KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tamu Darat, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 48 tahun menunggang motosikal sebelum tiba-tiba telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 69 tahun.
Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud, manakala pemandu kereta tidak cedera.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud. – Info X