Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 10, 2026

Info X Reporters

Lapan ditahan, minuman keras dan lori RM785,000 dirampas

BEAUFORT: Sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai yang menggunakan alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa akhirnya tumpas. Dalam operasi khas hasil risikan itu, polis menahan lapan individu selain merampas 650 karton minuman keras pelbagai jenis dan tiga lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM785,263.50. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, operasi dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort. “Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan menerusi alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. “Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bagi tempoh 2025 hingga September tahun ini, sebanyak 16 kes direkodkan membabitkan 22 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM1.43 juta. Beliau berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan bagi mengekang ketirisan hasil negara serta menjaga keselamatan perairan dan sempadan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menerusi saluran rasmi PDRM. – Info X

September 10, 2026

BERNAMA

Inkues: Pemeriksa dokumen kekal kesimpulan catatan jurnal ditulis Zara Qairina

KOTA KINABALU: Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia hari ini kekal dengan kesimpulan bahawa catatan tulisan tangan pada beberapa halaman jurnal bertanda W2 dan W3, yang dipercayai milik Zara Qairina Mahathir, ditulis oleh remaja berkenaan. Nurul Atiqah Mohd Noh, yang dipanggil semula memberi keterangan, berkata kesimpulan itu tidak berubah selepas beliau menjalankan pemeriksaan kali pertama dan kedua terhadap bahan yang dikemukakan sebagai ekshibit dalam prosiding inkues kematian remaja terbabit. Beliau berkata pendapatnya kekal meskipun terdapat perbezaan pandangan antara pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan Dr Linthini Gannetion serta Tay Eue Kam yang turut memberi keterangan mengenai perkara tersebut dalam inkues berkenaan. “Saya masih berpendapat yang semua tulisan tangan dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina),” katanya ketika ditanya Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai perkara itu dalam prosiding di sini hari ini. Nurul Atiqah yang pertama kali memberi keterangan pada September 2025 menjelaskan bahawa semua pemeriksaan dokumen menggunakan kaedah perbandingan berpandukan standard antarabangsa yang ditetapkan walaupun melibatkan instrumen berbeza. Sementara itu, ketika disoal Pegawai Pengendali inkues Dana Arabi Wazani, Nurul Atiqah berkata semasa pemeriksaan awal, beliau mendapati tulisan tangan bagi halaman 3 hingga 6, 15-24,38-45, 47-57 dan 65-72 dalam W3 mempunyai ciri sama dengan tulisan pada halaman 90 hingga 103. Selepas membuat perbandingan dengan contoh tulisan tangan Zara Qairina, beligu berpendapat kesemua tulisan tangan pada muka surat tersebut ditulis oleh remaja berkenaan. Nurul Atiqah turut mengekalkan kesimpulan bahawa halaman 19, 40-42,66-72, 92, 93, 96-98 dalam jurnal ditandakan W3 serta kebanyakan catatan dalam W2 adalah ditulis oleh Zara Qairina. Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, beliau turut mendapati catatan dalam helaian bertanda Yl dan Ylla hingga Y15b turut ditulis oleh remaja terbabit. Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. Prosiding inkues bersambung pada 5 Oktober.–BERNAMA

September 10, 2026

BERNAMA

AADK cadang ujian urin juruterbang, kru penerbangan sebulan sekali

BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan sekali, sebagai langkah memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah dalam sektor penerbangan. Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata cadangan itu akan dibincangkan menerusi kerjasama lebih erat antara AADK dan Malaysia Aviation Group (MAG), termasuk melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka ditandatangan bulan depan. “Kerjasama kita dah buat sebelum ini tetapi berkala. Mungkin untuk kali ini kita kerapkan sedikit dan cadangannya sebulan sekali kita boleh buat secara rambang. “Kalau ada keperluan, kita boleh juga untuk kes-kes tertentu pendekkan lagi tempoh,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan strategik, ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok hari ini. Ruslin berkata ketika ini pihak MAG mempunyai hospital dan klinik panel serta doktor terlatih untuk menjalankan ujian urin, namun AADK melihat keperluan melaksanakan ujian secara rambang sebagai langkah tambahan. Beliau berkata cadangan itu bukan sahaja melibatkan juruterbang, malah turut merangkumi kru penerbangan. “Antaranya adalah untuk memberikan ruang kepada kedua-dua pihak iaitu MAG dan AADK, bekerjasama dalam program-program pencegahan dan juga ujian urin,” katanya. Mengenai saringan yang sedang dijalankan terhadap juruterbang, Ruslin berkata ia dijangka selesai pada 15 Sept ini dan setakat laporan yang diterima pihaknya, kesemua juruterbang yang telah menjalani ujian berkenaan didapati negatif. Beliau berkata lebih 1,000 juruterbang terlibat dalam saringan berkenaan Dalam pada itu, Ruslin berkata kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan draf MoU berkenaan dan berharap ia dapat ditandatangan pada Oktober depan.– BERNAMA

September 10, 2026

Info X Reporters

Empat usahawan tempatan terima bantuan RM1.16 juta

KOTA KINABALU: Empat perusahaan tempatan yang beroperasi di Inanam dan Penampang menerima bantuan mesin dan peralatan bernilai RM1,167,640 atau RM1.16 juta daripada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR). Empat perusahaan itu ialah Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd di Inanam, C&S Tasty Bakery Sdn Bhd, Rich Maju Holdings dan Dir Rich Global Enterprise di Penampang. Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick ketika melawat perusahaan terbabit berkata dana itu disalurkan menerusi Geran SME-UP (Mesin dan Peralatan) bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, produktiviti dan daya saing perniagaan. “Impak bantuan ini dapat dilihat menerusi perkembangan perusahaan, termasuk peningkatan produktiviti sehingga tiga kali ganda selepas menggunakan mesin dan peralatan baharu daripada geran SME-UP DIDR,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Di Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd, Inanam, Ewon berkata, perusahaan yang mengeluarkan produk bebola ikan dan daging, burger, dimsum serta pau itu menerima bantuan SME-UP bernilai RM106,000 bagi perolehan mesin dan peralatan. “Saya dimaklumkan selepas mesin-mesin ini digunakan sepenuhnya, produktiviti perusahaan meningkat sebanyak 30 peratus,” katanya. Dalam lawatan ke C&S Tasty Bakery Sdn Bhd di Penampang pula, Ewon berkata, perusahaan berkenaan menerima bantuan bernilai RM390,000 bagi perolehan mesin pembungkusan dan pemotong roti. Katanya, mesin yang tiba kira-kira tiga minggu lalu dan kini dalam proses pengujian operasi dijangka mampu meningkatkan produktiviti perusahaan antara dua hingga tiga kali ganda. “Saya dimaklumkan bahawa syarikat ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan bagi pembinaan kilang baharu milik sendiri di Penampang,” katanya. Ewon turut mengunjungi Rich Maju Holdings di Penampang yang mengusahakan produk popcorn jenama One Moreee milik Ng Sui Yee. Katanya, usahawan itu memulakan perniagaan menerusi sebuah kiosk di Pekan Donggongon pada 2022 dengan pendapatan purata sekitar RM100 sehari sebelum jualannya berkembang sehingga mencecah lebih RM500,000 setahun pada 2025. Syarikat itu menerima dua mesin pemprosesan baharu bernilai RM642,230 menerusi Geran SME-UP. “Kisah kejayaan Sui Yee, daripada berniaga di kiosk kecil sehingga beroperasi di kilang baharu, wajar menjadi inspirasi kepada usahawan lain. Bantuan mesin yang diterima kini digunakan untuk meningkatkan lagi produktiviti perusahaan,” katanya. Ewon turut melawat Dir Rich Global Enterprise di Penampang, iaitu perusahaan kek lapis yang diusahakan adik-beradik Dirar dan Talhah. “Saya sentiasa menggalakkan sinergi seperti ini, iaitu usahawan saling membantu dalam membina rantaian keusahawanan,” katanya. Beliau berkata, DIDR turut menyalurkan bantuan SME-UP bernilai RM29,410 kepada perusahaan itu bagi perolehan mesin dan peralatan. Ewon berkata, bantuan mesin dan peralatan yang disalurkan kerajaan bukan sahaja membantu usahawan memperkukuh operasi dan meningkatkan produktiviti, malah membolehkan mereka mengembangkan pasaran serta meningkatkan daya saing. Beliau berharap penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan berkenaan untuk terus mengembangkan perniagaan masing-masing. Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada DIDR atas usaha berterusan membantu usahawan tempatan mendapatkan mesin dan peralatan yang diperlukan bagi mengembangkan perusahaan mereka. Dalam rangka lawatan itu, Ewon turut mengunjungi RDS Juta Food Industries di Kampung Teguli, Putatan dan menyempurnakan perasmian premis baharu perusahaan yang mengeluarkan produk dimsum. Pemiliknya, Rafidah Jumahad adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 dan kini menggaji 20 pekerja serta mencatat jualan sehingga RM1.4 juta setahun. Lima syarikat usahawan yang mendapat bimbingan dan bantuan DIDR itu berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 174 pekerja tempatan. Daripada jumlah itu, Sri Mas Foods Industries menggaji 90 pekerja, C&S Tasty Bakery seramai 48 pekerja, Rich Maju Holdings (One Moreee) dan Dir Global Enterprise masing-masing lapan pekerja, manakala RDS Juta Food Industries seramai 20 pekerja. Lawatan ke premis usahawan itu turut disertai Pengarah DIDR Sabah, Siti Nur’Ain Abdullah. – Info X

September 10, 2026

Info X Reporters

Seludup diesel terbongkar, rampasan lebih RM2 juta

SANDAKAN: Kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah jeti, di sini, terbongkar dengan keseluruhan rampasan kapal kargo, lori tangki, diesel dan peralatan bernilai lebih RM2 juta, petang semalam. Dalam operasi jam 3.55 petang itu, dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dilakukan PPM Sandakan susulan maklumat orang awam sebelum pasukan menjalankan risikan di lokasi berkenaan. Katanya, pasukan kemudian mengesan sebuah lori tangki sebelum pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke lori berkenaan. “Pasukan merampas kira-kira 28,000 liter minyak diesel bernilai RM130,760, sebuah kapal kargo jenis besi dan lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter serta beberapa peralatan. “Nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal, kenderaan dan peralatan berkenaan dianggarkan RM2,082,760,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Sementara itu, katanya bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes mengikut akta sama, membabitkan 103 tangkapan dengan nilai keseluruhan rampasan RM25.87 juta. “Risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. “Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X

September 10, 2026

BERNAMA

Para SUKMA: Selangor belum selamat, Sabah terus kejar

SHAH ALAM: Perebutan juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 kian sengit memasuki hari terakhir temasya sukan dwitahunan itu, hari ini. Setakat 10 malam ini, tuan rumah Selangor terus mendahului carta pungutan pingat dengan 71 emas, 45 perak dan 43 gangsa sekali gus mengatasi sasaran 60 pingat emas diletakkan kali ini serta membuka ruang buat mereka menempa sejarah baharu menggondol juara keseluruhan kali pertama. Bagaimanapun, juara edisi 2022 Sabah terus menghambat tuan rumah dengan pungutan 60 pingat emas, 41 perak dan 36 gangsa di tempat kedua mengatasi juara bertahan Sarawak di tempat ketiga dengan 45 emas, 28 perak dan 45 gangsa. Kedudukan Selangor untuk memburu juara keseluruhan masih belum selamat memandangkan 60 pingat emas bakal menjadi rebutan kontinjen bertanding sebelum temasya sukan itu melabuhkan tirainya di Selangor International Trade Centre di sini, malam ini. Daripada keseluruhan 60 emas ditawarkan pada hari keenam Para SUKMA Selangor 2026, para badminton menawarkan jumlah emas paling banyak, iaitu 13 diikuti para catur (12) dan para renang (11). Sementara itu, perenang muda berusia 11 tahun dari Selangor, Alysha Aryana Mohd Khairul Azli mencuri tumpuan apabila bukan sahaja memenangi tiga emas malah memecahkan tiga rekod kebangsaan pada aksi di Akuatik Selangor. Alysha merangkul emas 200 meter (m) gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual) dengan catatan 2 minit 19.92 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod sendiri, iaitu 2:27.10s tahun ini. Remaja itu turut meraih emas 100m kuak dada SB14 (kecacatan intelektual) dan mencatat rekod kebangsaan baharu, iaitu 1:24.17s untuk memadam catatan rakan sepasukan Durratun Musfirah Nor Ahmad 1:29.55s juga tahun ini. Perenang cilik itu juga adalah sebahagian daripada kuartet Selangor yang mengungguli acara 4x100m gaya bebas campuran S14 yang memperbaharui rekod sendiri, iaitu 4:23.89s tahun ini dengan catatan baharu 4:20.93s. Dalam pada itu, atlet powerlifting Kelantan Wan Nur Azri Wan Azman mempamerkan aksi luar biasa apabila meleburkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali berturut-turut untuk memenangi pingat emas kategori melebihi 107 kilogram (kg) lelaki. Saingan di di Selangor International Trade Centre menyaksikan atlet berusia 29 tahun itu memadam rekod Mohd Fauzan Ramlan dari Sabah (171kg) menerusi angkatan 180kg pada percubaan pertama sebelum memperbaharuinya dengan angkatan 190kg pada percubaan kedua dan 195kg pada percubaan ketiga. Atlet dari Kota Bharu itu kemudian melengkapkan hari gemilangnya dengan mengangkat bebanan 200kg pada percubaan tambahan.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Inkues: Penilaian terhadap ibu Zara Qairina tidak diperlukan untuk autopsi psikologi

KOTA KINABALU: Pakar perunding psikiatri forensik Dr Chua Sze Hung pada Rabu memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa penilaian terhadap ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak perlu dilakukan dalam konteks dan rangka kerja autopsi psikologi. Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan untuk membantu mahkamah dalam menentukan punca dan cara kematian pelajar Tingkatan Satu itu, dengan autopsi psikologi menjadi pendekatan yang wajar digunakan. Dr Chua, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, menjelaskan bahawa penilaian terhadap ibu bapa mangsa bukanlah pengganti klinikal atau metodologi yang tepat bagi penilaian retrospektif keadaan mental remaja yang telah meninggal dunia. “Dalam psikiatri forensik, cubaan untuk menukar tempat kedua-duanya adalah kesilapan dari segi kategori. Satu ketidakpadanan klinikal yang bercampur aduk dengan dua subjek, garis masa dan realiti psikologi yang berlainan. Kedua-duanya adalah subjek klinikal yang berbeza,” katanya di hadapan KoronerAmir Shah Amir Hassan ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Nahra Dollah. Beliau berkata penilaian terhadap ibu memfokus kepada keadaan klinikal semasa wanita itu dan bukannya menilai secara retrospektif keadaan mental si mati. Dr Chua, yang sebelum ini memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina pada April, berkata diagnosis psikiatri secara keratan rentas atau penentuan bahawa keadaan mental si ibu yang tidak mengalami sebarang gangguan mental ketika ini tidak banyak membantu dalam memahami beban gejala yang didepani remaja itu serta niat terakhirnya untuk membunuh diri. “Literasi forensik memberi amaran bahawa individu yang masih hidup dalam inkues kematian boleh menjadi pihak berkepentingan dan ingatan mereka mungkin dipengaruhi perasaan bersalah, marah atau rasa malu. “Diari ditulis oleh remaja itu sendiri, yang mendokumentasikan pelbagai kesulitan yang didepani, adalah data sebelum kematian paling penting dan tidak tercemar,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata penilaian psikiatri klinikal bukan bermaksud dilakukan secara retrospektif atau bagi menentukan cara kematian seseorang. “Saya berpegang kepada kesimpulan bahawa cara kematiannya adalah konsisten dengan bunuh diri. “Saya dengan rendah hati berhujah bahawa mahkamah berhak dan mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara kematian secara mutlak manakala pandangan saya kekal sebagai pendapat pakar berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya. Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. Prosiding inkues bersambung esok.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah diadakan di SICC 16 Sep Ini

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini bermula pukul 8 malam, 16 Sept ini. Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Datuk Jafry Ariffin berkata program dan persediaan operasi yang dimuktamadkan telah dibentangkan semasa melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini. Jafry, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata sambutan berkenaan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga sebagai platform penting untuk rakyat Malaysia menghargai sejarah pembentukan negara serta memperkukuh perpaduan, semangat patriotisme dan kebersamaan. “Sabah merupakan tempat yang amat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia. Sambutan ini sepatutnya membuatkan kita mengingati perjuangan generasi terdahulu, sambil membaharui tekad untuk terus membina sebuah negara yang aman, progresif dan bersatu padu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Musa kerana menerima kunjungan delegasi jawatankuasa dan berkongsi panduan, nasihat serta pandangan bagi memastikan acara berkenaan berjalan dengan lancar dan bermakna. Jafry berkata persediaan untuk acara peringkat negeri itu sedang diselaraskan secara aktif melalui kerjasama pelbagai agensi melibatkan semua kementerian, jabatan kerajaan dan agensi awam yang berkaitan. Beliau juga mempelawa seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia ke-63 itu sebagai ungkapan rasa cinta akan negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.– BERNAMA