October 27, 2026
Info X Reporters
Sabah Electricity lancar projek perintis mobiliti hijau guna motosikal elektrik
KOTA KINABALU: Sabah Electricity melancarkan Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) untuk kegunaan anggota kerja syarikat utiliti itu bermula dengan pembaca jangka atau meter elektrik. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata inisiatif itu bagi mengenal pasti kesesuaian penggunaan kenderaan elektrik untuk meningkatkan kecekapan operasi lapangan, mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar. Sebagai permulaan, katanya sebanyak lima unit motosikal elektrik diserahkan kepada anggota kerja di Bahagian Retail Sabah Electricity untuk digunakan pembaca jangka dalam melaksanakan tugasan mereka. “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha meneroka pendekatan operasi yang lebih lestari melalui potensi pengurangan pelepasan karbon, pengoptimuman kos operasi dan peningkatan kecekapan pergerakan petugas lapangan,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) Sabah Electricity, di sini, pada Selasa. Katanya, anggota kerja pembaca jangka dipilih dipilih sebagai perintis projek EV Bike itu sesuai dengan tugasan mereka yang memerlukan pergerakan kerap ke pelbagai lokasi pelanggan setiap hari. “Ini membolehkan kita menilai kesesuaian penggunaan motosikal elektrik dalam keadaan operasi sebenar,” katanya. Projek perintis itu, katanya adalah sebahagian daripada usaha syarikat meneroka pendekatan baharu untuk meningkatkan produktiviti dan mengurus kos operasi dengan lebih berkesan. Jelasnya, sepanjang tempoh percubaan selama enam hingga 12 bulan, Sabah Electricity akan menilai prestasi motosikal elektrik berkenaan berdasarkan beberapa aspek utama, termasuk kecekapan tenaga, jarak perjalanan, ketahanan bateri, kos penyelenggaraan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan keadaan geografi dan keperluan operasi di Sabah. “Penggunaan motosikal elektrik berpotensi mengurangkan penggunaan petrol bagi perjalanan operasi, di samping membuka ruang kepada penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan,” katanya. Beliau turut menegaskan pengalaman anggota kerja yang terbabit memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan projek itu. “Rekod penggunaan, kos, prestasi dan maklum balas pembaca jangka akan dikumpulkan secara teratur bagi memastikan keputusan seterusnya dibuat berdasarkan data dan keperluan operasi sebenar. “Sekiranya hasil penilaian menunjukkan motosikal elektrik berkenaan praktikal, menjimatkan dan sesuai dengan keperluan operasi, Sabah Electricity akan menimbangkan pembelian serta peluasan penggunaannya secara berperingkat ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong komitmen Sabah Electricity terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya melalui penerokaan teknologi yang lebih mesra alam dan penggunaan tenaga secara cekap serta bertanggungjawab. “Sabah Electricity berharap projek perintis ini menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan dalam operasi syarikat, selaras dengan usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan sambil meneroka penyelesaian mobiliti yang lebih lestari,” katanya. – Info X
October 27, 2026
Info X Reporters
Kerajaan negeri komited perkasa bahasa kebangsaan hadapi cabaran AI – KM
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dalam mendepani cabaran era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI). Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk memperluas penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dan memperkukuh pematuhannya dalam urusan rasmi. Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi pemerkasaan pantun dan tulisan Jawi, penyelidikan pelbagai bahasa serta sastera etnik dan pengembangan industri buku yang menampilkan penulis dari Sabah. “Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di sini, hari ini. Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini bukan saja memfokuskan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat yang berjiwa merdeka, beridentiti dan mempunyai jati diri kukuh. Katanya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan DBP dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memartabatkan bahasa serta sastera kebangsaan menerusi pelbagai kegiatan, penyelidikan dan penerbitan. Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk karya yang menampilkan wajah tempatan, selain mengembangkan bakat penulis muda dan penyelidikan serta mendokumentasi bahasa etnik tempatan untuk diwariskan kepada generasi akan datang. “Kerajaan negeri berharap kerjasama dengan DBP, agensi berkaitan dan persatuan penulis dapat diperkukuh bagi menjadikan Sabah negeri teladan dalam pemupukan budaya ilmu serta pengembangan kesusasteraan dan penggunaan bahasa kebangsaan yang cemerlang. “Usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera juga perlu digiatkan dengan menyemarakkan pelbagai kegiatan bahasa dan sastera di bandar raya ini,” katanya. Beliau turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang merangkumi wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi dan pemantapan seni berpantun. Katanya, generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing tanpa mengetepikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya ketika berkomunikasi di platform media sosial. “Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi di pentas dan platform pelbagai media sosial, jiwa serta semangat mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah menebal. “Ruang kebebasan bersuara dalam pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan bahasa yang baik,” katanya. Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata, tema itu selaras dengan semangat Bahasa Jiwa Bangsa yang mengingatkan masyarakat bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi harian. Sebaliknya, beliau berkata bahasa juga adalah cerminan identiti, jati diri, pemikiran dan keperibadian bangsa. Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan yang indah, terampil, beradab dan bersopan turut mencerminkan kematangan serta maruah bangsa bertamadun, sejajar dengan hasrat Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemasyarakatan, kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati dan keyakinan. Beliau berkata, perpaduan kaum dapat diperkukuh melalui penggunaan bahasa kebangsaan secara berhemah dengan menghormati kepelbagaian kaum dan etnik, manakala penulisan, sastera serta media kreatif dapat menjadi wadah memupuk daya cipta dan melahirkan masyarakat berminda kelas pertama. Dalam konteks Sabah, Hajiji berkata, kepelbagaian etnik, budaya dan dialek yang unik disatukan secara harmoni melalui bahasa kebangsaan. “Bahasa Melayu bertindak sebagai ejen penyatuan yang membolehkan rakyat Sabah yang berbilang kaum bertutur, memahami dan bekerjasama dalam suasana yang penuh muhibah,” katanya. Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermaksud menutup ruang atau meminggirkan kepelbagaian bahasa ibunda serta etnik yang kaya di Sabah. Hajiji mengajak seluruh rakyat memperteguh tekad menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. – Info X
October 27, 2026
Info X Reporters
Lelaki jatuh dari bot nelayan ditemukan lemas
KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina yang dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah bot nelayan di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam tadi, ditemukan lemas, hari ini. Mangsa berusia lingkungan 20-an itu ditemukan pasukan nelayan yang melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 10.20 pagi tadi, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat berhubung kejadian itu pada jam 10.37 malam. Katanya, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan mendapati seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari kapal yang sedang berlabuh di jeti berkenaan. “Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu terlebih dahulu berusaha mencarinya dengan menyelam di sekitar jeti dan lokasi mangsa dipercayai terjatuh. “Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal menemukan mangsa sebelum pasukan bomba bersama polis menjalankan pencarian di permukaan air sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Darikson berkata, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 11.10 malam berikutan keadaan persekitaran yang gelap. Menurutnya, operasi disambung semula pada jam 9.20 pagi tadi dengan menggunakan bot penyelamat bomba bagi mencari mangsa di sekitar kawasan jeti. “Pada jam 10.20 pagi, mangsa berjaya ditemukan pasukan nelayan yang melakukan selaman di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh. “Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.30 pagi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. Beliau berkata, operasi yang turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat serta bantuan beberapa agensi lain itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi. – Info X
October 27, 2026
Info X Reporters
Wanita ditemui di bumbung kondominium tingkat 12 berjaya diselamatkan
KOTA KINABALU: Seorang wanita yang ditemui di atas bumbung kondominium 12 tingkat di Jalan Tanjung Aru, di sini, berjaya diselamatkan pasukan bomba, malam tadi. Wanita berusia lingkungan 20-an berkenaan berjaya ditenangkan selepas dipujuk anggota bomba dengan bantuan teman lelakinya sebelum dibawa ke tempat selamat. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 malam. Katanya, sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang wanita berada di atas bumbung kondominium berkenaan. “Anggota bomba kemudian berkomunikasi dengan wanita terbabit dan berusaha memujuknya dengan bantuan teman lelaki sehingga berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS dengan diiringi seorang anggota polis bagi mendapatkan rawatan lanjut. Katanya, operasi yang turut dibantu lapan anggota polis itu berjaya dikawal pada jam 9.57 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya tiga minit kemudian. – Info X
October 26, 2026
Info X Reporters
Jangan panik lihat pesawat TUDM terbang rendah di Labuan
LABUAN: Orang ramai di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga Rabu. Penerbangan pada altitud rendah itu adalah sebahagian daripada latihan keupayaan TUDM yang dilaksanakan di ruang udara Labuan bermula 26 hingga 28 Oktober ini, antara jam 4 hingga 5 petang. TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, latihan berkenaan membabitkan beberapa aset termasuk pesawat pejuang, pesawat angkut dan helikopter. Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan bertujuan menilai tahap kesiagaan serta keberkesanan penugasan operasi semasa TUDM. “Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah. “Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Labuan dinasihatkan supaya tidak panik atau cemas sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang latihan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu. Latihan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha TUDM memastikan kesiapsiagaan aset dan keupayaan operasi berada pada tahap optimum. – Info X
October 26, 2026
Info X Reporters
Bacaan Sungai Padas melebihi paras bahaya, banjir mula melanda
BEAUFORT: Paras air Sungai Padas, di sini, mencatat bacaan melebihi paras bahaya dengan catatan 9.21 meter setakat jam 7 malam ini. Berdasarkan laporan status paras air Sungai Padas terkini di Stesen Pemantauan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort, paras air Sungai Padas meningkat hingga melebihi paras bahaya sejak tengah hari tadi. Bacaan pada jam 1 tengah hari tadi menunjukkan bacaan 8.91 meter, diikuti 8.98 meter (2 petang), 9.06 meter (3 petang), 9.12 meter (4 petang), 9.16 meter (5 petang), 9.19 meter (6 petang) dan 9.21 meter pada jam 7 malam tadi. Sungai Padas di Beaufort berada di tahap waspada apabila mencatat bacaan 7.5 meter, disusuli tahap amaran apabila bacaan mencapai 8 meter dan tahap bahaya setelah bacaan paras sungai mencecah 8.7 meter. Bacaan melebihi paras bahaya bermakna kawasan rendah berhampiran sungai dan sekitarnya sudah mulai dinaiki air atau banjir. – Info X
October 26, 2026
Info X Reporters
Sebabkan kematian rakan, pekerja ladang dipenjara 18 tahun
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang pekerja ladang kelapa sawit selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya gara-gara pertengkaran berkaitan wang RM20 pada Januari 2025. Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu terhadap Risdi Baharuddin, 29, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Tertuduh warga Indonesia diperintah menjalani hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 31 Januari 2025. Lelaki yang yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen. Berdasarkan kertas pertuduhan, Risdi menyebabkan kematian Jiecy Rondian, yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025 di rumah kongsi pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, Papar. Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan terhadap tertuduh memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Risdi pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan di kawasan rumah kongsi pekerja ladang berkenaan kira-kira jam 8.10 malam, 30 Januari 2025. Siasatan mendapati mangsa dan tertuduh bekerja di ladang yang sama serta tinggal bersama isteri masing-masing di rumah kongsi berhampiran. Pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan mangsa berhubung wang RM20 yang dipinjam tertuduh daripada isteri mangsa. Mangsa dikatakan menyindir tertuduh mengenai wang berkenaan sehingga pertengkaran menjadi tegang, sebelum beberapa individu di kawasan rumah kongsi cuba meleraikan mereka. Keadaan reda buat seketika selepas kedua-duanya dinasihati supaya pulang ke rumah masing-masing, namun pertengkaran berlaku semula sebelum tertuduh masuk ke rumahnya dan mengambil sebilah pisau berhulu kayu berukuran kira-kira 27 sentimeter dari dalam bilik. Walaupun cuba dihalang isterinya, tertuduh tetap keluar sambil membawa pisau berkenaan dan meluru ke arah mangsa. Isteri mangsa yang berada di hadapan rumah ketika itu memeluk suaminya dari belakang kerana ketakutan, sebelum tertuduh menikam mangsa beberapa kali pada bahagian badan sehingga mangsa berlumuran darah dan rebah. Bagaimanapun, mangsa sempat bangun dan mengambil sebilah sabit dari dapur rumah sebelum keluar semula, manakala seorang pekerja ladang kemudian menyambut mangsa yang hampir rebah dan membaringkannya di atas tanah. Mangsa kemudiannya didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tertuduh melarikan diri dari kawasan rumah kongsi selepas kejadian sebelum ditahan polis pada 31 Januari 2025 di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin. Siasatan kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan. – Info X
October 26, 2026
Info X Reporters
Itali berminat melabur di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap dapat mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Itali, khususnya bagi meneroka peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan serta pendidikan tinggi. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri mengalu-alukan minat pelabur dari negara berkenaan untuk datang meneroka peluang di negeri ini. “Kita mengalu-alukan minat kerajaan dan komuniti perniagaan Itali untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan di Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella, di Menara Kinabalu dekat sini, pada Isnin. Sementara itu, Lengella yang ditemui selepas kunjungan hormat itu, berkata, Itali sangat berminat untuk meneroka peluang yang terdapat di Sabah. “Minat dalam kalangan pihak di Itali amat besar. Mereka mengetahui terdapat banyak peluang yang boleh diteroka di Sabah. “Namun, mereka memerlukan bantuan, mungkin dari segi mengenal pasti peluang pelaburan. Oleh itu, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri mengenai cara untuk melaksanakannya. “Tahun depan merupakan Tahun Melawat Sabah 2027, jadi kami juga ingin menghulurkan bantuan dalam usaha mempromosikan Sabah,” katanya. Langella berkata, Itali turut berminat untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi di Sabah. “Kerjasama antara universiti adalah bidang yang sangat menarik dan berpotensi besar. Universiti-universiti di Itali kini semakin berdaya saing dan amat berminat untuk mengembangkan aktiviti mereka di rantau ini, khususnya di Sabah,” katanya. Beliau berharap pertemuan itu akan membuka jalan ke arah hubungan yang lebih erat serta menghasilkan keputusan yang bermakna pada masa hadapan. Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. – Info X