Search

Insiden pukul majikan di KKIP, 600 pekerja tidak dibayar gaji berjumlah RM3.8 juta

April 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud mengarahkan kontraktor pembinaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, supaya melangsaikan bayaran gaji kepada kira-kira 600 pekerja yang tertunggak bulan lalu berjumlah kira-kira RM3.8 juta.

Katanya, syarikat terbabit telah bersetuju untuk membuat pembayaran berkenaan pada hari ini dan esok selepas perbincangan dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dilakukan semalam.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan selepas berlaku kes pergaduhan di antara pekerja dengan majikan warga asing dari Korea pada Sabtu, yang dikatakan berpunca daripada kelewatan pembayaran gaji.

“Kes ini berlaku semalam (Sabtu) dan mengikut sumber majikan serta pekerja yang dimediasi oleh Pengarah JTK Sabah sendiri, isunya ialah kelewatan pembayaran gaji bulan Mac.

“Sepatutnya, mengikut perjanjian, gaji perlu dibayar pada minggu pertama setiap bulan, maknanya berlaku kelewatan gaji bulan Mac. Jadi berlaku pergaduhan akibat ketidakpuasan hati pekerja hingga memukul majikan berbangsa Korea.

“Berikutan itu Pengarah JTK Sabah bersama Ketua Balai Polis Manggatal mengadakan perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan. Hasilnya, majikan bersetuju membayar gaji yang tertunggak itu pada 17 dan 18 April,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Iftar Bersama Penduduk Kampung Darau, Manggatal, di sini, malam tadi.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar diminta mengulas rakaman video yang tersebar kelmarin memaparkan situasi pergaduhan di antara pekerja dan majikan di sebuah tapak pembinaan kilang yang dilaksanakan pelabur asing di KKIP.

Beliau berkata JTK juga akan memastikan proses pembayaran gaji dilakukan seperti yang dijanjikan majikan, selain bersedia menerima jika ada lagi aduan daripada pekerja lain berhubung perkara sama.

Mustapha ketika ditemui selepas Majlis Iftar Bersama Penduduk Kampung Darau, Manggatal, di Kota Kinabalu, malam tadi.

“Bagi memastikan proses ini benar-benar berlaku, pegawai JTK akan berada di tapak pembinaan esok dan lusa (hari ini dan esok) untuk memantau dan mendengar kemungkinan ada lagi aduan pekerja lain,” katanya.

Mustapha memberi amaran kementeriannya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan termasuk syarikat asing yang gagal atau lewat membayar gaji pekerja selaras dengan peruntukan dalam Ordinan Buruh Sabah.

“Saya beri amaran kepada majikan di Sabah, fahami Ordinan Buruh Sabah, baca dan fahamkan sebab kita akan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak bayar gaji atau lewat. Saya beri amaran pastikan bayar gaji ikut perjanjian.

“Pada masa yang sama, saya juga mengingatkan pekerja kita supaya bertindak mengikut lunas undang-undang, sebab jika tidak ikut undang-undang, ia boleh mengakibatkan implikasi kepada mereka pada kemudian hari,” katanya.

Semalam, polis menahan dua pekerja yang disyaki memukul majikan warga Korea di tapak pembinaan sebuah kilang di KKIP yang dibangunkan syarikat dari Korea Selatan selepas mangsa membuat laporan polis. – Info X