KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menerima semua rawatan yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawanya ketika dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.
Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, Dr Janefer Voo, berkata pesakit pada ketika itu diberikan resusitasi bagi menstabilkan keadaannya.
Beliau menjawab soalan Pegawai Pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad yang bertanya mengenai keadaan arwah Zara Qairina ketika Dr Janefer bersama pasukannya memeriksa dan merawat pesakit pada masa itu.
Dr Janefer turut menerangkan hasil diagnosis pesakit berdasarkan laporan perubatan dan pemeriksaannya pada masa itu yang mana pesakit mengalami polytrauma yang tidak diketahui mekanisme kecederaannya.
Ketika prosiding, saksi ketiga inkues itu turut menerangkan mengenai proses rawatan yang diberikan kepada arwah Zara Qairina yang bermula dari ‘trauma alert’ yang diaktifkan selepas pemeriksaan awal terhadap pesakit.
“Ini adalah proses resusitasi yang telah dijalankan dan ia adalah bermula dari ‘trauma alert’ yang diakifkan dan telah dihadiri oleh doktor lain.
“Yang pertama bagi ‘airway’ yang libatkan proses intubasi, memasukkan tiub pernafasan dan pesakit diberikan resusitasi air dan juga memerlukan transfusi darah bagi menstabilkan tekanan darah pada masa itu.
“CMT close manipulative reduction telah dibuat oleh doktor bahagian ortopedik bagi membetulkan tulang kaki kiri yang terkehel teruk, selain itu ortopedik team telah meletakkan cement plaster backslab pada tangan kiri dan juga kedua kaki, manakala luka belakang kepala dijahit bagi mengawal pendarahan,” katanya.
Beliau turut menerangkan sebab pemberian beberapa jenis ubat kepada Zara Qairina ketika dirawat pada masa itu.
Katanya, perkembangan pesakit sepanjang berada di Jabatan kecemaaan adalah tidak stabil dan dalam keadaan kritikal kerana memerlukan resusitasi air dan produk darah selain ubat bagi membantu menstabilkan tekanan darah.
“Selain itu luka belakang kepala dijahit bagi mengawal pendarahan. Semua proses ini dilakukan bersama trauma team hinggalah keputusan makmal dan pengimejan tersedia,” katanya.
Katanya, pesakit kemudian dimasukkan ke wad neurosurgery HQE pada jam 6.40 petang, 16 Julai lalu selepas beberapa jam dirawat sejak tiba di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.38 pagi hari yang sama. – Info X