Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 15, 2026

Info X Reporters

KDM tamatkan kerjasama dengan GRS

PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Pemangku Presidennya, Pricella Peter, berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi KDM bagi membolehkan parti berkenaan bergerak mengikut kehendaknya di luar GRS. Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang berat, tapi perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap KDM dan mejunjukkan yang KDM mempunyai hala tuju masa depannya. “Apa yang berlaku selepas pilihan raya lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap asas parti kita dan gerakan yang kita buat hari ini, keputusan ini, untuk menunjukkan bahawa ia dibuat bukan apabila tiba pilihan raya. “Kita perlu mengambil tindakan dan menarik semula kepercayaan daripada akar umbi supaya rakyat tidak melihat parti kita bertindak hanya pada masa piluhan raya, apabila Parlimen dibubarkan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan tahunan KDM bagi menjelaskan hala tuju baharu parti itu, di sini, pada Sabtu. Hadir sama Timbalan Presiden KDM yang juga ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi, Ahli Majlis Tertinggi KDM dan pemimpin tertinggi parti. Berikutan keputusan itu, katanya mana-mana pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan pimpinan GRS mungkin tertakluk kepada protokol perjawatan kerajaan, termasuk kemungkinan meletak jawatan. Pricella berkata, keputusan KDM itu termasuk kemungkinan mengadakan perbincangan dengan parti-parti tempatan lain sebagai persiapan untuk menghadapi PRU16 yang dijangka diadakan tahun depan. Katanya, KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU16 nanti, sebaliknya akan bergabung dengan parti tempatan lain, antaranya mungkin Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). “Mungkin Warisan dan mungkin STAR juga, tapi kita belum memutuskan sebarang keputusan kerana kita perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu. Tapi kemungkinan parti tempatan itu, ya,” katanya. Mengenai cadangan penubuhan blok Borneo, beliau berkata perkara itu memerlukan masa untuk dibincang sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat. Majlis perjumpaan dan amanat presiden itu, katanya dihadiri lebih 300 pemimpin dan ahli KDM dari 25 bahagian. Pricella turut menjelaskan ketidakhadiran seorang lagi Timbalan Presiden KDM yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda yang katanya sibuk dengan urusan di Parlimen. – Info X

August 15, 2026

Info X Reporters

Gaduh rakan sekerja, wanita ditahan

TAWAU: Perselisihan faham antara dua rakan sekerja di Hospital Tawau bertukar kecoh apabila seorang wanita didakwa menolak dan menendang rakannya sebelum melakukan ugutan jenayah. Susulan kejadian itu, wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan, manakala mangsa yang berusia lingkungan 20-an mengalami kesakitan pada bahagian badan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berada di bilik rehat sebelum didatangi suspek yang dikenalinya. Katanya, suspek dipercayai meninggikan suara terhadap mangsa susulan perselisihan faham antara mereka. “Suspek kemudiannya didakwa menolak dan menendang mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian badan. “Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau menggunakan kekerasan apabila berlaku perselisihan faham. Katanya, sebarang pertikaian di tempat kerja perlu diselesaikan menerusi saluran yang betul termasuk melaporkannya kepada penyelia atau ketua masing-masing tanpa melibatkan ugutan atau kekerasan. – Info X

August 15, 2026

Info X Reporters

Juruelektrik maut terkena renjatan elektrik

TAWAU: Seorang juruelektrik maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pendawaian di Taman Kinabutan Ria, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 60-an ditemukan tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.09 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi. “Pasukan tiba pada jam 6.25 petang dan mendapati seorang lelaki tertiarap di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Pasukan bomba kemudian meminta bantuan Sabah Electricity (SE) untuk memotong bekalan elektrik di kawasan kejadian sebelum mangsa diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 7.42 malam,” katanya. – Info X

August 14, 2026

Info X Reporters

Dua anak jati Sabah dilantik Ketua Polis Daerah

KOTA KINABALU: Dua anak jati Sabah mencatat pencapaian membanggakan apabila masing-masing dinaikkan pangkat Superintendan dan diberi kepercayaan menerajui dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini. Mereka ialah Khairul Shah Peri yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kota Belud, manakala Janeve Sindih pula diberi tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Kinabatangan. Khairul Shah yang sebelum ini berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dinaikkan pangkat Superintendan sebelum diberi kepercayaan menerajui IPD Kota Belud. Pelantikan itu menyaksikan beliau diberi amanah memimpin pasukan polis di daerah berkenaan. Sementara itu, Janeve turut dinaikkan pangkat daripada DSP kepada Superintendan. Beliau seterusnya diberi amanah menerajui IPD Kinabatangan sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu. Pelantikan kedua-dua pegawai berkenaan menjadi satu kebanggaan apabila dua anak jati Sabah diberi kepercayaan memegang jawatan kepimpinan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kenaikan pangkat dan pelantikan itu juga mencerminkan kepercayaan pucuk pimpinan PDRM terhadap pengalaman serta kemampuan kedua-duanya dalam menggalas tanggungjawab lebih besar. – Info X

August 14, 2026

Info X Reporters

Pondok hutan bakau jadi stor rokok seludup

SANDAKAN: Dua pondok di kawasan hutan bakau dipercayai dijadikan stor sementara menyimpan rokok tidak bercukai terbongkar dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Kampung Batu 2, di sini. Dalam dua operasi berasingan semalam dan awal pagi hari ini, PPM turut merampas minyak masak bersubsidi serta sebuah kenderaan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM226,550. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 7.10 malam semalam, pasukannya menyerbu dua pondok tidak bernombor di kawasan hutan bakau berkenaan hasil maklumat dan risikan. Katanya, pemeriksaan menemukan sejumlah bungkusan disimpan di dalam kedua-dua pondok yang dipercayai dijadikan stor sementara bagi mengelak kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa. “Pemeriksaan lanjut menemukan 850 karton rokok putih tidak bercukai jenama Astro Merah yang dipercayai diseludup masuk untuk diedarkan di pasaran tempatan. “Keseluruhan rampasan rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM204,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Ahmad berkata, pihaknya kini mempergiatkan usaha mengesan pembekal dan penjual yang terbabit bagi membanteras kegiatan berkenaan secara menyeluruh. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. Dalam operasi kedua kira-kira jam 2.20 pagi hari ini, PPM yang menjalankan risikan dan pemantauan di Kampung Kombo, Jalan Leila, mengesan sebuah kenderaan sebelum menahannya untuk pemeriksaan. “Hasil pemeriksaan menemukan 1,020 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu, manakala seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan. “Turut dirampas sebuah Isuzu Trooper yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan dengan keseluruhan rampasan bagi kes kedua dianggarkan bernilai RM22,550,” katanya. Beliau berkata, kes kedua disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurutnya, kejayaan kedua-dua operasi itu menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM226,550. Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan khususnya di Pantai Timur Sabah bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta ketirisan barangan kawalan. “Kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan,” katanya. – Info X

August 14, 2026

Info X Reporters

Dalang sindiket ‘bomoh’ didakwa di mahkamah

KOTA KINABALU: Dua wanita, termasuk seorang warga China yang dikaitkan dengan sindiket ‘bomoh’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas tiga pertuduhan menipu tiga wanita lain menerusi khidmat rawatan tradisional. Tertuduh, Hee Nyin Fung, 48 bersama seorang warga China, Li Li, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas masing-masing dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal, manakala satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Monica Linsua. Mereka didakwa terbabit dalam satu konspirasi jenayah dengan melakukan kesalahan undang-undang di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu menipu tiga wanita tempatan. Bagi pertuduhan pertama, Hee yang juga seorang ahli perniagaan dan Li yang juga seorang pengarah syarikat, didakwa bersekongkol menipu seorang wanita berumur 51 tahun di Pasar Besar Kota Kinabalu pada kira-kira 7.30 pagi, 4 Februari lalu. Pertuduhan kedua pula membabitkan mangsa seorang wanita berumur 69 tahun di Tamu Ahad Jalan Gaya, di sini, pada kira-kira 11.30 pagi, 19 Julai lalu. Seterusnya, pertuduhan ketiga membabitkan mangsa seorang wanita di Pasar Pekan Manggatal, di sini, pada kira-kira jam 8 pagi, 3 Februari lalu. Pertuduhan terhadap kedua-dua mereka dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk pengurusan kes pra perbicaraan dan membenarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM2,000 sebagai deposit bagi setiap pertuduhan serta dua penjamin tempatan. Kedua-dua tertuduh turut diperintah untuk melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak berhubung, berkomunikasi atau mengganggu mana-mana saksi pendakwaan. Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin dan Nurul Shaferrah Mad Iskim, masing-masing di hadapan Hakim Jaini dan Monica. Di pihak tertuduh, Hee diwakili peguam Batholomew Jingulam, manakala peguam Muhamad Amirul Amin mewakili Li. Pada Khamis, polis menumpaskan satu sindiket penipuan ‘bomoh’ yang menyebabkan kerugian kira-kira RM600,000 menerusi tawaran khidmat menilik nasib dan ritual membuang nasib buruk. Seramai 12 individu, termasuk tujuh warga China ditangkap menerusi beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau and Kota Belud. Sindiket itu yang dikenal pasti aktif sejak awal tahun ini menggunakan modus operandi mendekati mangsa dan menawarkan ubat tradisional, rawatan penyakit atau ritual keagamaan untuk membuang sial atau nasib buruk. Mangsa kemudian dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas, kononnya untuk sembahyang, ritual atau pemberkatan sebelum wang dan barang kemas mangsa dibawa lari atau ditukar dengan barangan lain. – Info X

August 14, 2026

Info X Reporters

132 PATI dihantar pulang ke negara asal

KOTA KINABALU: Seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah. Daripada jumlah itu, 115 adalah warga Filipina yang ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau sebelum dihantar melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial. JIM Sabah dalam kenyataan berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada 59 lelaki dan 21 wanita dewasa serta 35 kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 57 tahun. Menurut kenyataan itu, 17 lagi tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial. “Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita dewasa serta dua kanak-kanak dengan lingkungan usia antara satu hingga 68 tahun. “Semua kanak-kanak yang menyertai program pemindahan itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah berkata, sehingga kini seramai 4,580 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing. Jumlah itu membabitkan 3,004 warga Filipina, Indonesia (1,334), Pakistan (113), China (92), Vietnam (18) dan 19 daripada negara lain. Menurutnya, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan. Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol, melindungi atau menggaji PATI. Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kegiatan berkaitan PATI kepada saluran rasmi JIM Sabah bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. – Info X

August 14, 2026

Info X Reporters

Imigresen Sabah tahan 164 PATI dalam tiga hari

KOTA KINABALU: Seramai 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 30 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 10 operasi penguatkuasaan di seluruh daerah dalam tempoh tiga hari. Operasi bermula 11 hingga 13 Ogos itu dilaksanakan di beberapa lokasi strategik dengan seramai 575 individu diperiksa bagi membanteras kehadiran PATI serta penyalahgunaan kemudahan imigresen. JIM Sabah dalam kenyataan malam tadi berkata, daripada keseluruhan tangkapan, 114 adalah warga Filipina membabitkan 58 lelaki dan 36 wanita dewasa serta sembilan kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan. Menurut kenyataan itu, seramai 48 warga Indonesia turut ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 16 wanita dewasa, selain tiga kanak-kanak lelaki serta tujuh kanak-kanak perempuan. “Dua lagi yang ditahan adalah lelaki warga Pakistan. “JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI,” menurut kenyataan itu. Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. Masyarakat turut diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI kepada saluran rasmi JIM bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X