September 9, 2026
Info X Reporters
Nasib Dewan Masyarakat KK tidak diabaikan, kerja baik pulih akan dilaksana – Jafry
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memberi jaminan tidak akan membiarkan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang musnah dalam kebakaran sebelum ini daripada terabai. Menterinya, Datuk Jafry Arifin, berkata kementeriannya melalui Majlis Warisan Sabah dan Jabatan Muzium negeri bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam pemulihan bangunan warisan itu. Katanya, kerjasama itu bagi memastikan kerja pemulihan bangunan berkenaan yang terletak di bawah pengurusan DBKK dilaksanakan dengan betul mengikut keperluan pemuliharaan warisan. “Memandangkan Dewan Masyarakat itu adalah tapak warisan yang dilindungi, kerja pemulihannya tidak boleh dibuat seperti membaiki bangunan biasa. “Semua kerja mesti mematuhi Enakmen Warisan Sabah 2017 dan asas pemuliharaan yang sesuai bagi melindungi senibina asal, integriti sejarah dan nilai warisannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Katanya, Jabatan Muzium Sabah sudah menasihatkan DBKK mengenai keperluan dokumentasi teknikal, skop kerja dan kaedah pemulihan bangunan berikutan kos pemulihannya ditentukan berdasarkan perkara itu. “DBKK ketika ini dalam proses mendapatkan dana yang diperlukan bagi melaksanakan kerja pemulihan,” katanya. Jafry berkata, kerajaan negeri memahami keprihatinan orang ramai terhadap nasib bangunan warisan itu dan menghargai minat mereka dalam melindungi antara mercu tanda bandar raya Kota Kinabalu. “Keutamaan kita bukan semudah membaiki sebuah bangunan, tetapi untuk memulihkannya dengan betul, memelihara sejarah, karakter dan nilai warisannya untuk generasi akan datang. “Pihak kementerian akan terus bekerja rapat dengan Majlis Warisan Sabah, Jabatan Muzium dan DBKK untuk menyelaras proses yang perlu dan memastikan kerja pemulihan dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya. Sebelum ini, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee mempersoalkan mengapa bangunan itu dibiarkan dalam keadaan yang rosak selepas setahun musnah akibat kebakaran. Katanya, Majlis Warisan Sabah perlu bertindak membaik pulih bangunan itu bagi melindungi identitinya sebagai bangunan warisan yang menyimpan banyak sejarah. – Info X
September 9, 2026
Info X Reporters
Sabah terdedah ancaman ketenteraan AS-China di Laut China Selatan
KOTA KINABALU: Provokasi ketenteraan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan boleh menggugat keselamatan rentas sempadan negeri ini jika situasi semasa menjadi konflik yang panas dan tegang. Pengerusi Kelab Backbencers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata aktiviti ketenteraan dua kuasa besar itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengancam kedaulatan negara, khususnya Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, beliau menggesa Wisma Putra segera mengadakan rundingan diplomatik dengan AS, China dan Filipina bagi memastikan perairan Laut Cina Selatan selamat untuk laluan perdagangan serantau. ADUN Kuamut itu juga bimbang tindakan kerajaan Filipina bersama AS membangunkan kemudahan ketenteraan berskala besar di Pulau Balabac, selatan Filipina memberi kesan kepada Sabah berikutan kedudukannya yang hanya terletak 50 kilometer dari Pulau Banggi dan cuma mengambil masa 20 minit menaiki bot. “Memandangkan operasi ketenteraan berkenaan sangat hampir dengan Sabah, maka kerajaan Malaysia wajar mengambil perhatian serius dari sudut keselamatan rakyat terutama di pantai utara Sabah. “Kita bimbang kehadiran sejumlah besar tentera AS di Pulau Balabac berpotensi mencetuskan situasi di luar jangkaan jerana harus diingat, sehingga kini Filipina masih menuntut wilayah Sabah,” katanya. Masiung berkata, aktiviti ketenteraan AS dan China di perairan berhampiran Borneo semakin memuncak, yang mana kedua-dua kuasa besar itu terus memperkukuhkan ketumbukan tentera dan aset pertahanan. Mengulas lanjut isu itu, beliau bimbang kawasan utara Sabah terdedah kepada kemungkinan berlaku konflik ketenteraan berikutan kehadiran pusat tentera AS di selatan Filipina dan tidak menolak kemungkinan insiden kecil boleh bertukar menjadi tegang. Masiung berkata, walaupun Malaysia dan Filipina kini mengekalkan hubungan dua hala serta diplomatik yang baik, namun Malaysia perlu berwaspada terhadap sebarang kemungkinan di luar jangkaan. Sebelum ini, P9erdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan AS di Pulau Balabac dan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah. – Info X
September 9, 2026
Info X Reporters
Program Rebat Budi Madani Pinjaman YS diteruskan hingga 27 September
KOTA KINABALU: Yayasan Sabah sekali lagi memberi peluang kepada semua peminjam pinjaman pengajian Yayasan Sabah untuk menikmati insentif rebat menarik hingga 30 peratus dan pengampunan CTOS melalui Program Rebat Budi Madani 2026 yang ditawarkan mulai 7 hingga 27 September ini. Pengarahnya, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata program itu sebagai penghargaan kepada peminjam yang komited dalam membuat pembayaran balik pinjaman pengajian, selain memupuk budaya pembayaran yang mampan. Katanya, program kali ini juga sebagai susulan sambutan memberangsangkan dalam program sama pada Ogos lalu, dengan mengekalkan tawaran rebat yang menarik bagi menggalakkkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi mereka. Jelasnya, pembayaran balik pinjaman pengajian sangat penting dalam menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah. “Pemberian kadar rebat yang tinggi dalam Program Rebat Budi Madani 2026 ini adalah sebagai tanda penghargaan Kumpulan Yayasan Sabah kepada peminjam yang aktif, konsisten dan berdedikasi mematuhi jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan. “Di samping itu, program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) turut dilaksanakan bagi meringankan bebanan peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan dari senarai CTOS,” katanya. Di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, katanya tiga kategori rebat ditawarkan bermula dengan Rebat 30% yang ditawarkan kepada peminjam kategori Aktif Bayar atau mereka yang membuat pembayaran secara konsisten dan berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka. Gulam berkata, Rebat 25% pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar, yang berhasrat melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, manakala, Rebat 20% ditawarkan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran. Sementara itu, katanya bagi memudahkan peminjam bertanya lanjut dan memahami proses berkaitan program rebat dan pengampunan CTOS, Yayasan Sabah akan melaksanakan jelajah ke beberapa daerah di seluruh negeri untuk berjumpa secara bersemuka dengan peminjam yang berminat menyertai program berkenaan. “Maklumat terperinci mengenai tarikh dan lokasi jelajah ini akan dimaklumkan melalui media sosial dari semasa ke semasa,” katanya. Sebagai alternatif, katanya peminjam juga boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah, di sini. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS, boleh diperolehi dengan melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088/ 014-3288868 / 016-8286125 / 010-9556977 / 010-2366967, atau emel di alamat [email protected]. – Info X
September 9, 2026
Info X Reporters
Piala FA: Tenang Sang Badak, yakin saja lawan Selangor
KOTA KINABALU: Pemain Sabah FC diingatkan supaya kekal tenang, berdisiplin dan yakin jika mahu menyingkirkan Selangor FC pada aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor, malam ini. Nasihat itu dilontarkan Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido, sebagai petua berdepan skuad Gergasi Merah yang dijangka bermain lebih garang di halaman sendiri berbanding ketika bertandang ke Stadium Likas pada perlawanan pertama minggu lalu. Garrido menyedari tugas anak buahnya bukan mudah selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama, namun beliau percaya Sang Badak mempunyai peluang untuk melakar keputusan positif di halaman lawan. Apa yang mustahak, katanya aspek komunikasi dan keserasian antara pemain perlu berada pada tahap yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka mampu mengawal perlawanan itu nanti. “Sangat penting untuk kami konsisten, sehaluan dan mempunyai komunikasi yang baik di antara pemain sejak minit pertama bagi mengawal situasi yang tidak dapat dijangka dalam perlawanan seperti ini,” katanya. Garrido menjangkakan Selangor akan tampil lebih agresif di laman sendiri, terutama kerana aksi itu menjadi penentu kepada peluang mereka untuk terus bersaing dalam Piala FA. “Mereka bermain di laman sendiri, mereka adalah pasukan pilihan dan meneruskan saingan dalam Piala FA sangat penting buat mereka. Jadi, kita menjangkakan mereka akan cuba mendominasi permainan dan mencari gol awal,” katanya. Sabah hadir ke aksi kedua itu selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama, namun turut dibolosi dua kali, sekali gus menjadikan aspek pertahanan antara perkara yang diberi perhatian oleh Garrido. Bagaimanapun, beliau mengakui jadual padat ketika ini turut memerlukan pasukannya memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain. “Kita bekerja untuk memperbaiki setiap aspek, tetapi jadual yang padat memaksa kita memberi keutamaan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain. Namun, pemain kita tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlawanan ini,” katanya. Dalam masa sama, Garrido tidak mahu anak buahnya terlalu memikirkan kesilapan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya perlu lebih bijak mengambil kesempatan apabila pihak lawan melakukan kesilapan. Katanya, beberapa gol yang dilepaskan Sabah sebelum ini berpunca daripada tindakan individu pemain lawan yang sukar dijangka, namun masih ada ruang untuk diperbaiki. “Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak. Tiga daripada empat gol terakhir yang kita bolos datang daripada tindakan individu luar biasa pemain penyerang lawan. “Memang ada situasi pada awal gerakan yang boleh kita elakkan, tetapi mungkin kita dihukum terlalu berat. Bagaimanapun, kita perlu menggunakan kesilapan lawan dengan lebih baik,” katanya. Menjelang pertembungan penting itu, Garrido mahu pemainnya kekal bersatu dan percaya kepada kemampuan pasukan untuk mencipta keputusan yang diperlukan. “Kita perlu sehaluan, menguruskan serangan dengan lebih baik, kekal yakin dan mengekalkan semangat ini. Paling penting, kita perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lebih daripada lawan,” katanya. – Info X
September 8, 2026
Info X Reporters
Lima maut helikopter BO-105 terhempas di Sarawak
KOTA KINABALU: Lima individu termasuk empat petugas kesihatan dan seorang juruterbang disahkan meninggal dunia selepas helikopter BO-105 yang melakukan penerbangan perkhidmatan doktor udara terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, hari ini. Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Borneo Post. Beliau berkata, kesemua lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan (KKM). “Semua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Kesihatan,” katanya menurut laporan FMT. Helikopter terbabit dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Miri menuju ke Long Lellang bagi menjalankan perkhidmatan doktor udara sebelum terhempas berhampiran STOLport Long Lellang. Galong berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut meluluskan penggunaan helikopter MI-17 bagi membawa keluar mayat semua mangsa dari lokasi kejadian. Bagaimanapun, katanya, operasi berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca selain arahan pihak berkuasa penerbangan dan agensi berkaitan. “Operasi itu akan diketuai Ketua Polis Marudi, Nor Aizan Jamil, yang turut menyelia siasatan berhubung nahas,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dijangka dibawa pulang ke Miri menggunakan penerbangan sama, dengan helikopter berkenaan berkemungkinan mendarat di Lapangan Terbang Miri dan bukan di helipad Hospital Miri. Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini memaklumkan empat penumpang dalam helikopter terbabit adalah petugas KKM yang sedang menjalankan tugas rasmi. Mereka terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.-Info X
September 8, 2026
BERNAMA
Status mangsa helikopter terhempas belum dipastikan, jerebu antara cabaran SAR – Polis
KUCHING: Status kesemua lima individu di dalam sebuah helikopter yang terhempas di hujung landasan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) petang tadi masih belum dapat dipastikan. Pesuruhjaya Polis sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata maklumat awal mendapati helikopter milik sebuah syarikat swasta itu disewa bagi perkhidmatan doktor udara membabitkan tiga lokasi, iaitu dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang. “Laporan mengenai insiden itu diterima pada 3.32 petang tadi. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diusahakan memandangkan kawasan kejadian agak terpencil dan mengambil masa lebih kurang 10 jam perjalanan darat dari Marudi. “Perkhidmatan udara menggunakan helikopter dari Pangkalan Udara PDRM Kuching pula tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohamad Zainal berkata operasi SAR pada masa ini bergantung pada bantuan penduduk kampung, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta polis bantuan di STOLport Long Lellang, sementara pasukan keselamatan dalam perjalanan ke lokasi. Beliau berkata butiran tentang kesemua penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian. Mohamad Zainal turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama dengan Biro Sigsatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan. Terdahulu, CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, kira-kira 929 kilometer dari Kuching. Menurut pihak berkuasa penerbangan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan perkhidmatan doktor udara semasa kejadian. — BERNAMA
September 8, 2026
Info X Reporters
Gerak-geri pelik bongkar syabu dalam poket
KOTA BELUD: Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu dalam operasi di Kampung Pintasan, di sini, hari ini. Suspek tempatan berusia 36 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Belud ketika menjalankan Op Tapis Dadah kira-kira jam 2 petang. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, dadah seberat 5.09 gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM509. “Ujian saringan awal terhadap bahan berkenaan menunjukkan keputusan positif methamphetamine. “Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah. Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan dan kemungkinan pembabitan individu lain. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya. – Info X
September 8, 2026
Info X Reporters
Tuntutan 40 peratus dibincang pada mesyuarat MA63 Jumaat ini – KM
KUNAK: Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan dan isu yang belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih yang menjadi hak Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat berkaitan MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu pada Jumaat ini. “Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, pada Selasa. Hajiji berkata, Kerajaan Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri sekarang kerana sepanjang pentadbiran beliau, sembilan perkara di bawah MA63 telah diselesaikan dan kuasa berkaitan turut diturunkan kepada Sabah. “Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 (perkara) telah diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada perkara-perkara lain, termasuk pembayaran 40 peratus,” katanya. Katanya, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan. “Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya. Hajiji berkata, perkara-perkara yang belum selesai akan dibawa semula untuk pertimbangan dalam mesyuarat atau rundingan MA63 seterusnya. Dalam perkembangan berkaitan pembangunan ekonomi negeri, Hajiji menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dan dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum akhir tahun ini. Beliau berkata, kilang berkenaan adalah perkembangan positif sebagai aktiviti serta perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu, dengan bahan-bahan berasaskan sawit digunakan dalam pengeluarannya. “Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun. “Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya. Hajiji berkata, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diharap dapat membantu meningkatkan hasil Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya. “Saya rasa ini yang pertama di Malaysia, jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama,” katanya. Terdahulu, ketibaan Hajiji dan rombongan di kilang itu disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg. Kunak Lipids Sdn Bhd adalah anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak. – Info X