KOTA KINABALU: TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd dengan kerjasama syarikat terkemuka milik China (SOE) melancarkan Projek Neptune, satu inisiatif infrastruktur tenaga bernilai USD4 bilion (RM17 bilion) di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Port, Lahad Datu.
Projek mercu tanda itu bakal membangunkan terminal penyimpanan minyak dan kilang penapisan bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga strategik di rantau ini.
Majlis pelancaran yang diadakan di Hotel Hyatt Regency Kinabalu, di sini, semalam disempurnakan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Masidi menyaksikan pertukaran rasmi Perjanjian Pajakan Tanah dan Pembangunan Terminal Minyak di antara POIC Lahad Datu yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fredian Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif TS Asia Green Infrastructure dan Pengerusi Sofos Group, Albert Tan.
Kerjasama strategik untuk pertumbuhan tenaga serantau itu diterajui TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikendalikan oleh Sofos Group berpangkalan di Singapura.
Projek Neptune itu dijalankan dengan kerjasama syarikat milik kerajaan China terkemuka, termasuk China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP), iaitu
Anak syarikat China National Petroleum Corporation (CNPC) yang pakar dalam pembinaan dan kejuruteraan saluran paip minyak dan gas.
CNPC Group disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dan Shanghai dengan modal pasaran sekitar USD200 bilion.
Turut terbabit ialah China Communications Construction Company (CCCC), iaitu syarikat milik kerajaan China terkemuka dalam pembinaan dan reka bentuk infrastruktur yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dan Shanghai dengan modal pasaran kira-kira USD18 bilion.
Selain itu, The Eleventh Metallurgical Construction Group Co Ltd (EMCG), iaitu salah satu daripada 500 syarikat terbaik China yang mempunyai kelayakan tertinggi dalam kontrak pembinaan am dan terkenal dengan kecemerlangan industri.
Seterusnya ialah Sinopec Petroleum Engineering Construction Co Ltd (Sinopec Engineering), anak syarikat Sinopec Oilfield Service Corporation (SSC), yang dimiliki China Petrochemical Corporation (Sinopec Group), iaitu salah satu syarikat minyak dan gas terbesar di dunia.

SSC disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dengan modal pasaran kira-kira HKD10 bilion.
Syarikat terbabit membawa kepakaran luas dalam infrastruktur tenaga dan marin luar pesisir, memastikan pelaksanaan projek yang bertaraf dunia, boleh dipercayai, dan cekap.
Projek Neptune akan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula dengan Fasa 1 membabitkan pelaburan sebanyak USD0.9 bilion untuk membangunkan kapasiti penyimpanan 1.9 juta meter padu minyak.
Fasa itu akan merangkumi 22 tangki penyimpanan khusus, sebuah jeti moden dengan pelbagai dermaga untuk kapal tangki besar, serta kemudahan sokongan marin membabitkan 110 ekar tanah yang sudah diperuntukkan.
Ia kemudian disusuli Fasa 2 membabitkan pengembangan terminal dengan tambahan 2.1 juta meter padu kapasiti penyimpanan, dengan anggaran kos USD1.1 bilion.
Seterusnya Fasa 3, membabitkan pengembangan lanjut dengan kapasiti penyimpanan empat juta meter padu serta pembangunan kilang penapisan berteknologi tinggi, dengan pelaburan dianggarkan USD2.1 bilion.
Mengulas mengenai projek itu, Albert Tan menekankan kepentingannya sebagai satu langkah strategik ke hadapan bagi sektor tenaga Malaysia.
“Dengan kerjasama rakan kongsi bertaraf dunia dan sokongan padu daripada pemegang taruh tempatan, kami komited untuk membangunkan hab penyimpanan dan penapisan minyak berkapasiti tinggi yang mampan, yang akan meningkatkan keselamatan tenaga serantau, menarik pelaburan global, dan mencipta peluang ekonomi baharu,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan Projek Neptune akan diketuai oleh kontraktor EPC bertaraf antarabangsa yang mempunyai rekod kejayaan dalam menyelesaikan projek infrastruktur tenaga berskala besar untuk pemimpin industri global seperti CCCC dan EMCC.
“Selain itu, projek ini sejajar dengan matlamat kelestarian Malaysia, dengan mengintegrasikan pengurusan alam sekitar yang maju serta teknologi canggih bagi mengurangkan jejak karbon,” katanya.
Projek itu disasar meningkatkan keupayaan penyimpanan dan penapisan tenaga Malaysia sekali gus menjadikan Sabah sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan minyak dan gas global.
Ia juga dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, menarik pelaburan langsung asing (FDI), dan merangsang pertumbuhan industri di rantau ini. – Info X