Search

Inkues kematian Zara: Saksi hilang duit RM55 di sekolah

October 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak inkues kematian Allahyarham Zara Qairina memberitahu Mahkamah Koroner dia pernah kehilangan wang miliknya di sekolah pada bulan puasa lalu.

Peguam Shahlan Jufri yang mengetuai pasukan guaman mewakili ibu arwah, berkata seingat saksi pada waktu itu, dia bersama beberapa pelajar junior, termasuk arwah Zara tidak balik ke rumah pada hujung minggu.

Katanya, saksi menceritakan bahawa mereka sebaliknya berkumpul dan tidur bersama beberapa lagi pelajar senior di sebuah bilik.

“Pada suatu pagi (saksi tidak ingat hari), saksi mendapati dia kehilangan duit sebanyak RM50 dan RM5. Dia ada melapor kepada kawan pelajar junior lain dan mendapati Zara dan kawan sebilik Zara juga kehilangan duit.

“Apabila mereka lapor kepada pelajar senior, ada keputusan untuk membuat ‘spot check locker’ di bilik asrama. Saksi berkata dalam proses ‘spot check’ dia dengar mereka jumpa sejumlah wang kertas dalam ‘locker’ Zara.

“Saksi melihat pelajar senior kumpulkan dan bahagikan semula duit itu kepada saksi dan semua yang kehilangan duit.

“Saksi nampak pelajar senior bertanya soalan tetapi tidak berapa faham cara pelajar senior kenal pasti dan bahagi duit itu,” katanya selepas prosiding, hari ini.

Katanya, saksi cuma ingat bahawa Zara mendapat kembali baki agihan duit yang dijumpai, namun jumlah duit yang Zara terima tidak cukup dengan apa yang dia hilang.

Sementara itu, katanya saksi menyatakan bahawa hubungan arwah Zara dengan pelajar lain baik, tetapi saksi mengakui pernah mendengar pelajar perempuan berkata sesuatu mengenai Zara.

“Saksi memberi tahu ada pelajar perempuan yang bercakap ‘inikah yang mahu jadi BADAR tu, sudahlah kuat memaki’.

“Saksi berkata dia tidak pasti
maksud sama ada perkara itu betul atau tidak. Dia juga tidak tahu sama ada ia merujuk kepada perbuatan memaki ’secara bergurau’ atau ’secara serius’.

“Saksi juga ada menyebut mengenai ada mendengar pelajar senior menyindir arwah Zara dan
berkata ‘ei, siapalah tu yang getek-getek sama putera tu’.

“Ada juga pelajar senior cop Zara sebagai ‘pelajar yang suka berlagak’ kerana sewaktu minggu pertama di sekolah, Zara dikatakan suka menjeling orang,” katanya. – Info X