àKOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 Jun depan akan menentukan sama ada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) boleh meneruskan untuk mendapatkan hak Sabah terhadap kelayakan 40 peratus hasil negeri bagi tahun yang tertingggal, dari 1974 hingga 2021.
Presiden SLS, Mohamed Nazim Maduarin, berkata SLS meletakkan kepercayaan dan sepenuh rasa hormat kepada pertimbangan mahkamah untuk mencapai keputusan yang perlu dan adil pada tarikh yang ditetapkan itu.
Beliau juga menekankan bahawa SLS tidak bersifat partisan selain tidak terbabit dengan mana-mana parti politik dalam inisiatifnya untuk menuntut hak Sabah itu.
“SLS kekal bukan partisan dan bebas daripada mana-mana parti politik,” katanya menerusi satu kenyataan selepas pengurusan kes rayuan Peguam Negara lawan SLS secara dalam talian melalui Zoom, hari ini.
Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan persekutuan sebelum ini memfailkan rayuan terhadap kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022 kepada SLS untuk semakan kehakiman berkaitan kelayakan hak 40 peratus hasil Sabah.
Rayuan itu didengar pada prosiding 16 Mei lalu.
Mohamed Nazim berkata, dalam pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah memaklumkan bahawa keputusan rayuan itu akan diberikan pada 18 Jun depan.
“Timbalan Pendaftar Mahkamah juga memaklumkan bahawa Surat Peguam Besar Sabah (SAG) bertarikh 23 Mei 2024 kepada mahkamah sudah dibawa untuk perhatian hakim.
“Dalam surat itu, SAG memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Besar Sabah akan mengambil alih kes ini bagi pihak kerajaan negeri Sabah dan turut memaklumkan dengan jelas kedudukan kerajaan negeri,” katanya.
Kedudukan itu ialah, pertama, memandangkan kerajaan negeri tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022, ia menerima keputusan yang diberikan untuk perkara itu disalurkan atas merit pada pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman itu.
Kedua, kerajaan negeri menarik balik semua hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan berkaitan isu ‘locus standi’ SLS kerana ia tidak dikemukakan atau di Mahkamah Tinggi oleh kerajaan negeri.
Manakala ketiga, kerajaan negeri menarik balik hujahan dibuat di Mahkamah Rayuan merujuk kepada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai satu ‘aspirasi’ dan bukan mandatori atau hak mutlak.
Mohamed Nazim berkata, surat itu juga menyatakan kedudukan itu boleh disahkan sendiri oleh SAG jika mahkamah mengkehendakinya berbuat demikian.
“SLS mengalu-alukan perkembangan terkini ini dan menyokong kedudukan terbaharu itu yang mana ia selari dengan kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini.
“SLS menghargai sokongan moral daripada semua termasuk anggota masyarakat awam yang terlibat,” katanya. – Info X