Search

Inkues kematian Zara: Doktor utamakan nyawa Zara, bukan hubungi polis

September 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Janefer Voo, berkata pihaknya mengutamakan untuk menstabilkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika dirawat pada 16 Julai lalu.

Katanya, atas sebab itu, pihaknya tidak menghubungi polis bagi memaklumkan kes pesakit yang diterima mereka pada masa itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam ibu arwah, Rizwandean M Borhan pada prosiding inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, pada Selasa.

Dr Janefer berkata keutamaan ketika itu adalah untuk menstabilkan pesakit kerana tiba dalam keadaan kritikal dan tiada maklumat lengkap dari pihak ambulans.

Saksi ketiga inkues itu berkata, beliau juga tidak melihat kehadiran polis dan ibu arwah Zara Qairina berada di Jabatan Kecemasan HQE pada 16 Julai lalu.

Ketika prosiding itu, Rizwandean turut bertanya sama ada Dr Janefer ada memberikan ubat anti sawan Phenytoin kepada Zara Qairina ketika masih dirawat, namun beliau menyatakan tiada.

Ubat anti sawan ditemui dalam ujian tisu buah pinggang arwah Zara Qairina ketika bedah siasat sebelum ini seperti diterangkan saksi pertama inkues, Dr Jessie Hiu.

Sementaara itu, Dr Janefer turut mengiyakan pernah menerima kes pesakit yang jatuh ketika ditanya sama ada pernah menerima pesakit yang mendapat kecederaan akibat jatuh.

Beliau juga ditanya sama ada pesakit membabitkan individu yang jatuh dari tempat tinggi boleh mengalami lebam pada anggota badannya.

Bagaimanapun, katanya perkara itu bergantung kepada mekanisme bahagian badan yang mana jatuh dahulu. – Info X