Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 9, 2026

BERNAMA

Malaysia tawar bantuan kepada indonesia tangani kebakaran hutan, tanah

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan oleh Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata bantuan ditawarkan Malaysia merangkumi keupayaan pemadaman kebakaran dari udara termasuk operasi pengeboman air menggunakan helikopter, sokongan pemadaman menggunakan pesawat amfibia serta pelaksanaan operasi pembenihan awan. “Bentuk dan skop bantuan akan diperincikan bersama-sama pihak Indonesia berdasarkan keperluan serta kesesuaian keadaan di lapangan selain tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan. “Keupayaan tersebut selaras dengan kesiapsiagaan bantuan yang telah dikenal pasti melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu. Arthur berkata beliau telah mengutuskan surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Mohammad Jumhur Hidayat bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tawaran itu susulan perbincangan antara Arthur dan Mohammad Jumhur semasa pertemuan dua hala di Bali, Indonesia pada 8 Julai lepas dan juga panggilan telefon pada 24 Ogos. “Kedua-dua negara telah menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal dalam menghadapi risiko kebakaran serta jerebu merentas sempadan, khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas serta kering di rantau ini,” katanya. Penyelarasan pemberian bantuan akan dilaksanakan selaras dengan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang menggariskan bahawa negara anggota ASEAN boleh menawarkan bantuan tertakluk kepada permintaan dan persetujuan negara penerima. Sehubungan dengan itu, Arthur berkata Malaysia menghormati sepenuhnya kedaulatan Indonesia dan bersedia memperincikan bentuk, skop dan penyelarasan bantuan bersama-sama pihak berkuasa Indonesia sekiranya tawaran itu diterima. “Malaysia percaya cabaran kebakaran hutan, tanah dan jerebu merentas sempadan perlu ditangani melalui tindakan awal, koordinasi rapat serta semangat tanggungjawab bersama. “Justeru itu, kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi menangani keadaan semasa serta memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua negara menghadapi risiko yang mungkin meningkat sepanjang tempoh cuaca panas dan kering,” katanya.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Sukan Asia: Rexy percaya emas dalam jangkauan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky percaya skuad badminton negara mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini. Namun, jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak mahu meletakkan tekanan keterlaluan kepada pemain dan mengambil pendekatan realistik dengan menjadikan pingat perak dan gangsa sebagai sasaran awal skuad badminton negara. Rexy berkata keyakinannya antara lain disandarkan kepada gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, selain beregu wanita utama Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Cheng Su Yin. “Memang sasaran kita harus realistik, iaitu perak dan gangsa. Namun daripada hati kecil saya, saya tetap percaya pemain saya mampu beri lebih daripada itu (pingat emas). “Siapa sahaja yang berada di sini pasti mahu kami memenangi emas,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini. Beliau berkata faktor undian bakal memainkan peranan penting, khususnya bagi pasangan yang tidak berada dalam kelompok pilihan teratas dan berkemungkinan berdepan pencabar utama lebih awal. “Kalau mereka dapat melepasi lawan-lawan sukar, peluang untuk mendapatkan pingat emas cukup besar. Kita harap apabila undian keluar nanti, perkara itu menjadi motivasi kepada pemain,” katanya. Mengulas persiapan skuad negara, Rexy berpuas hati dengan perkembangan semasa selepas Sze Fei-Nur Izzuddin serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mula menyertai sesi latihan. Beliau berkata beberapa perkara melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan juga telah diperhalusi, manakala fokus minggu terakhir ialah memastikan kesihatan, tumpuan dan motivasi pemain berada pada tahap terbaik sebelum turun beraksi. Kali terakhir Malaysia meraih emas badminton Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki di Doha 2006, manakala pada edisi Hangzhou 2022, Aaron-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa. Badminton merupakan antara sukan berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara yang menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Aichi-Nagoya 2026.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Nahas helikopter: Kerajaan akan beri bantuan kepada keluarga mangsa – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan segala bantuan dan sokongan diperlukan kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam. Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini. Anwar berkata beliau turut berdukacita menerima khabar nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu yang membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang. “Ingatan serta doa saya dan (isteri) Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) bersama keluarga kesemua mangsa yang sedang melalui detik yang begitu berat ini. “Moga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa,” katanya. Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak. KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi. Antara mangsa disahkan oleh keluarga ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 32. — BERNAMA

September 9, 2026

Info X Reporters

Proton Saga hilang kawalan, punca kemalangan empat maut

TELUPID: Kemalangan yang menyebabkan empat maut dalam kejadian di Kilometer 7, Telupid-Beluran, di sini disyaki akibat kereta Proton Saga yang hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata kereta itu dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun, manakala tiga lagi penumpang adalah warga asing yang dalam perjalanan dari arah Beluran ke Pekan Telupid dalam kejadian jam 6.30 pagi itu. Katanya, ketika melalui kawasan itu, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun. “Siasatan awal mendapati pemandu lori dalam perjalanan ke tempat kerja. “Pemandu lori cedera di kaki dan tangan, manakala empat mangsa mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya di sini, hari ini. Hasan berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau meminta saksi yang melihat kejadian itu dan mempunyai rakaman agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai berhampiran. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Sawah merekah akibat panas, pam rosak, 600 petani terjejas di Tambunan

TAMBUNAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa mengambil tindakan segera bagi membaiki pam air yang rosak sejak enam tahun lalu hingga menjejaskan sawah padi di Kampung Kiawayan dan sekitarnya. Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P Paut, berkata kerosakan pam air itu menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke sawah, mengakibatkan tanaman padi terjejas, terutama ketika cuaca panas dan kering sekarang. Katanya, masalah itu bukan saja menjejaskan pesawah di kampung berkenaan, malah turut membabitkan kawasan sawah di Kampung Masak dan Kampung Silat, dengan lebih 600 petani terjejas. “Masalah ini sudah berlaku selama enam tahun dan terlalu lama untuk dibiarkan tanpa penyelesaian oleh pihak yang bertanggungjawab. “Kita dapat lihat sendiri keadaan sawah yang merekah dan kering akibat ketiadaan bekalan air hingga padipun musnah. “Justeru, saya berharap pihak berwajib, khususnya JPS, mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti punca kerosakan pam, seterusnya memastikan sistem pengairan ini dapat berfungsi semula,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi di Kampung Kiawayan, di sini. Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, kawasan sawah yang terjejas dianggarkan melebihi 200 ekar dan menjadi sumber pendapatan utama penduduk yang bergantung kepada hasil tanaman padi. Katanya, beliau juga sudah menghubungi Pegawai JPS Tambunan dan dimaklumkan bahawa pegawai jurutera daerah akan turun padang bagi meninjau serta mengenal pasti masalah berkenaan. “Saya berharap perkara ini tidak berhenti setakat tinjauan sahaja, sebaliknya tindakan susulan wajib diambil dengan segera kerana petani di sini tidak boleh terus menunggu. “Sekiranya sawah tidak dapat diusahakan, mereka bukan sahaja kehilangan hasil tanaman, malah sumber pendapatan untuk menyara keluarga turut terjejas,” katanya. Beliau berkata, pesawah yang terjejas turut berharap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) dapat mengambil perhatian serta campur tangan dalam isu berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan penanaman padi. Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kiawayan yang juga salah seorang pesawah terjejas, Justin Itud, berkata penduduk sudah beberapa kali membuat laporan berhubung masalah sistem pengairan itu sebelum ini. Bagaimanapun, katanya sehingga kini pam berkenaan belum dibaiki, menyebabkan petani terpaksa bergantung kepada hujan untuk bekalan air ke sawah yang sudah tentu tidak mencukupi. “Sudah banyak kali laporan dibuat sebelum ini. Sekarang keadaan semakin teruk kerana cuaca panas dan tiada hujan. “Justeru kami harap perkara ini dapat perhatian serta tindakan segera diambil supaya pam dibaiki dan air dapat disalurkan semula ke sawah. Ini punca pendapatan kami sebagai petani. “Sudah banyak aduan kami hantar dan memohon tindakan sepanjang tempoh itu namun sehingga hari ini, belum ada tindakan diambil untuk mengatasi masalah pengairan ini,” katanya. Seorang pesawah dari Kampung Lalapakon, Harry Kimun, turut menyuarakan rayuan pesawah di kampungnya meminta supaya pihak berwajib segera mengambil langkah drastik bagi memulihkan sistem pengairan supaya penanaman dapat diteruskan mengikut jadual. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Empat maut dalam kemalangan kereta, lori

TELUPID: Empat maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori di Jalan Telupid-Sandakan, di sini, hari ini. Identiti semua mangsa bagaimanapun belum diperolehi dengan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamaluddin, berkata pasukan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu dan menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak 93 kilometer (km) dari balai. Katanya, keempat-empat mangsa dalam kereta Proton Saga dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. “Pemandu lori cuma mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk menerima rawatan. “Tiada liputan telefon di lokasi kejadian dan maklumat semua mangsa belum diperolehi. Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi berkenaan. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Nasib Dewan Masyarakat KK tidak diabaikan, kerja baik pulih akan dilaksana – Jafry

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memberi jaminan tidak akan membiarkan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang musnah dalam kebakaran sebelum ini daripada terabai. Menterinya, Datuk Jafry Arifin, berkata kementeriannya melalui Majlis Warisan Sabah dan Jabatan Muzium negeri bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pemulihan bangunan warisan itu. Katanya, kerjasama itu bagi memastikan kerja pemulihan bangunan berkenaan yang terletak di bawah pengurusan DBKK dilaksanakan dengan betul mengikut keperluan pemuliharaan warisan. “Memandangkan Dewan Masyarakat itu adalah tapak warisan yang dilindungi, kerja pemulihannya tidak boleh dibuat seperti membaiki bangunan biasa. “Semua kerja mesti mematuhi Enakmen Warisan Sabah 2017 dan asas pemuliharaan yang sesuai bagi melindungi senibina asal, integriti sejarah dan nilai warisannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Katanya, Jabatan Muzium Sabah sudah menasihatkan DBKK mengenai keperluan dokumentasi teknikal, skop kerja dan kaedah pemulihan bangunan berikutan kos pemulihannya ditentukan berdasarkan perkara itu. “DBKK ketika ini dalam proses mendapatkan dana yang diperlukan bagi melaksanakan kerja pemulihan,” katanya. Jafry berkata, kerajaan negeri memahami keprihatinan orang ramai terhadap nasib bangunan warisan itu dan menghargai minat mereka dalam melindungi antara mercu tanda bandar raya Kota Kinabalu. “Keutamaan kita bukan semudah membaiki sebuah bangunan, tetapi untuk memulihkannya dengan betul, memelihara sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang. “Pihak kementerian akan terus bekerja rapat dengan Majlis Warisan Sabah, Jabatan Muzium dan DBKK untuk menyelaras proses yang perlu dan memastikan kerja pemulihan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya. Sebelum ini, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee mempersoalkan mengapa bangunan itu dibiarkan dalam keadaan yang rosak selepas setahun musnah akibat kebakaran. Katanya, Majlis Warisan Sabah perlu bertindak membaik pulih bangunan itu bagi melindungi identitinya sebagai bangunan warisan yang menyimpan banyak sejarah. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Sabah terdedah ancaman ketenteraan AS-China di Laut China Selatan

KOTA KINABALU: Provokasi ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan boleh menggugat keselamatan rentas sempadan negeri ini jika situasi semasa menjadi konflik yang panas dan tegang. Pengerusi Kelab Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata aktiviti ketenteraan dua kuasa besar itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengancam kedaulatan negara, khususnya Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, beliau menggesa Wisma Putra segera mengadakan rundingan diplomatik dengan AS, China dan Filipina bagi memastikan perairan Laut Cina Selatan selamat untuk laluan perdagangan serantau. ADUN Kuamut itu juga bimbang tindakan kerajaan Filipina bersama AS membangunkan kemudahan ketenteraan berskala besar di Pulau Balabac, selatan Filipina memberi kesan kepada Sabah berikutan kedudukannya yang hanya terletak 50 kilometer dari Pulau Banggi dan cuma mengambil masa 20 minit menaiki bot. “Memandangkan operasi ketenteraan berkenaan sangat hampir dengan Sabah, maka kerajaan Malaysia wajar mengambil perhatian serius dari sudut keselamatan rakyat terutama di pantai utara Sabah. “Kita bimbang kehadiran sejumlah besar tentera AS di Pulau Balabac berpotensi mencetuskan situasi di luar jangkaan jerana harus diingat, sehingga kini Filipina masih menuntut wilayah Sabah,” katanya. Masiung berkata, aktiviti ketenteraan AS dan China di perairan berhampiran Borneo semakin memuncak, yang mana kedua-dua kuasa besar itu terus memperkukuhkan ketumbukan tentera dan aset pertahanan. Mengulas lanjut isu itu, beliau bimbang kawasan utara Sabah terdedah kepada kemungkinan berlaku konflik ketenteraan berikutan kehadiran pusat tentera AS di selatan Filipina dan tidak menolak kemungkinan insiden kecil boleh bertukar menjadi tegang. Masiung berkata, walaupun Malaysia dan Filipina kini mengekalkan hubungan dua hala serta diplomatik yang baik, namun Malaysia perlu berwaspada terhadap sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Sebelum ini, P9erdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan AS di Pulau Balabac dan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah. – Info X