PUTATAN: Kira-kira 70,000 penduduk di daerah ini terjejas sejak lebih setahun lalu disebabkan catuan bekalan air yang dilakukan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Sehubungan itu, Ketua Bahagian Parti Warisan Putatan, Datuk Uda Sulai yang mendakwa mengenai perkara itu, meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) negeri mengambil perhatian serius.
Katanya, KKR perlu lebih proaktif terhadap isu bekalan air yang semakin meruncing dan membebankan penduduk di daerah ini.
“Selain catuan bekalan air, lebih 5,000 penduduk Putatan turut terjejas akibat terputus bekalan air yang kerap berlaku sejak beberapa bulan ini.
“Kawasan seperti Bukit Vor, Taman Bersatu, Putatan Jaya, Taman Ketiau, Talang Taun, Taman Teluk Villa, Kampung Tombovo, Kampung Sri Pandan, Kem Lok Kawi dan beberapa kampung serta perumahan yang lain seringkali terputus bekalan air sehingga dua tiga hari.
“Penduduk Putatan sudah semakin hilang sabar apabila bekalan air sering terputus tanpa sebarang notis daripada JANS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, banyak aduan sudah dibuat kepada JANS namun hanya jawapan mengecewakan yang diberikan, antaranya ‘tiada aduan yang diterima’ atau ‘diharap bersabar’.
Uda berkata, kesan masalah itu turut dirasai banyak kedai makanan dan peniaga gerai yang sangat memerlukan air untuk meneruskan perniagaan mereka hingga ada yang terpaksa berpindah ke daerah lain atau ‘gulung tikar’.
“Kerajaan sudah banyak kali berjanji masalah ini akan diselesaikan dalam jangka waktu tertentu namun ianya terus menyelubungi kehidupan penduduk yang semakin sukar.
“Ramai penduduk yang menyewa di kawasan perumahan terpaksa berhadapan dengan kenaikan bil air sejak bekalan air sering terputus yang berlarutan dari tiga tahun yang lalu kerana pemaju terpaksa membeli air dari pihak swasta.
“Tangki stok air hanya mampu bertahan untuk beberapa jam sahaja dan bekalan air hanya dibuka semula pada sebelah malam untuk memenuhi tangki kecil setiap rumah yang hanya mampu bertahan dalam tempoh 12 jam bergantung kepada kekerapan penggunaannya,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah sudah cukup terbeban dengan pelbagai masalah seperti jalan raya, bekalan elektrik yang sering terputus, pengangguran yang tinggi dan harga barang yang terus meningkat.
“Sampai bila kerajaan mahu membiarkan orang Sabah hidup dalam keadaan tertekan seperti sekarang ini,” katanya. – Info X