LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki bertembung dalam kejadian di Kilometer 13, Jalan Segama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Willy Maikan, 28, iaitu pemandu kenderaan jenis Proton Saga LMST manakala seorang lagi penumpangnya cedera.
Seorang lagi yang cedera ialah pemandu Isuzu DMax berusia 31 tahun selepas pacuan empat rodanya bertembung dengan Proton Saga LMST terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.48 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lagi mangsa berusia 12 tahun yang juga penumpang Proton Saga berkenaan didapati turut tersepit di dalam kenderaan.
“Selain itu, pemandu sebuah lagi kenderaan Isuzu DMax berusia 31 tahun yang cedera juga masih berada di dalam kenderaannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dan diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik.
Katanya, kedua-dua mangsa cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.02 pagi. – Info X