PENAMPANG: Polis mengesahkan pacuan empat roda yang ditemui di dalam parit di Pekan Donggongon, di sini, hari ini, adalah akibat daripada kejadian banjir yang berlaku di daerah itu, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemilik kenderaan jenis Toyota Hilux itu telah membuat laporan polis, semalam.
“Usaha untuk mengeluarkan kenderaan terbabit sedang dilakukan oleh pemiliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar yang menyaksikan kenderaan itu tersadai di dalam parit, di jalan menuju ke bulatan Sigah, di sini.

Kejadian banjir yang berlaku pada Isnin menyebabkan beberapa kawasan dan kampung di sekitar Penampang terjejas.
Antara kawasan terjejas termasuk di Penampang Proper, Jalan Kasigui, Kampung Kolopis, Jalan Kibabaig, Jalan Kiranau dan Kampung Dabak.
Beberapa jalan termasuk di bulatan Sigah juga tidak dapat dilalui kenderaan ringan selepas ditenggelami banjir. – Info X