Search

Media sosial bukan untuk glamor, tugas utama polis beri khidmat

July 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa media sosial bukan platform untuk mempromosikan diri sendiri atau jabatan, sebaliknya keutamaan setiap anggota adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Ahmad Ramdzan Daud berkata, perkara itu sudah diperjelaskan pucuk pimpinan PDRM dan menjadi antara fokus utama dalam silibus latihan anggota baharu.

“Tugas kami adalah memberi perkhidmatan dan ia perlu diutamakan. Media sosial seperti TikTok, Facebook atau Instagram bukan keutamaan.

“Tugas kita adalah kepada masyarakat dan bukan untuk mempromosikan diri sendiri atau jabatan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Asas Kepolisan Konstabel Bilangan 78 Siri 5/2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Ahmad Ramdzan (tengah) ketika Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Asas Kepolisan Konstabel Bilangan 78 Siri 5/2025 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.

Ahmad Ramdzan berkata, media sosial tidak seharusnya dijadikan tempat untuk mempamerkan operasi secara langsung, apatah lagi sekadar meraih perhatian warganet.

“Tetapi apa yang masyarakat ingin lihat bahawa kita memberi perkhidmatan yang lebih,” katanya.

Katanya lagi, ada kalanya tugas yang dilakukan anggota polis melebihi skop rasmi, namun tetap dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebagai contoh, kerap berlaku banjir dan sebagainya untuk jalan raya, kita tidak menunggu majlis perbandaraan datang. Anggota kita yang turun membantu membersihkan supaya tidak menghalang lalu lintas.

“Itu di luar skop kerja anggota, tetapi kita buat juga sebab ianya akan menganggu lalu lintas yang dimana tugas itu nanti akan lebih sukar untuk rakyat pergi ke mana-mana

“Inilah yang saya maksudkan dengan tugas lebih atau ekstra. Yang itu kita titik beratkan kepada anggota dan juga pegawai,” katanya. – Info X