Search

MCMC diminta siasat video hina kaum dan Batu Sumpah

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada Jumaat membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai penyebaran video berunsur penghinaan kaum di Sabah dan penyelewengan fakta sejarah Batu Sumpah Keningau.

Setiausaha Politik kepada Presiden UPKO, Carl Moosom yang membuat laporan itu di Putrajaya menggesa MCMC menjalankan siasatan segera terhadap penyebaran video berkenaan.

Katanya, penyebaran video mengandungi unsur penghinaan melampau terhadap etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, selain memutar belit sejarah Batu Sumpah yang menjadi simbol penyatuan dan hak rakyat Sabah itu adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan.

“Kami meminta MCMC menyiasat punca dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menerbitkan video ini.

“UPKO mahu tindakan tegas diambil terhadap individu atau pihak yang cuba menanam sentimen kebencian kaum dan merosakkan keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Carl turut menggesa MCMC menurunkan video berkenaan dan menghalang penularannya di semua platform media sosial termasuk WhatsApp, TikTok, Facebook dan Instagram.

Beliau menegaskan, UPKO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian, perpecahan kaum dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk Sabah.

“Batu Sumpah Keningau adalah simbol perjanjian penting yang dibuat di Keningau, berkaitan hak-hak dan autonomi masyarakat Kadazan-Dusun, terutamanya berkaitan dengan kedudukan agama dalam konteks pembentukan Malaysia.

“Ia bukan sekadar batu peringatan, tetapi mewakili janji dan ikrar yang dibuat oleh pemimpin masyarakat Momogun untuk mempertahankan hak keistimewaan mereka,” katanya.

Video TikTok berdurasi 1.26 saat itu, jelasnya mengandungi unsur-unsur penghinaan kaum dan memutar belit fakta sejarah.

Turut sama membuat laporan di MCMC itu ialah Pegawai Khas kepada Presiden UPKO, Billy Joe Dominic. – Info X