Search

ISU KENAIKAN HARGA TIDAK HALANG PENGUSAHA RESTORAN SAJI MENU RAHMAH

February 15, 2023

admin

KOTA KINABALU: Walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini namun isu berkenaan tidak menghalang pengusaha restoran atau premis makanan di Sabah menyahut seruan kerajaan dalam menyajikan Menu Rahmah.

Pengurus Restoran Rendang Oma, Mohd Effni Mohd Makhtar berkata, beliau tidak menafikan perkara itu tetapi dalam masa sama bukan alasan untuk pihaknya menolak pendekatan diperkenalkan kerajaan sejak hujung Januari lalu.

“Melihat situasi semasa ketika ini, saya akui perkara itu.

“Bagaimanapun, kita sebagai peniaga harus bijak untuk menangani dan mencari peneyelesaian bersesuaian agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Oleh itu, restoran kita mula memperkenalkan Menu Rahmah pada Jumaat minggu lalu dan sambut sangat luar biasa bermula awal minggu ini.

“Menu Rahmah di restoran ini, pelanggan boleh memilih sama ada mahu menu ikan goreng atau sayap ayam goreng dengan harga RM5 sahaja.

“Selain itu, ia juga disajikan dengan nasi putih, sayur dan kuah gulai kawah selain turut diberikan sebotol air mineral,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, Menu Rahmah di Restoran Rendang Oma boleh dibeli setiap Isnin sehingga Jumaat bermula jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang.

Mengulas lanjut, Mohd Effni yang mula mengusahakan perniagaan restoran sejak tahun 2020 berpendapat, inisiatif Menu Rahmah secara tidak langsung juga dapat mengajak lebih ramai masyarakat untuk turut sama memberi infak kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) juga memaklumkan bakal memperkenalkan Menu Rahmah sepanjang bulan Ramadan tahun ini bermula 31 Mac sehingga 23 April.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SICC, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, Menu Rahmah di SICC antaranya terdapat nasi, ikan, sayur dan bubur.

“Menu ini boleh dibeli serendah RM5 bermula jam 5 petang sehingga 12 tengah malam setiap hari.

“Selain menyambut seruan kerajaan yang mengetengahkan konsep Malaysia Madani, kita juga mahu semua peringkat dapat datang ke SICC dan menikmati juadah yang kita sediakan di sini,” katanya ketika ditemui sempena program A Taste of Asian, baru-baru ini. – Info X