Search

Isu Ambalat wajib libatkan Sabah – Parti Impian Sabah

July 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah mahu pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi diambil dalam isu berkaitan kawasan Ambalat yang berada dalam lingkungan perairan dan kepentingan negeri Sabah.

Presidennya, Michel Alok, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keputusan, rundingan, penerokaan atau pembangunan yang dibuat oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan Persekutuan tanpa penglibatan, persetujuan dan pengetahuan rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau wakil rakyat yang sah mewakili suara rakyat negeri ini.

“Sebarang kerjasama dua hala, perjanjian pembangunan, pelaburan sumber asli atau melibatkan kawasan Ambalat wajib terlebih dahulu dirundingkan secara rasmi dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Tiada pihak berhak bertindak sewenang-wenangnya atau mengambil keputusan secara unilateral terhadap tanah air dan perairan milik rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Parti Impian Sabah berpandangan bahawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dihormati sepenuhnya dan sebarang pencabulan terhadap hak Sabah dalam konteks itu adalah pengkhianatan terhadap semangat pembentukan Malaysia.

Tegasnya, Sabah bukan pelengkap angka semata-mata tetapi rakan kongsi yang sah dan setaraf dalam Persekutuan Malaysia.

“Kami bukan menolak pembangunan atau kerjasama. Sebaliknya, kami menyambut baik sebarang rancangan yang membawa manfaat kepada rakyat Sabah.

“Parti Impian Sabah berdiri teguh mempertahankan hak Sabah. Ambalat adalah amanah rakyat Sabah,” katanya. – Info X