LAHAD DATU: Seorang lelaki dipenjara 165 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya sejak 2016 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu.
Hukuman itu dibacakan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag selepas mendengar pengakuan tertuduh terhadap semua 11 pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Tertuduh masing-masing berdepan lima pertuduhan atas kesalahan merogol anak kandung pertama berusia 25 tahun dan enam pertuduhan membabitkan kesalahan merogol seorang lagi anaknya yang berusia 22 tahun.
Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, selain 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Hukuman penjara dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara sebanyak 165 tahun.
Bagaimanapun, bagi hukuman sebat, hanya maksimum 24 sebatan boleh dilaksanakan mengikut undang-undang walaupun jumlah hukuman sebanyak 110 sebatan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berumur 54 tahun didakwa merogol dua anak kandungnya sejak 2016 hingga tahun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Haja Mohaideen, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Malati Labpak. – Info X