LAHAD DATU: PKR Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan sebarang gabungan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Timbalan Bendahari PKR Sabah, Datuk Nordin Ening, berkata beliau bagaimanapun yakin keputusan itu akan mengambil kira nasihat dan pendapat pemimpin PKR negeri terlebih dahulu.
“Soal kerjasama ini, pimpinan pusat akan membuat keputusan selepas merujuk kepada pandangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang baharu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Silam, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Cabang PKR Silam, Romansa Lamin.
Nordin diminta mengulas mengenai kemungkinan kerjasama dengan UMNO – Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti.
Ketika ini, PKR bersama rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak 2023.
Mengenai soal calon mewakili PKR pada PRN17 nanti, Nordin berkata parti itu sedang dalam proses memilih calon yang sesuai di kerusi yang akan ditentukan.
“Biro Politik PKR Sabah akan meneliti calon yang sesuai untuk bertanding pada PRN akan datang sebelum dirujuk kepada Majlis Pimpinan Pusat untuk diputuskan,” katanya. – Info X