Search

Inkues kematian Zara: Arwah pernah cerita masalah kepada saksi – peguam

September 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir dikatakan pernah meluahkan masalahnya kepada seorang saksi mengenai apa yang ditulisnya dalam sebuah diari.

Peguam mewakili empat tertuduh kanak-kanak, Azhier Farhan Arisin, berkata saksi kedua kanak-kanak dalam inkues kematian arwah Zara itu mengiyakan perkara itu selepas diperlihatkan diari mengandungi tulisan dipercayai milik arwah.

“Untuk keterangan daripada saksi nombor dua, saya ingat saya ada merujuk saksi ini kepada satu catatan tulisan diari, sama ada dia kenal atau tidak tulisan siapa dan dia kata dia kenal, iaitu tulisan arwah Zara.

“Dalam catatan tersebut, zara ada meluahkan, penulislah. Saya menggunakan istilah penulis sebab belum ditentukan lagi oleh Koroner sama ada buku itu milik Zara atau tidak, saya mengelak, jadi saya akan cakap penulislah.

“Jadi penulis diari tersebut yang dikata tulisan Zara itu oleh saksi tulisan Zara, dia mengadu bahawa ‘Ya Allah, kenapa aku dibenci, kenapa aku tidak disukai orang’, catatan-catatan tersebut ditulis di dalam buku tersebut.

“Apabila kami tanya, sama ada catatan-catatan tersebut pernahkah ditimbulkan oleh arwah Zara kepada saksi-saksi tersebut, saksi cakap, pernah. Dia pernah mengadu tentang masalah itulah, dalam diari,” katanya ditenui selepas prosiding inkues pada Khamis.

Bagainanapun, katanya diari itu perlu disemak semula kerana ada terlalu banyak diari yang lain.

“Kalau baca dari media sosialpun, terlalu banyak. Dia ada diari dan dia ada juga satu buku bukan diari dan buku tersebut dikongsi dengan satu pelajar lain. Sebab itulah dalam diari tersebut, terdapat tulisan orang lain dan tulisan Zara.

Sementara itu, katanya ada dua saksi kanak-kanak yang memberi keterangan mengenai arwah Zara bercakap dengan kawan-kawannya mengenai bunuh diri.

“Lebih 10 kali Zara menyoal tentang ‘suicide’, ada dua saksi. Saksi pertama dan kedua menyatakan benda yang sama.

“Yang ketiga tidak ada, sebab saksi ketiga dia lebih kepada saksi untuk apa yang dilihat di ‘dorm’ pada malam itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya saksi pertama kanak-kanak sebelum ini menyatakan bahawa dua hari sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri, saksi mengikut arwah balik bermalam bersamanya.

“Ketika mereka pulang ke asrama, mereka dihantar oleh ibu Zara dan menurut keterangan saksi, terdapat insiden Zara dimarahi oleh ibu Zara.

“Oleh sebab itu, ketika hantar pulang, ibu Zara cuba salam, tapi menurut saksi, salam itu tidak ikhlas dan apabila saya tanya, ‘adakah itu kali terakhir ibu Zara berjumpa dengan Zara’ menurutnya itu kali terakhir, dalam keadaan Zara marah terhadap ibunya.

“Setakat ini, itu sahaja keterangan daripada saksi itu dan kita belum dengar lagi dari saksi-saksi lain, dan masih awal untuk kita buat kesimpulan sama ada dari saksi tersebut.

“Kita mahu elak daripada buat andaian kita sendiri, jadi setakat ini, itu sahaja daripada saks itu,” katanya. – Info X