September 11, 2026
BERNAMA
30 rakyat Malaysia disyaki terbabit penipuan dalam talian ditahan di Pontianak
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat. Ketua Pejabat Imigresen Pontianak, Sam Fernando berkata rakyat Malaysia berkenaan yang terdiri 22 lelaki dan lapan wanita, serta seorang lelaki warga Taiwan itu dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk disoal siasat. “Sasaran kemungkinan besar warga Malaysia. Mereka didakwa cuba menipu warga Malaysia. “Berdasarkan maklumat yang kami peroleh setakat ini, tiada warga Indonesia dalam kalangan sasaran,” katanya pada sidang media pada Khamis, menurut video yang dimuat naik dalam talian. Sam berkata pejabatnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan dalam meneruskan siasatan. Beliau berkata 31 warga asing itu ditahan menerusi operasi bersama Polis Bandar Raya Pontianak di sebuah hotel kira-kira jam 11.15 pagi Selasa susulan risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing. Menurut Sam, beberapa barangan dikaitkan dengan aktiviti yang disyaki turut dirampas. Pihak berkuasa imigresen menjalankan pemeriksaan ke atas identiti mereka, dokumen perjalanan, permit tinggal dan sama ada aktiviti mereka konsisten dengan permit yang dikeluarkan. “Tiga warga Malaysia didapati tinggal lebih masa, manakala terdapat juga penyalahgunaan permit tinggal untuk aktiviti yang tidak mengikut tujuan mereka diberikan,” katanya. Sam berkata kumpulan itu telah menggunakan 14 bilik di tingkat tiga sebuah hotel untuk mengendalikan aktiviti mereka dan pihak berkuasa turut mengambil kenyataan daripada pekerja hotel. Katanya, warga asing itu tidak tiba bersama, dengan ada yang masuk melalui lapangan terbang Pontianak, lintasan sempadan darat Entikong dan Jakarta menggunakan pelbagai jenis permit imigresen. “Tempoh masa mereka berada di sini berbeza-beza. Ada yang berada di sini selama dua bulan, manakala yang lain selama tiga minggu. Mengenai kerugian, kami tidak dapat memberikan butiran buat masa ini kerana siasatan dan soal siasat masih diteruskan,” katanya.–Bernama
September 11, 2026
Info X Reporters
Sabah harap isu 40 peratus dapat disegerakan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan dalam perlembagaan kepada negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di SICC, di sini, pada Jumaat. “Untuk makluman juga, kita bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ada mohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya. “Jadi kita ingin supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya pada sidang media bersama Anwar dan Abang Johari selepas mesyuarat itu. Sementara itu, sebagai langkah interim, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah segera pemberian.khas mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion. Anwar berkata rundingan mengenai perkara itu 40 peratus juga akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal. “Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim. Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya. Beliau berkata kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober sebelum jumlah RM1.5 bilion itu disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November. Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick. – Info X
September 11, 2026
Info X Reporters
MA63 perlu dijadikan komitmen, naratif nasional – PM
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadikan naratif nasional selepas sekian lama hanya dianggap sebagai isu Sabah dan Sarawak. Beliau berkata, perkara itu dicadangkannya memandangkan ketika ini perbincangan isu berkenaan lebih bersifat sektoral dan dibincang setiap tahun di antara Persekutuan dengan kedua-dua negeri. Tegasnya, jika dijadikan agenda nasional, sebarang perkara berkaitan kepentingan kedua-dua negeri tidak lagi dilihat sebagai satu pertimbangan khas untuk Sabah dan Sarawak. “Saya sudah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ia sangat penting sebab kalau tidak ini hanya jadi macam sektoral, tiap tahun kita kena bincang khas Sabah Sarawak. “Tidak, ia adalah komitmen nasional, mengenai pembangunan, kestabilan, mengenai apa yang kita janji kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan Malaysia pada 1963. Itu harus dimeterai sebagai satu naratif nasional. “Kita kena ajak rakyat Malaysia tidak bicara soal kaum dia sahaja ataupun parti dia sahaja atau kelompok dia, tetapi berbicara sebagai satu wacana untuk memberikan keutuhan kepada negara. “Saya sangat hargai, kita jelaskan betul-betul, ini adalah komitmen nasional, dasar nasional. Bila kita tambah umpamanya peruntukan ataupun 112D kepada Sarawak dan Sabah, umpamanya Sabah dalam konteks ini, di Semenanjung jangan difikirkan ini satu pertimbangan khas kepada Sarawak, tidak. “Jadi naratif ini saya harap di Semenanjung pun terima dan Sabah Sarawak pun terima, dasar nasional, komitmen nasional dan naratif nasional,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di SICC, hari ini. Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud. Terdahulu, Abang Johari berkata beliau menyokong pendekatan Perdana Menteri mengenai usaha menjadikan perkara MA63 sebagai agenda nasional. “Kita nak menyelaraskan apa yang termaktub dalam perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai United Malaysia yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara pada keseluruhannya. “Jadi saya rasa ini pendekatan yang agak praktikal. Saya juga mengucap terima kasih atas persetujuan untuk menentukan formula menang-menang di antara kita dengan persekutuan. “Kalau negara kita baik, sudah tentu persekutuan dia baik. Kalau tak baik kita pun menerima hakikat supaya kestabilan kewangan negara ini akan stabil,” katanya.-Info X
September 11, 2026
Info X Reporters
Tambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak lulus, pindaan perlembagaan akan dibuat – PM
KOTA KINABALU: Pindaan perlembagaan akan dibuat bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ditambah ke satu nisbah baharu yang lebih tinggi berbanding sekarang. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu yang sudah dipersetujui jemaah menteri adalah keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya, di sini, hari ini. Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diarah memulakan proses yang perlu dan memastikan jumlah kerusi Parlimen di Sabah serta Sarawak ditentukan mengikut nisbah baharu yang lebih besar. “Perkara utama dalam mesyuarat hari ini adalah keputusan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih daripada sepertimana yang dijanjikan dalam MA63. “Penambahan itu mesti melibatkan nisbah Sabah Sarawak itu lebih tinggi, tapi kena faham penambahan itu adalah tugas SPR. “Maknanya, mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, namun penambahan dari Sabah dan Sarawak tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat (MTPMA63), di SICC, hari ini. Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud. Ditanya sama ada nisbah baharu itu sama seperti yang ada pada 1963 ketika Singapura bersama Malaysia, Anwar berkata mekanisme nisbah baharu itu akan diputuskan kemudian. “Tidak, pada 1963 ketika membabitkan Singapura, nisbahnya ialah satu pertiga. Jadi, sekarang kita akan lihat mekanismenya nanti, prinsipnya ialah mesti ada peningkatan kerusi yang akan meningkatkan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak. “Itu yang kita persetujui, tapi perinciannya, mekanisme itu perlu dibincang dengan SPR dan semua negeri serta parti,” katanya. Katanya, ia adalah keputusan penting yang dipersetujui lebih awal dalam Jemaah Menteri pada Rabu yang lalu. Mengenai bila penambahan kerusi Parlimen kedua-dua negeri itu dapat direalisasikan, beliau berkata perkara itu terserah kepada SPR untuk memulakan langkah sepatutnya. “Kita dan Kabinet sudah putuskan, saya sudah maklumkan kepada SPR dan mereka akan terus mulakan rundingan. “Saya fikir kalau untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, saya tak pasti sempat atau tidak, sebab kena muafakat, kemudian prosesnya. “Saya tidak mahu ganggu dari segi proses perlembagaan tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya. Ketika ini Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala 31 kerusi di Sarawak daripada 222 kerusi Parlimen seluruh negara.-Info X
September 11, 2026
BERNAMA
Permohonan pengampunan Najib ditangguh, Agong perkenan bebaskan 65 banduan – BHEUU
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak. Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, pada Jumaat. Pada mesyuarat itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan, dengan semua banduan bukan warganegara hendaklah diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda. Istana Negara menjadi tumpuan pengamal media sejak awal pagi ini bagi mengikuti perkembangan berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang dipercayai akan menyentuh mengenai permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. Pada mesyuarat ke-61 pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan bahawa hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB. Beliau memfailkan rayuan pada 29 Dis 2025. Dalam kes sivil pula, Mahkamah Tinggi pada 31 Mac lepas memerintahkan Najib membayar balik USD1.3 bilion kepada SRC International selepas didapati melanggar tanggungjawab fidusiari, menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng dana syarikat untuk kepentingan peribadi, namun pembayaran itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan. Najib turut berdepan dua lagi saman, masing-masing oleh SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd pada 2021 serta saman sivil USD5.64 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya, yang masih dalam prosiding mahkamah. — BERNAMA
September 11, 2026
BERNAMA
PKR perlu kukuhkan pentadbiran persekutuan, negeri – Anwar
KOTA KINABALU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu perlu terus memperkukuh pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan dasar yang dilaksanakan memberi manfaat nyata kepada rakyat. Beliau berkata parti itu juga mesti bergerak dengan kekuatan seluruh anggota, merapatkan saf dan merangkul sokongan semua lapisan masyarakat agar PKR kekal dekat dengan denyut nadi serta aspirasi rakyat. Anwar turut menegaskan bahawa PKR Sabah akan terus menjadi kekuatan utama yang membawa suara rakyat serta menjayakan agenda perubahan dan reformasi di negara ini. “Pada masa sama, persiapan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang mesti diperkemas dari sekarang dengan kesatuan dan tekad yang jelas,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook pada Khamis. Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan singkat bersama dengan Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah di sini bagi membincangkan pelbagai isu semasa dan kepentingan kesejahteraan masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu.– BERNAMA
September 11, 2026
Info X Reporters
PM bincang isu MA63 bersama Abang Johari, Hajiji
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pagi ini bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63). Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Anwar tiba pada kira-kira jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi Hajiji. Menerusi perkongsian di Facebook beliau malam tadi, Anwar menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah. “Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – Info X
September 10, 2026
Info X Reporters
Pendaki Croatia selamat dibawa turun selepas lima hari
RANAU: Selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mencabar, pendaki warga Croatia yang terjatuh di Gunung Kinabalu akhirnya selamat dibawa turun ke Pintu Timpohon, malam tadi. Mangsa, Mauro Persic, 46, tiba di Pintu Timpohon pada jam 7.06 malam sebelum diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tulang rusuk kanan, selain luka ringan di tangan. Menurutnya, operasi membawa turun mangsa disambung pada jam 7.07 pagi menerusi laluan sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer yang mencabar dan sukar. “Pasukan SAR membawa mangsa secara berperingkat sehingga tiba di Platform Kilometer 6.5 pada jam 3.21 petang. “Proses membawa mangsa dari Panalaban ke Pintu Timpohon kemudian dilakukan menggunakan kaedah dukung dengan bantuan alat body harness carrier,” katanya ketika dihubungi. Rantey berkata, operasi turut berdepan hujan ketika pasukan bersama mangsa berada kira-kira 1.8 kilometer dari Platform Kilometer 6.5. Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM pada jam 7.22 malam dengan diiringi kenderaan polis untuk rawatan lanjut. “Kesemua anggota SAR turut tiba di Pintu Timpohon dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam,” katanya. Operasi itu membabitkan 43 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ParkSAR, malim gunung, porter serta renjer yang dibahagikan kepada lima pasukan. Mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan tebing curam Gunung Kinabalu pada Sabtu lalu sebelum operasi SAR dilancarkan susulan panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang. – Info X