KOTA KINABALU: Ibu arwah Zara Qairina Mahathir bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung inkues bagi mengumpul dana untuk menampung kos inkues, terutama saksi pakar.
Perkembangan itu dimaklumkan peguam mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat, Mohd Sharulnizam Mohd Salleh.
Katanya, tabung itu bukan untuk membayar khidmat mereka sebagai peguam ibu arwah Zara, sebaliknya mereka kekal menyediakan khidmat secara pro bono.
“Kami ingin mengumumkan bahawa untuk membantu perjalanan prosiding inkues ini, bagi kos-kos yang berkaitan, anak guam kami dengan kerjasama sebuah NGO telah melancarkan satu tabung inkues.
“Tujuan tabung ini adalah untuk menampung kos, terutamanya bagi saksi pakar, perjalanan, penginapan dan memudahkan prosiding bagi pihak pasukan peguam.
“Saya ingin tegaskan bahawa tabung ini tidak digunakan untuk membayar peguam. Kami semua masih sama, pendirian kami adalah melakukan tugas ini secara pro bono tanpa bayaran.
“Pengurusan tabung ini di bawah penyeliaan anak guam kami dan juga NGO berkenaan. Jadi, apa-apa soalan berkaitan tabung boleh berhubung terus dengan mereka. NGO tersebut ialah Persatuan Bayu Raudah Sabah, dengan person in charge iaitu Ustazah Marhamah,” katanya kepada media selepas selesai prosiding, petang tadi.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak terlibat dalam pengurusan tabung berkenaan kerana fokus mereka adalah kepada prosiding inkues.
Mengenai inkues, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terus membuat penghakiman terhadap apa sahaja yang dinyatakan saksi.
“Kita tidak boleh judge the book by its cover, perlu lihat dalam konteks kekuatan dan keterbatasan setiap saksi.
“Ini penting kerana prosiding inkues dijadualkan untuk sepanjang bulan ini dan mungkin lebih, bergantung pada tarikh tambahan. Jadi penting untuk tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan.
“Di mana relevan, kita akan bawa pemeriksa bebas dan saksi tambahan, tertakluk kepada kelulusan conducting officer dan mahkamah,” katanya. – Info X