Search

Industri kerang Sabah berpotensi jana pendapatan RM34.4 juta setahun

July 5, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah yang berpotensi untuk menjana pendapatan tahunan hingga RM34.4 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika melancarkan projek itu, berkata jumlah hasil itu berdasarkan anggaran pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan kerang setahun dan pulangan pelaburan sebanyak 7.6 kali ganda.

Katanya, projek itu akan membuka peluang eksport baharu bagi hasil kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.

“Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah.

“Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya ketika merasmikan projek itu di Borneo Beach and Mangrove Resort, di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Ekonomi Biru menjadi landasan ekonomi yang kukuh untuk rakyat negeri ini.

Jelasnya, Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri melihat baka kerang yang diternak di Tuaran.

“Ekonomi Biru bukan saja berupaya menyeimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai ekonomi biru global dijangka mencapai USD3 trilion,” katanya.

Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah dijalankan menerusi kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama baru selesai kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang darah (Tegillarca granosa) dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran yang menjadi tapak projek rintis.

Fasa kedua dijadual bermula pada 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan sebenar projek di lapangan.

Hajiji berkata sebanyak 77 lot penternakan telah dikenal pasti, merangkumi 12 lot di Tuaran dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar.

Setiap lot akan diusahakan oleh 10 Ketua Isi Rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan seramai 770 KIR sebagai penerima manfaat utama, terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.

Dianggarkan, jika hanya 40 peratus daripada lot itu beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500.

“Sudah tentu komuniti yang terlibat akan memperoleh pendapatan mampan melalui ternakan kerang darah. Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan laut Sabah.

“Sesungguhnya, projek ini bukan sahaja membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat tetapi juga kepada alam sekitar dan ekonomi negeri.

“Sabah akan dibangunkan sebagai Hab Makanan Laut Biru ASEAN, setanding dengan negeri pengeluar utama seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk menyokong industri itu dan mahu peserta projek mendapat latihan berterusan serta teknologi moden.

“Saya menyeru kepada komuniti di Tuaran dan Beluran, sebagai perintis atau peneraju projek ini, agar manfaatkan sepenuhnya teknologi moden yang diperolehi untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor akuakultur,” katanya. – Info X