KOTA KINABALU: Barang kemas, peralatan elektrik, enjin sangkut, motosikal dan kereta adalah antara harta aset alih yang akan dilelong Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, Selasa depan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan IPK Sabah berkata, jualan lelong berkenaan akan diadakan bermula jam 8 pagi sehingga 2 petang di Dewan Serbaguna, IPK Sabah.
Katanya, orang ramai atau pembida yang berminat boleh terlebih dahulu melihat semua aset berkenaan pada 24 dan 27 Jun ini.
“Semua aset yang dilelong ini boleh dilihat di Pejabat Perlucuthakan Harta, Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Sabah antara jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Pembida yang berminat untuk menyertai lelongan perlu mendaftar dengan pegawai pelelong dengan memberikan nama penuh, Mykad dan alamat,” katanya.
Menurutnya, pembida juga akan dimaklumkan mengenai syarat dan peraturan digariskan untuk acara lelongan berkenaan. – Info X