti ternakan udang. “Peruntukan untuk keperluan itu memang ada di Jabatan Perikanan. Saya minta supaya pelaksanaannya dibuat secara lebih teratur dan jika sempat kita laksanakan tahun ini, jika tidak ia akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan seawal mungkin,” katanya. Beliau berkata, spesies udang putih atau Penaeus vannamei yant diternak pengusaha adalah antara spesies popular dalam industri akuakultur dan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa. Terdahulu, Jamawi turut mengadakan lawatan ke perusahaan belacan dan ikan bilis di Kampung Binsuluk, Membakut. Lawatan kerja beliau diserta Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber, Konservasi & Penyelidikan Jabatan Perikanan Sabah (DOF), Irman Isnain; Ketua Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Moris Chong dan Penguasa Perikanan (Pegawai Perikanan) Daerah Beaufort, Abdul Adnan Amna. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
Ops Imigresen: 114 warga asing ditahan
KOTA KINABALU: Seramai 114 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melanggar syarat imigresen. Operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja itu turut menyaksikan seramai 258 individu diperiksa di ketiga-tiga daerah terbabit. Tawau mencatat jumlah tangkapan tertinggi apabila seramai 61 warga asing ditahan selepas 108 individu diperiksa. Daripada jumlah itu, 54 adalah warga Filipina terdiri daripada 53 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, selain seorang lelaki warga Pakistan serta enam warga Indonesia membabitkan dua lelaki dan empat wanita. Di Lahad Datu, seramai 35 warga asing ditahan selepas 86 individu diperiksa. Tangkapan membabitkan 22 warga Filipina iaitu tujuh lelaki dewasa, enam wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan. Turut ditahan ialah 13 warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan. Sementara itu di Sandakan, seramai 18 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 64 individu. Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 warga Filipina iaitu sembilan lelaki dewasa dan lapan wanita dewasa serta seorang wanita warga Indonesia. Semua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas imigresen. JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
Pasar raya Bataras terbakar 40 peratus
KOTA KINABALU: Sebuah pasar raya di Jalan Ganang, Kepayan, di sini, mengalami kerosakan kira-kira 40 peratus selepas terbakar dalam kejadian malam tadi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.43 malam. Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari BBP Putatan dikejarkan ke lokasi sebelum turut menerima bantuan anggota dari BBP Kota Kinabalu. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan pasar raya jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 260 meter persegi. “Kebakaran mengakibatkan 40 peratus daripada struktur premis berkenaan terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 183 meter dengan empat pancutan air yang disalurkan daripada jentera bomba. Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 10.35 malam sebelum pasukan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. “Selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi risiko kebakaran semula, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam,” katanya. Operasi itu membabitkan seramai 22 anggota bomba dengan bantuan beberapa aset termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Water Tanker. – Info X
June 13, 2026
Info X Reporters
CPO lebih RM400,000 dipindah secara haram, empat ditahan
SANDAKAN: Taktik memindahkan hampir 40 tan minyak sawit mentah (CPO) dipercayai tanpa kebenaran menggunakan lori tangki dan lori kotak terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Jalan Check Point Batu 32, di sini, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 11.45 pagi itu, empat lelaki berusia antara 34 hingga 44 tahun diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemindahan CPO yang menyalahi peraturan pelesenan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM424,000. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan pasukan penguat kuasa di kawasan berkenaan. Menurutnya, ketika operasi dijalankan, anggota mengesan aktiviti pemunggahan minyak sawit mentah daripada sebuah lori tangki ke sebuah lori kotak tiga tan. “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam unit tangki perantara pukal (IBC Tank) berkapasiti 1,000 liter, sebuah enjin pam, dua tong drum dan satu hos yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan CPO berkenaan. “Empat lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, pasukan operasi turut merampas sebuah lori tangki, sebuah lori kotak tiga tan serta kira-kira 39,980 kilogram minyak sawit mentah. “Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan CPO dianggarkan berjumlah RM424,210. “Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Pelesenan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 (PPLMSM 2005),” katanya. Ahmad Amri berkata, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan tujuh kes berkaitan pelanggaran peraturan pelesenan MPOB dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM7.46 juta serta melibatkan 19 tangkapan. Katanya, pihaknya akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan, penyeludupan serta pelanggaran undang-undang yang melibatkan komoditi strategik negara demi memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara. – Info X