Search

PRN17: Bung Moktar enggan BN bekerjasama dengan GRS

November 11, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengaku tidak mahu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Katanya, walaupun ada kemungkinan untuk BN, Pakatan Harapan (PH) dan GRS bekerjasama pada pilihan raya itu, bagi beliau perkara itu bukan pilihannya.

“Kalau tanya saya, saya tidak akan melakukannya sebab terlalu perit untuk orang yang telah sembelih kita, kita nak layan lagi berat, nanti kita tidur-tidur, dia sembelih lagi kita,” katanya ditemui pemberita pada program Gerak 17 UMNO Sabah di sini, semalam.

Pengerusi BN Sabah itu ditanya mengenai kemungkinan BN, PH dan GRS menjalin kerjasama menghadapi PRN17.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ditanya sama ada UMNO dan BN Sabah ada autonomi untuk menentukan kerjasama, Bung Moktar berkata, kuasa berkenaan akan diberikan.

Katanya, UMNO Sabah memang menolak kerjasama dengan GRS dan tidak mungkin ada sebarang kerjasama dengan gabungan parti tempatan Sabah itu.

Jelasnya, kerjasama yang bakal diwujudkan hanya membabitkan BN dan PH serta parti tempatan lain yang berminat, tapi bukan dari GRS.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, walaupun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan mengenai kemungkinan ada kerjasama dengan GRS, namun ia bukan bukan sesuatu yang pasti.

“Kemungkinan itu memang ada tetapi ia kemgkinan tidak mungkin, mungkin tidak berlaku dan berkemungkinan juga tidak,” katanya.

Minggu lalu, BN dan PH Sabah mengadakan pertemuan tidak rasmi sebagai permulaan untuk bekerjasama pada PRN17, namun masih terbuka menerima kerjasama parti lain.

Bagaimanapun, semalam PKR Sabah selaku parti komponen PH, menjelaskan sebarang kerjasama dengan mana-mana partk hanya diputuskan selepas DUN Sabah dibubarkan. – Info X