KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui peranan dan memastikan kebajikan pelajar orang kelainan upaya (OKU) terus terbela menerusi pelantikan wakil golongan itu dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pelantikan wakil mahasiswa OKU dalam MPP adalah langkah penting memastikan suara mereka terus diangkat dalam sistem kepimpinan pelajar universiti.
“Inisiatif ini bukan saja memberi ruang kepada mahasiswa OKU untuk terlibat secara langsung dalam tadbir urus MPP, malah turut memperkukuh usaha universiti dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mereka secara lebih menyeluruh.
“UMS komited untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir, termasuk mahasiswa OKU. Penyertaan mereka dalam MPP membolehkan pandangan dan keperluan mereka diambil kira secara langsung dalam proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi penyerahan Watikah Pelantikan MPP (Lantikan OKU) di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori UMS, di sini, baru-baru ini.
Watikah pelantikan itu diserahkan kepada pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Mohammad Azrie Rodi.
Azrie yang berdepan masalah penglihatan akibat penyakit Retinitis Pigmentosa juga adalah Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS.
Mengulas lanjut, Kasim berkata, lantikan itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan pendidikan inklusif terus diperkasa di institusi pengajian tinggi.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang mesra OKU dan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa berkeperluan khas untuk menyerlahkan potensi diri.
“Pada masa yang sama, lantikan Azrie turut bertepatan dengan hala tuju UMS dalam memperkukuh inisiatif penjenamaan UMS The Brain of Borneo yang menekankan nilai teras B.R.A.I.N, khususnya elemen ‘Inclusive’ (keterangkuman),” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Raman Noordin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Pengurusan OKU, Dr Zaiton Mohamed; Presiden MPP, Allen Paul Justinus Situ dan wakil Jawatankuasa Pilihanraya Kampus. – Info X