Search

Tindakan undang-undang jika sebar fitnah terhadap TYT – Peguam Besar Sabah

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memberi peringatan akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu untuk menangani penyebaran fitnah yang disengajakan di media sosial terhadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT Sabah).

Tindakan itu adalah antara tiga peringatan yang dijelaskan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh, menerusi satu kenyataan berhubung penularan hantaran di media sosial yang bersifat menghina, fitnah, palsu dan mengelirukan terhadap TYT Sabah.

Peringatan kedua ialah mengenai kepentingan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab untuk mengekalkan ruang awam yang beradab dan berinformasi, manakala satu lagi ialah gesaan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat melalui sumber rasmi, sahih dan boleh dipercayai sebelum disebarkan.

Brenndon berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memandang serius penularan hantaran tidak benar mengenai TYT Sabah di media sosial dan menegaskan perkara itu tidak berasas sama sekali, selain tidak tepat dan boleh menjejaskan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi TYT.

“Walaupun kebebasan bersuara diiktiraf dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia harus dipraktiskan secara bertanggungjawab.

“Penyebaran maklumat yang menghina, direka atau mengelirukan bukan saja menjejaskan keyakinan awam, malah boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah Undang-Undang Malaysia, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 serta Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang di samping menggalakkan dialog yang membina dan saling menghormati.

Tegasnya, penyebaran maklumat yang tepat adalah tanda kematangan demokrasi di Sabah dan negara keseluruhannya.

“Orang ramai juga diseru untuk bersama-sama membudayakan nilai kejujuran, integriti dan akauntabiliti dalam semua bentuk komunikasi.

“Istana Seri Kinabalu melambangkan warisan sejarah dan nilai negeri Sabah yang kita cintai dan memerlukan penghormatan sepenuhnya di mata masyarakat.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi martabat dan kehormatan TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang mulia,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan memelihara integriti dan martabat TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang amat dihormati.

Katanya sejajar pelantikan TYT oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Persekutuan, jawatan TYT Sabah adalah bahagian penting dalam kerangka Perlembagaan Negara dan hendaklah dihormati sebagai lambang perpaduan, kesinambungan serta kedaulatan. – Info X