KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan didakwa sudah mengemukakan dua rayuan yang tidak sepatutnya dibuat berhubung pelaksanaan 40 peratus hasil Sabah selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan perkara itu pada Oktober tahun lalu.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata rayuan pertama dikemukakan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, yang akhirnya dibenarkan Mahkamah Rayuan.
Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan itulah yang menyebabkan beliau membuat keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan pada awal November lalu kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.
“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan beliau menegaskan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah.
Dalam masa sama, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Ketua Menteri juga mahu rundingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan diteruskan sehingga mencapai keputusan muktamad.
“Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan dan tindakan kerajaan Persekutuan mengemukakan dua rayuan perlu dinilai rakyat, khususnya jika tuntutan 40 peratus itu masih tidak dilaksanakan.
Ewon menegaskan, UPKO sebelum ini telah menyuarakan pendirian secara konsisten di pelbagai platform termasuk dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Kerajaan Sabah.
“Kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya isu berkenaan tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, maka rakyat berhak menentukan kepimpinan negara.
“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan ‘lost years’ adalah isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan.
Katanya, bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme supaya 40 peratus hasil Sabah dikekalkan.
“Perkara ini sebenarnya tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya.
Ewon berkata, rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan, dan ia perlu dibezakan daripada peruntukan pembangunan tahunan yang menjadi dasar semasa.
Katanya, UPKO telah membuat keputusan untuk terus bersama rakyat Sabah dan memperjuangkan hak negeri ini di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
“Kita akan teruskan perjuangan ini bersama rakyat Sabah untuk menuntut hak kita,” katanya. – Info X