Search

Lori 3 tan terbabas, seorang maut dua cedera di Sook

October 24, 2025

Info X Reporters

SOOK: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan dinaiki mereka terbabas di Jalan Sinaran Kampung Sinaron Tengah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada kenderaan berkenaan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Pegawai Bomba Kanan I Maimin Yabin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 60 kilometer.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan yang terbabas sendiri. Tiga lelaki berada di lokasi dan kesemuanya sudah terkeluar daripada kenderaan ketika pasukan tiba.

“Dua mangsa cedera diberi rawatan awal oleh anggota bomba bersama pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.47 pagi,” katanya. – Info X