KOTA KINABALU: Simulasi jatuhan menggunakan patung di lokasi arwah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu konsisten dengan keadaan sebenar.
Peguam Datuk Ram Singh, berkata simulasi yang dijalankan oleh polis pada 3 Ogos lalu itu konsisten dengan keterangan dua saksi doktor sebelum ini yang mengesahkan berlaku jatuhan.
Bagaimanapun, pihaknya berharap dapat melihat kerosakan patung yang digunakan itu pada prosiding inkues esok yang bersambung dengan saksi sama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi keterangan petang ini.
“Daripada simulasi dan satu gambar, hanya gambar menunjukkan keadaan si mati ditemui pada pagi itu, konsisten dengan keadaan sebenar.
“Ujian jatuhan dilakukan dan dua orang doktor juga mengesahkan bahawa memang berlaku jatuhan. Simulasi itu dibuat dari tingkat tiga.
“Kerosakan pada patung (mannequin) itu, kami harap dapat dilihat esok jika mereka boleh bawa patung yang sudah dijatuhkan.
“Kita akan tahu tahap kerosakan patung itu apabila dijatuhkan dari tingkat tiga ke tingkat bawah,” katanya ditemui media selepas selesai prosiding inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner, hari ini.
Petang tadi, Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus, memberi keterangan mengenai simulasi itu yang dilaksanakan pada kira-kira jam 3 pagi, 3 Ogos lalu.
Simulasi itu bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden yang menimpa arwah Zara pada masa yang hampir sama, 16 Julai lalu.
Polis turut merakam proses simulasi itu.
Ram berkata, pihaknya menganggap simulasi itu seharusnya konsisten dengan video pertama.
“Video pertama itu tanpa tolakan, hanya sekadar menjatuhkan patung dari tingkat tiga ke aras tanah. Itu sangat konsisten dengan gambar tunggal iaitu I7, yang menunjukkan keadaan si mati ditemui pada pagi itu.
“Setakat ini, saya fikir ia seharusnya baik, kecuali esok, saya percaya Inspektor Maidon akan disoal oleh peguam pihak ibu Zara,” katanya.
Prosiding inkues dijadual disambung esok dengan Inspektor Maidon menyambung semula keterangan. – Info X