KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan, masing-masing kerana memiliki senjata api tiruan dan senjata berbahaya.
Tertuduh, Jeremy Chong Yu Xuan, 22, didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki tiga laras senjata api tiruan dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki tiga bilah kerambit serta satu buku lima.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taman perumahan di Luyang, dekat sini, pada tengah hari, 19 Mei lalu.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM1,200 dengan dua orang penjamin tempatan, manakala tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Jun depan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, namun tiada wang jaminan ditawarkan, manakala sebutan semula kes juga ditetapkan pada 27 Jun depan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun. – Info X