Search

Nizam balas kenyataan Suhaimi mengenai Hajiji

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengenai dakwaan ‘kegagalan’ Ketua Menteri mentadbir negeri sebagai bermotif politik dan fitnah.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan Ahli Parlimen Libaran itu bertentangan dengan fakta sebenar pembangunan Sabah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, YB Datuk Suhaimi Nasir, yang menuduh YAB Ketua Menteri Sabah sebagai gagal, adalah tidak berasas, berat sebelah dan berniat politik semata-mata.

“Tuduhan bahawa pengalaman panjang YAB Ketua Menteri tidak membawa apa-apa hasil kepada rakyat adalah fitnah yang jelas bertentangan dengan fakta pembangunan sebenar yang berlaku di Sabah dalam lima tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Nizam turut menjawab mengenai isu rakyat dibangkitkan Suhaimi, terutama infratruktur asas seperti jalan raya, air dan elektrik yang katanya masalah legasi berpuluh tahun diwarisi daripada kerajaan terdahulu termasuk ketika UMNO Sabah menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Jelasnya, Hajiji tidak pernah menafikan cabaran itu, malah sejak 2021 kerajaan negeri memperuntukkan dana khusus di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menaik taraf lebih banyak kemudahan infrastruktur.

Katanya, ia termasuk pembinaan jalan luar bandar, mempercepatkan projek empangan dan sistem agihan air serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SESB untuk menstabilkan bekalan elektrik.

“Masalah ini tidak boleh selesai dalam sekelip mata, tetapi usaha dan projek telah berjalan secara konsisten,” katanya.

Mengenai kadar pengangguran negeri, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata ia perlu dilihat dalam konteks sebenar.

Jelasnya, Sabah berdepan cabaran unik dengan keluasan negeri, kedudukan geografi dan pasaran buruh yang bergantung kepada sektor tidak formal.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu berkata, data rasmi membuktikan peluang pekerjaan terus berkembang.

“Antara tahun 2021 hingga 2024 sahaja, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, sesuatu yang tidak pernah dicapai semasa pentadbiran sebelum ini.

“Pelaburan ini memberi kesan langsung kepada penciptaan peluang kerja baharu, terutama dalam sektor minyak dan gas, pelancongan, pertanian hiliran dan industri teknologi,” katanya.

Nizam juga menjawab mengenai dakwaan kononnya pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terpalit dengan skandal lesen mineral.

Beliau menegaskan, ia adalah cubaan mengaitkan Ketua Menteri dengan isu yang sudah dijelaskan secara rasmi oleh Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur.

“Fakta jelas menunjukkan tiada sebarang lesen cari gali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat termasuk yang dikaitkan dalam laporan fitnah.

“Malah, SMM telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan palsu yang cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan negeri,” katanya.

Nizam berkata kenyataan Suhaimi yang menyuruh Hajiji ‘berehat’ adalah retorik politik murahan, sedangkan realitinya, kepimpinan Ketua Menteri itu berjaya meletakkan Sabah kembali pada landasan pembangunan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, ia termasuk memacu pelaburan luar dan dalam negeri serta memperkukuh hasil negeri termasuk melalui penyertaan langsung Sabah dalam Petronas, iaitu pencapaian yang nyata dan bukan gimik.

“Rakyat Sabah masih ingat siapa yang sebenarnya gagal menjaga integriti ketika berkuasa dan siapa yang hanya pandai menabur janji tetapi meninggalkan hutang serta masalah struktur tanpa penyelesaian.

“Menyerang Hajiji dengan tohmahan tidak akan memadam fakta bahawa GRS telah membawa stabiliti politik, mengembalikan keyakinan pelabur dan membuka laluan kepada pembangunan ekonomi yang lebih mapan untuk masa depan negeri,” katanya. – Info X