KOTA KINABALU: Saksi ke-20 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina hari ini memberitahu Mahkamah Koroner mengenai rakannya yang bercakap ‘Zara terjun dari aras dua’ asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.
Saksi itu memberitahu mahkamah, ketika mendengar perkara itu, dia baru bangun tidur pada kira-kira jam 4.30 pagi.
Peguam Joan Goh yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak, berkata saksi menjelaskan bahawa dia tidak percaya arwah Zara sanggup berbuat demikian.
“Pada pagi 16 Julai 2025, lebih kurang jam 4.30 pagi, semasa saksi baru bangun tidur, seorang ‘dormmate’ saksi berbisik kepadanya, ‘Zara terjun dari aras dua, banyak darah dia dekat lantai aras paling bawah’.
“Saksi menyatakan dia tidak percaya dan merasa tidak mungkin Zara sanggup buat begitu. Apabila saksi keluar dari ‘dorm’ ramai pelajar berdiri di kawasan koridor aras tiga, tapi saksi terus pergi mandi.
“Selesai mandi, saksi dapati ‘roommate’ saksi masih lagi berada di dalam bilik dorm dan bertanya balik apa yang dia cakap tadi kepada saksi.
“Kemudian, dia beritahu sekali lagi kepada saksi yang Zara sudah terjun dari aras dua ke aras paling bawah.
“Saksi masih tidak percaya, lalu menjeguk ke aras bawah dan dapat melihat kesan darah di tepi longkang. Dalam fikiran saksi, dia terfikir adakah Zara terjun dari aras dua ataupun dari aras tiga.
“Selepas itu saksi terus ke surau untuk sembahyang subuh,” katanya selepas selesai prosiding, hari ini.
Terdahulu, katanya saksi menceritakan mengenai arwah Zara yang dilihat berada dalam tandas ketika saksi bersama dua orang kawannya pergi ke tandas aras tiga untuk mengisi air dalam gelen pada kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Saksi katanya memberitahu mahkamah, ketika itu ada seseorang berada dalam tandas nombor satu dan orang itu ialah arwah Zara seperti yang dimaklumkan oleh kawannya.
“Mereka bertiga menunggu Zara keluar dari tandas nombor satu, tapi Zara tidak keluar-keluar dan mereka hanya mendiamkan diri saja dan meneruskan mengisi air di dalam gelen. Mereka tidak tahu mengapa Zara berkurung di tandas pada masa itu.
“Semasa mengisi air dalam gelen, saksi menyatakan dia menghadap cermin tandas dan terkejut nampak dari cermin ada tangan dan sebahagian kepala serta muka Zara di atas dinding kiri bilik tandas nombor satu, seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada dalam tandas.
“Saksi terus berlari keluar mendapatkan dua orang kawan saksi yang sedang berada di koridor tandas dan terus sambung bersembang dengan mereka, tapi tidak masuk lagi ke dalam tandas,” katanya.
Selepas itu, katanya saksi memberitahu mahkamah pada kira-kira jam 12.50 tengah malam, mereka bertiga pergi ke bilik rakan mereka untuk membangunkan ketua bilik dan memberitahunya bahawa Zara berkurung dalam tandas. – Info X