Search

Lelaki tular tumbuk pemandu di jalan raya ditahan polis

April 16, 2023

admin

LABUAN: Pemandu yang tular menumbuk beberapa kali muka seorang lelaki ketika berada di jalan raya dekat lampu isyarat Jalan Patau-Patau, di sini, 12 April lali ditahan polis, hari ini.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan, sejurus selepas kejadian dia ditumbuk oleh suspek terbabit.

Mangsa seterusnya dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, dalam kejadian itu suspek yang keluar daripada kereta bertindak menumbuk ke muka mangsa beberapa kali.

Katanya, suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah berkaitan dengan penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.

“Akibat kejadian itu, mangsa luka di bahagian dahi, pendarahan pada hidung dan juga sakit pada bahagian mata. Kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan.

“Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad berkata, pada 3.45 petang tadi, polis berjaya menangkap suspek untuk siasatan lanjut bersabit kes yang disiasat.

“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, maka kes ini telahpun diselesaikan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai gambar/video berkenaan sehingga menjejaskan siasatan polis mahupun mendatangkan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 45 saat menunjukkan seorang lelaki keluar dari kereta lalu menuju ke kenderaan mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum suspek didakwa menumbuk muka mangsa beberapa kali hingga cedera dan berdarah. – Info X