Search

Insentif kewangan sebulan gaji atas pencapaian TTS tahun lalu

March 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) buat julung kali memberikan insentif kewangan sebulan gaji kepada kakitangannya atas kerja keras dan komitmen mereka pada tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata ganjaran itu adalah hasil pencapaian hebat TTS, selain pengurusan kewangannya yang mampan.

“Dengan pencapaian hebat ini tentulah layak diberikan ganjaran kepada warga TTS atas kerja keras serta komitmen mereka, selain pengurusan kewangan yang mampan.

“Berikutan itu, buat pertama kalinya dalam tempoh 61 tahun, pihak pengurusan TTS berjaya memberikan Insentif Kewangan (Lebihan Unjuran Hasil Tahun 2023) iaitu satu bulan gaji kepada warga TTS yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,548,155.82,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Josie Lai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Peter Lintar; Pengerusi Sabapak Eco Sdn Bhd, Datuk Jumat Idris dan Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim.

Christina berkata, pada 2024, Lembaga Pemegang Amanah TTS menempuh perjalanan yang gemilang dengan sebanyak 79 program termasuk acara besar berjaya dianjurkan sebagai pengisian sambutan Jubli Intan TTS.

Antara acara besar dan signifikan itu, katanya ialah pemasyhuran Kinabalu UNESCO Global Geopark, Triple Crown UNESCO dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan (60 tahun) TTS oleh Ketua Menteri pada 19 dan 20 Januari 2024.

Selain itu, katanya TTS juga menguatkuasakan penggunaan sistem kewangan tanpa tunai (cashless) di seluruh kawasan taman bermula pada 1 Januari 2024 dan penubuhan Pusat Kelestarian dan Pembangunan Komuniti (PULESTARI) pada Julai 2024.

“TTS juga mewujudkan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu dan Galeri Gempa di Taman Kinabalu yang dirasmikan pada 17 Oktober 2024.

“Pelancaran pusat pendakian aras tinggi itu adalah salah satu daripada inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dan banyak lagi untuk disebut satu persatu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata TTS juga menerima pelbagai anugerah sepanjang tahun lalu, antaranya
Laman Web TTS berjaya mendapat anugerah Naib Johan) bagi kategori ‘Most Inspirational Website dalam Sabah Government Website Competition’ (SGWC 2024), selain anugerah ‘The Independent Web Innovator Award’.

Berdasarkan pencapaian itu, katanya TTS berjaya mencapai 100 peratus pelaksanaan inisiatif SMJ menerusi penganjuran empat program pendidikan alam sekitar dan membangunkan High Altitude Training Center di Gunung Kinabalu pada 2025.

“Selain itu, turut berjaya dilaksanakan ialah Projek Pembangunan Hostel Layang-Layang; Merangka dan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Latihan Pendakian Aras Tinggi).

“TTS juga memenangi Anugerah Landskap kategori Semulajadi SLAA anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) pada 1 November 2024.

“Kesemua penganjuran program dan kejayaan yang saya sebutkan disimpulkan oleh satu anugerah yang berprestij iaitu Anugerah Khas YAB Ketua Menteri sebagai Juara Global dalam Pemuliharaan, Kelestarian dan Pembangunan Komuniti pada Sabah Tourism Appreciation Night anjuran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada 7 Disember 2024,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu menonjolkan dedikasi TTS untuk memelihara sumber alam, meningkatkan infrastruktur dan memperkasa komuniti tempatan, suatu usaha yang sejajar dengan matlamat strategik negeri Sabah,” katanya. – Info X