KOTA KINABALU: Pakar patologi yang melakukan pemeriksaan post-mortem atau bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah antara saksi utama inkues kematian pelajar berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bermula 3 September depan.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata secara keseluruhan pihak Pendakwa Raya yang bertindak sebagai Pegawai Pengendali pada inkues itu bercadang memanggil kira-kira 70 orang saksi.
“Antara saksi utama yang akan dipanggil untuk memberi keterangan ialah pakar patologi yang telah melakukan pemeriksaan post-mortem ke atas jenazah Zara Qairina Mahathir, yang akan menerangkan mengenai punca kematian mangsa.
“Pasukan Pegawai Pengendali juga telah membuat persiapan rapi, termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan semasa prosiding inkues serta penyerahan dokumen tersebut kepada peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan,” katanya.
Menurut AGC, prosiding inkues kematian Zara Qairina ditetapkan untuk pendengaran pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30 September 2025.
Katanya, prosiding inkues itu juga akan disertai oleh pihak-pihak berkepentingan dan peguam pemerhati seperti yang dibenarkan oleh Mahkamah Koroner.
“Pihak-pihak berkepentingan iaitu Ibu Zara Qairina Mahathir diwakili oleh Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.
“Pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak pertama diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates dan pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili oleh Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.
“Sabah Law Society pula bertindak sebagai peguam pemerhati,” katanya.
AGC bertekad untuk memastikan prosiding inkues dapat dijalankan dengan lancar bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Jabatan ini juga berpegang kepada prinsip keadilan bukan sahaja hendaklah dilaksanakan, tetapi juga hendaklah dilihat sebagai telah dilaksanakan (Justice must not only be done but must also be seen to be done),” katanya.
Terdahulu, AGC berkata, pihaknya mengambil maklum dan menyedari mengenai perhimpunan ‘No Justice No Merdeka’ yang dikatakan akan berlangsung pada hujung minggu ini berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina.
Inkues itu diadakan selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].