KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Negeri Sabah (IIUM Alumni Sabah Chapter) bertempat di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, hari ini.
Kunjungan hormat yang diketuai Naib Presidennya, Fazilah Musa itu adalah bertujuan memberi penerangan kepada isteri Ketua Menteri tentang program Seminar Peranan Wanita Dalam Membangun Malaysia Madani yang akan diadakan pada Mac depan di Kota Kinabalu.
Program berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang turut dijangka bakal dirasmi oleh isteri Ketua Menteri.
Dalam pada itu, Juliah yang mengalu-alukan penganjuran seminar seumpama itu yakin ia dapat membantu memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya wanita mengenai slogan Malaysia Madani.
Katanya, wanita perlu diberi pendedahan tentang konsep Malaysia Madani dan bagaimana peranan mereka untuk sama-sama menyumbang dalam membangunkan sebuah negara yang berkonsepkan Malaysia Madani.
Turut hadir Bendahari Alumni, Rohayu Mohd.Deroh; Biro Pendidikan, Dayang Fauziah Datu Ibrahim; Biro Kebajikan, Sarimah Mohd Yusof dan Biro Sukan, Roslan Idris.
Sementara itu, Juliah turut menerima kunjungan hormat daripada rombongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tuaran yang diketuai oleh guru besarnya, Mohamad Juin@ Mohd Nauli @Moli.

Pertemuan itu ialah untuk menjemput Juliah merasmikan Majlis Apresiasi Murid yang akan diadakan pada 16 Februari depan di Dewan Sri Sulaman, Tuaran. – Info X