Search

Wanita maut dirempuh ketika melintas jalan

July 5, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pejalan kaki wanita maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 12, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu (Pan Borneo), di sini, awal pagi tadi

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak ke bahu jalan dan termasuk ke dalam parit akibat impak pelanggaran.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun dari arah Putatan menuju ke Bongawan.

“Ketika kejadian, keadaan jalan gelap dan tiada lampu jalan. Tiba-tiba seorang wanita melintas dari sebelah kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh kenderaan berkenaan.

“Impak dari pelanggaran itu, mangsa terhumban ke bahu jalan dan masuk ke dalam parit di pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamaruddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X